Tugas Ulama Memberi Warna Keimanan (Shibghatullah) dalam Tatanan Kehidupan, Sudahkah Terwujud?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
K.H. Ma’ruf Amin menyatakan bahawa ulama atau kiai hendaklah memberi warna, jangan sampai diberi warna. Mencelupkan shibghatullah rabbaniyah, imaniyah, dan ilahiyah melalui dakwah, pendidikan, ekonomi, hingga politik. Tugas para ulama adalah menyiapkan orang-orang yang faham agama, baik melalui madrasah, majlis taklim, kajian, mahupun pondok pesantren. Hal ini kerana, ulama terdahulu sedar bahawa hidup ini tidak abadi. Pembangunan generasi menjadi tugasnya untuk melanjutkan dakwah kepada umat. Pesantren mempunyai peranan strategik bagi mewujudkannya. (Islam Kaffah, 1-1-2025).
Beliau menambah, saat ulama wafat, yang dibawa adalah ilmunya. Sedangkan harta, seperti kereta, rumah, sawah semuanya ditinggalkan. Itulah sebabnya tidak boleh ada kekosongan ulama dengan mencetak ulama dan ternyata “kilangnya” ada di pesantren. Beliau juga mengingatkan bahawa tugas ulama adalah memberikan warna dalam kehidupan, supaya (umat) tidak berada dalam kehidupan yang jahiliah atau kebodohan. “Ulama itu pemberi warna, jangan sampai diberi warna, yakni cara berfikirnya, kebudayaannya, ekonominya,” katanya. (Antara News, 2-1-2025).
Jika kita perhatikan bahawa yang disampaikan oleh K.H. Ma’ruf Amin adalah benar adanya bahawa para ulama hendaklah memberi warna keimanan (shibghatullah) dalam tatanan kehidupan masyarakat. Hanya saja, adakah tugas ini sudah terwujud dalam tatanan kehidupan umat Islam hari ini? Inilah yang perlu kita cermati dan diwujudkan. Lalu, apakah sebenarnya peranan ulama yang seharusnya sesuai tuntunan Rasulullah SAW sehingga benar-benar membawa kebaikan dan keberkahan bagi umat?
Apa yang Dimaksud dengan Memberi Warna Keimanan (Shibghatullah)?
Tidak salah jika dikatakan bahawa seorang ulama itu hendaklah memberi warna kepada masyarakat dalam segala hal dan sebaliknya tidak boleh diberi warna oleh sesuatu yang tidak sesuai dengan Islam. Bahawa tugas ulama adalah meluruskan umat dari berbagai pemahaman yang tidak benar atau menyimpang adalah benar adanya. Hanya saja yang perlu diperhatikan adalah apakah peranan ini telah terlaksana hari ini?
Lebih-lebih lagi pada situasi hari ini di tengah sistem sekular kapitalisme, banyak pihak yang menolak kebangkitan Islam telah mengalihkan peranan pesantren yang seharusnya menjadi tempat lahirnya ulama, diarahkan untuk menyibukkannya kepada urusan yang berbau ekonomi dan material. Di sinilah peranan ulama diperlukan sebagai baris terdepan untuk merubah keadaan umat yang buruk dan menjaga pesantren berada dalam landasannya dalam mencetak pelapis-pelapis ulama yang lurus. Ini kerana makna shibghatullah bukan sekadar mewarnai.
Dijelaskan dalam tafsir Jalalain tentang QS Al-Baqarah ayat 138 bahawa “shabaghanallaahu shibghah” ertinya ‘Allah mencelup kami dengan suatu celupan’. Sedangkan maksudnya ialah agama-Nya yang telah difitrahkan-Nya atas manusia dengan pengaruh dan bekasnya yang menonjol, tidak ubahnya bagai celupan terhadap kain.
Dapat kita fahami bahawa yang dimaksud memberi warna atau mencelup di sini adalah memberikan identiti keimanan, bererti menjadi umat yang taat dan tunduk menjalankan syariat Allah. Dijelaskan dalam laman daaruttauhid[dot]org bahawa shibghah ini adalah keimanan yang penuh atas seluruh ajaran, nilai, dan ketetapan Allah Taala. Shibghah ini akan masuk meresap ke dalam diri seorang muslim yang mempunyai kesedaran dan penuh pemahaman, menerima Islam.
Dari penjelasan ini semua, tidak dapat dimungkiri bahawa tidak mudah untuk menemukan sosok ulama yang mampu memberi shibghah (keimanan) saat ini. Oleh kerana itu, menjadi kewajipan kita semua untuk mewujudkannya di tengah umat. Bagi mewujudkannya, sudah tentu kita hendaklah merujuk kepada tuntunan Rasulullah SAW seperti apa peranan ulama yang sepatutnya dan juga bagaimana gambaran dan sosok ulama terdahulu. Semua ini akan menjadi pelajaran bagi kita semua.
