MENYIKAPI PERBEZAAN SECARA ELEGAN
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
PERBEZAAN pendapat adalah kenescayaan dalam kehidupan umat manusia. Termasuk dalam tubuh umat Islam. Sejak masa awal, para ulama telah berinteraksi pelbagai dengan ragam pemikiran, daripada yang lurus hingga yang menyimpang.
Akan tetapi, apa yang menarik adalah, cara mereka menyikapi perbezaan menunjukkan kemuliaan tradisi keilmuan Islam. Bukan dengan emosi, tetapi dengan diskusi. Bukan dengan hawa nafsu, tetapi dengan ilmu. Bukan dengan membakar buku yang kebetulan isinya tidak dipersetujui, tetapi dengan membantah isinya secara kritis.
Sebahagian orang mungkin tergoda mengambil jalan pintas: menutup, melarang bahkan memusnahkan buku yang dianggap berbahaya. Padahal, jika kita mengimbau sejarah, jalan itu bukanlah arus utama. Benar. Ada riwayat bahawa sebahagian ulama pernah mengubur atau membakar kitab. Akan tetapi, sebagaimana disebut oleh Imam Adz-Dzahabi, tindakan tersebut dilakukan dalam konteks menjaga ketulenan atau kesahihan riwayat. Bukan kerana tidak sepakat dengan isi pemikiran. Kebimbangannya adalah manipulasi oleh pihak yang tidak amanah. Bukan semata-mata disebabkan oleh perbezaan pandangan.
Di sinilah pentingnya ketelitian dalam memahami konteks. Menyamakan antara menjaga keaslian naskah dengan membakar buku kerana tidak setuju isinya adalah penyederhanaan yang berbahaya. Tradisi Islam sebaliknya dibangun di atas dialektik ilmiah yang sihat.
Lihatlah keteladanan Imam Al-Ghazali. Ketika beliau menilai sebahagian pemikiran falsafah menyimpang, beliau tidak membakar buku-buku para ahli falsafah. Beliau menulis karya monumental berjudul Tahaafut al-Falasifah. Membongkar kesalahan dengan hujjah yang kukuh. Lalu datang Ibnu Rusyd yang tidak sepakat dengan Imam al-Ghazali. Beliau membalas kembali hujah dengan karyanya, Tahaafut at-Tahaafut. Inilah peradaban ilmu. Beradu hujah, bukan beradu emosi. Matlamatnya bukan sekadar untuk memenangi perdebatan, tetapi untuk melahirkan khazanah ilmu yang terus dikaji dan dimanfaatkan hingga ke hari ini.
Gagasan Hanya Dapat Diruntuhkan dengan Gagasan
Membakar satu buku tidak akan pernah memadamkan sebuah gagasan. Buku boleh dicetak kembali, bahkan dalam jumlah yang lebih besar. Adapun gagasan akan terus hidup selama belum dijawab atau digugurkan oleh hujjah yang jauh lebih kuat. Justeru dengan pelarangan tanpa penjelasan, rasa ingin tahu akan semakin besar. Umat pun dibiarkan tanpa bekal untuk menilai.
Kerana itu jika sebuah pemikiran dianggap menyimpang maka kewajipan para ulama dan intelektual adalah menjelaskan di mana letak penyimpangannya: Di mana kesalahannya? Apa bahayanya? Bagaimana bantahannya? Apa argumentasinya?
Dengan cara ini, umat tidak hanya “dijauhkan”, tetapi juga “dikuatkan”.
Di sisi lain, kita juga perlu menyedari bahawa bahaya terbesar bukan sekadar membaca buku yang keliru, tetapi tidak membaca buku tersebut sama sekali. Sebabnya, umat yang tidak membaca akan mudah digiring, mudah diprovokasi dan mudah ditakut-takutkan. Adapun umat yang berilmu, mereka akan mampu menimbang, memilih dan mengambil sikap dengan sedar.
Maka dari itu, menyikapi perbezaan dan bahkan penyimpangan sekalipun, Islam mengajarkan jalan yang mulia: jalan ilmu, hujjah dan adab. Bukan dengan pemusnahan, tetapi dengan pencerahan. Bukan dengan membungkam, tetapi dengan menjelaskan.
Penutup
Terakhir, saya ingin mengutip kata-kata seorang penyair Rusia, Joseph Brodsky, kira-kira demikian maksudnya:
“There are worse crimes than burning books. One of them is not reading them”
(Ada jenayah yang lebih buruk daripada membakar buku. Salah satunya ialah tidak membacanya).
Namun demikian, saya tidak setuju jika membakar buku dituding sebagai sebuah jenayah. Kata-kata di atas sengaja saya kutip sekadar ingin menegaskan bahawa masalah terbesar bukan pada pemusnahan buku, tetapi pada hilangnya budaya membaca dan berfikir kritis. Ini yang akan memicu ketidaktahuan pada diri umat. Masalahnya, ketidaktahuan seringkali mencetuskan permusuhan tanpa alasan. Demikian sebagaimana kata-kata yang dinisbatkan kepada Imam Ali ra.:
الناس أعداء ما جاهلوا
“Manusia itu acapkali memusuhi apa saja yang tidak mereka ketahui.”
Wa maa tawfiiqii illaa biLaah.
#Buku #BudayaIlmu #PeradabanIlmu #Adab #AkhlakIlmuan #AkhlakOrangBerilmu #MasyarakatBerilmu #BookishCommunity