Perjuangan Kebenaran Tidak Akan Di Lemahkan Oleh Orang-Orang Jahil
(Ucapan Sheikh Youssef Makharza)
Ketika Rasulullah berdiri di atas Bukit Safa dan menyeru kabilah-kabilah Quraisy: “Wahai Bani Fulan, wahai Bani Fulan,” orang ramai menjadi cemas dan menyangka bahawa Baginda ﷺ menyeru kerana sesuatu yang amat penting. Namun, setelah mereka mengetahui tujuan sebenar seruan itu, mereka menganggap panggilannya tidak berpadanan dengan perkara yang ingin disampaikan. Lalu, Abu Lahab berkata: “Celakalah kamu, wahai Muhammad!” kerana mereka merasakan bahawa apa yang dikatakan oleh Baginda tidak memerlukan seruan yang lantang, mahupun menghimpunkan mereka untuknya. Maka, mereka meremehkan Baginda.
Hari ini, dalam kalangan umat Islam, ada yang apabila kamu menyeru kepada suatu kebenaran, mereka tidak dapat menghadapinya tanpa merendahkanmu, dengan alasan bahawa kamu mahu menegakkan khilafah hanya melalui persidangan-persidangan! Padahal, setiap idea yang ingin disampaikan kepada manusia memerlukan seruan untuknya. Bukankah Allah SWT telah berfirman:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang penyeru yang menyeru kepada iman: ‘Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu’, lalu kami pun beriman.” (TMQ Ali ‘Imran: 193)
Maka, apakah kita akan mengatakan bahawa keimanan tidak boleh dicapai melalui seruan, dengan tujuan meremehkan kerja para nabi?! Bukankah setiap idea dalam sejarah telah berubah menjadi kenyataan melalui usaha dakwah?!
Adakah golongan yang lemah di rumah Al-Arqam dianggap sesuatu yang tidak bernilai di mata Quraisy, sedangkan merekalah yang memikul beban untuk menyampaikan dan menegakkan kebenaran di bumi? Siapakah yang mengajarmu bahawa mereka yang menyebarkan suatu idea dalam kalangan manusia harus diremehkan?!
Bukankah para Muhajirin adalah mereka yang telah berdakwah dan menyeru manusia bersama Rasulullah ﷺ, lalu datang golongan Ansar yang menyambut seruan itu dan memberi pertolongan kepadanya?
Maka, setelah kewafatan Rasulullah ﷺ, golongan Ansar bangkit meneruskan tugas mereka dalam mempertahankan agama ini, dengan keinginan untuk memegang tampuk kepimpinan menggantikan Rasulullah ﷺ, kerana merekalah yang telah memberikan perlindungan dan pertolongan. Namun, golongan Muhajirin, yang telah melalui ujian kesulitan dan kesabaran dalam menyampaikan dakwah, berdiri dan berkata kepada mereka:
“Sesungguhnya orang Arab tidak akan tunduk kecuali kepada golongan Quraisy.”
Oleh itu, mereka yang telah memikul perjuangan ini, menyerunya, dan berhijrah demi menegakkannya, lebih berhak memimpin berbanding mereka yang telah membantu dan mengorbankan jiwa serta harta untuknya.
Justeru, tidak ada yang meremehkan seruan kepada kebenaran, kesabaran dalam berdakwah, membayar harganya, dan berusaha menanamnya dalam umat, melainkan golongan yang kerdil, jahil, dengki, atau mereka yang berada dalam kegelapan, yang ingin memperlekehkan kebenaran.