BERTAKWALAH DALAM SEGALA KEADAAN
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Bertakwalah dalam segala keadaanmu!” (HR at-Tirmidzi, Ahmad, ad-Darimi).
Di dunia ini akan sentiasa ada empat golongan: (1) yang kaya/berada, termasuk raja/pemerintah, pegawai atau pembesar; (2) fakir, miskin dan dhuafa; (3) hamba, buruh, pelayan atau mereka yang berada di bawah kuasa/kawalan pihak lain; (4) golongan yang menderita, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Keempat-empat golongan ini juga terdapat di tengah-tengah kaum Muslim. Tentu saja ketakwaan diperintahkan kepada semuanya, termasuk keempat-empat golongan ini. Perintah Allah SWT juga terpakai bagi setiap Muslim. Di antaranya adalah perintah untuk menjalankan ibadah dan dakwah. Dalam keadaan apapun tidak ada alasan bagi seorang Muslim untuk tidak menjalankan kedua-dua aktiviti ini. Sebab, kedua-dua aktiviti ini adalah kewajipan yang juga telah diteladankan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabatnya.
Orang kaya, raja/pemerintah, pegawai atau pembesar tidak layak berhujah bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk beribadat dan berdakwah kerana terlalu sibuk menjaga, mengurus dan mengekalkan harta atau kekuasaan mereka. Jika ini dijadikan alasan, mereka sepatutnya malu dengan Nabi Sulaiman. Kerana, di dunia ini, Nabi Sulaiman adalah yang paling kaya. Nabi Sulaiman juga yang paling berkuasa, bukan sahaja ke atas manusia, tetapi juga ke atas jin. Namun, semua orang tahu bahawa Nabi Sulaiman AS adalah ahli ibadah dan hamba Allah yang sentiasa taat kepada-Nya. Sebagai seorang nabi, sudah tentu beliau juga menjadikan dakwah sebagai kegiatan utamanya. Lihat juga generasi para Sahabat yang sangat kaya: Abu Bakar, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Abdurrahman bin Auf dan lain-lain. Mereka bukan sahaja pakar agama dan aktivis dakwah. Bahkan mereka menggunakan segala harta benda mereka sebagai sarana untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan berjihad di jalan-Nya.
Orang fakir, miskin dan dhuafa juga tak layak berdalih bahawa dia tidak sempat beribadah dan berdakwah kerana dia terpaksa ‘disibukkan’ oleh kemiskinan, kefakiran dan kedhuafaannya; iaitu sibuk untuk mengatasi kekurangan hartanya. Jika ini dijadikan alasan, dia sepatutnya malu kepada Nabi Isa as. yang hidup dalam serba kekurangan; tidak mempunyai harta, rumah bahkan isteri. Namun, kita pun mafhum bahawa Nabi Isa as. adalah ahli ibadah. Sebagai seorang nabi, beliau juga tentu menjadikan dakwah sebagai paksi kehidupannya. Lihat juga generasi Sahabat dari kalangan fakir, miskin dan dhuafa seperti ahlush-shuffah. Mereka bukan saja ahli ibadah dan tetap berdakwah, bahkan mereka menjadikan serba kekurangan mereka itu sebagai “wasilah” untuk semakin dekat dengan Allah SWT dan meraih redha-Nya melalui dakwah dan jihad fi sabilillah.
Seorang hamba, buruh, pelayan atau mereka yang berada dalam kawalan/kekuasaan pihak lain juga tidak layak berdalih bahawa dia tidak dapat beribadah dan berdakwah kerana keadaan mereka yang berada dalam kekuasaan/kawalan pihak lain. Jika ini dijadikan alasan, layaklah dia malu kepada Nabi Yusuf as. Beliau pernah dipenjara sekian lama dan berada dalam kawalan kekuasaan penguasa pada zamannya. Namun, beliau tetap seorang ahli ibadah. Tentu saja beliau juga tak pernah meninggalkan dakwah kerana beliau memang seorang nabi yang tugas utamanya menyampaikan risalah Ilahi. Lihat pula generasi Sahabat dari kalangan hamba sahaya atau pelayan. Status mereka sebagai hamba sahaya atau pelayan tidak menghalang mereka untuk selalu rajin beribadah dan menjalankan aktiviti dakwah mereka. Lihat juga generasi para ulama pejuang seperti Imam Ahmad bin Hanbal atau Imam Ibn Taimiyah yang pernah beberapa kali dipenjara. Penjara justeru membuatkan mereka semakin dekat dengan Allah SWT. Penjara juga tetap menjadi medan dakwah bagi mereka.
Seorang yang menderita, baik zahir mahupun batin, juga tak boleh berdalih bahawa dia tidak melakukan ibadah dan berdakwah kerana penderitaan yang mereka alami. Jika ini dijadikan alasan, dia perlu malu kepada Nabi Ayyub as. yang bertahun-tahun diuji oleh Allah SWT dengan suatu penyakit yang sangat parah dan menyusahkan dirinya. Lihat juga generasi Sahabat yang cacat fizikal seperti Abdurrahman bin Mas’ud yang tempang. Namun semua ini tidak pernah menghalang mereka untuk sentiasa mentaati Allah SWT dan berdakwah serta berusaha di jalan-Nya.
Maka dari itu, sudah sepatutnya kita mengamalkan sabda Baginda Rasulullah SAW, “Bertakwalah dalam segala keadaanmu!” (HR at-Tirmidzi, Ahmad, ad-Darimi).
Dalam Tuhfah al-Awadzi bi Syarh Jâmi’ at-Tirmidzi, disebutkan bahawa frasa “dalam segala keadaanmu” (haytsumma kunta) maksudnya dalam keadaan lapang/sempit, senang/susah, ataupun riang-gembira/saat ditimpa bencana (Al-Mubarakfuri, VI/104).
Wa mâ tawfîqî illâ billâh.