Peranan Utama para Ulama Pandangan Islam
Pada masa keemasan Islam, umat Islam, baik pada masa sahabat, tabiin, mahupun tabiut tabiin tidak begitu sukar untuk menemukan sosok ulama dan penyampai risalah Islam sejati. Di antara masa itu, ada empat imam yang pendapatnya menjadi rujukan bagi ulama-ulama selanjutnya, yakni Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, dan Imam Ahmad bin Hanbal. Pendapat dan pemikiran empat ulama ini paling banyak memberikan pengaruh kepada kaum muslim. Bukan hanya itu, mereka juga meletakkan dasar-dasar istinbat dan memformulasikan berbagai disiplin ilmu yang sangat besar manfaatnya bagi generasi Islam berikutnya.
Bukan hanya di bidang keilmuan belaka, ulama dan penyampai ajaran Islam dahulu juga menjadi baris terdepan dalam melakukan aktiviti dakwah dan memuhasabah para penguasa. Imam Ahmad bin Hanbal, misalnya, pernah diseksa dan diasingkan pada masa Khalifah Al-Ma’mun, Al-Mu’tashim, dan Al-Watsiq kerana penentangan beliau terhadap gagasan kemakhlukan Al-Quran.
Imam Ibnu Taimiyah turut berjuang bersama kaum muslim melawan tentera Mongol. Beliau juga terkenal sebagai ulama yang berani memuhasabah penguasa hingga akhirnya dimasukkan ke penjara Damaskus. Masa berikutnya, kaum muslim juga dianugerahi Allah seorang ulama besar yang mampu menangkis pemikiran falsafah Yunani, beliau adalah Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.
Lalu, seperti apakah pandangan Islam mengenai peranan dan fungsi utama ulama di tengah-tengah umat? Sekurangnya ada empat hal.
Pertama, ulama adalah pewaris para nabi. Para ulama dan penyampai Islam, baik lelaki dan perempuan, adalah pemelihara dan penjaga warisan para nabi, yakni wahyu atau risalah, Al-Quran dan Sunnah. Dengan kata lain, peranan utama ulama sebagai pewaris para nabi adalah menjaga agama Allah SWT dari kesesatan dan penyimpangan.
Hanya saja, peranan ulama bukan sekadar menguasai khazanah pemikiran Islam, baik yang menyangkut masalah akidah mahupun syariat, tetapi juga bersama umat berupaya menerapkan, memperjuangkan, serta menyebarkan risalah Allah. Ulama juga terlibat aktif dalam perjuangan untuk mengubah realiti masyarakat yang rosak yang bertentangan dengan warisan Nabi SAW.
Dijelaskan dalam sebuah hadis, “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu. Barang siapa mengambil warisan tersebut, dia telah mengambil bahagian yang banyak.” (HR Tirmidzi).
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya kedudukan seorang alim sama seperti kedudukan bulan diantara bintang-bintang. Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi).
Kedua, ulama laksana pelita dalam kegelapan.
Para ulama adalah pembimbing, pembina, dan penjaga umat, serta memberi petunjuk dan menerangi umat sehingga umat mendapat petunjuk serta berada di atas jalan yang benar. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya perumpamaan ulama di muka bumi laksana bintang-bintang yang ada di langit yang menerangi gelapnya bumi dan laut. Apabila padam cahayanya, maka jalan akan kabur.” (HR Ahmad). Juga sabdanya, “Ulama adalah pelita dunia. Ulama adalah pelita alam.” (HR Abu Daud, Nasa’i, dan Baihaqi).
Pada dasarnya, para ulama bertugas membimbing umat agar selalu berjalan di atas jalan yang lurus. Ulama juga bertugas menjaga umat dari segala bentuk kejahatan, pembodohan, dan penyesatan yang dilakukan oleh kaum kafir dan sekutu-sekutunya; melalui gagasan, keyakinan, dan sistem hukum yang bertentangan dengan Islam. Semua tugas ini menghendaki ulama untuk selalu menjaga kesucian agamanya dari semua kotoran.
Ulama juga hendaklah mampu menjelaskan kerosakan dan kebatilan semua pemikiran dan sistem kufur kepada umat Islam. Ulama juga hendaklah mampu mengungkap makar jahat di sebalik semua sepak terjang kaum kafir dan sekutu-sekutunya. Hal ini bertujuan agar umat terpelihara dari kejahatan musuh-musuh Islam.
Ketiga, ulama adalah sumber ilmu.
Ulama adalah orang yang fakih dalam masalah halal-haram. Ulama adalah tempat rujukan dan tempat menimba ilmu sekaligus guru yang bertugas membina umat agar selalu berjalan di atas tuntunan Allah dan Rasul-Nya. Dalam konteks ini, peranan utamanya adalah mendidik umat dengan akidah dan syariat Islam. Dengan begitu, umat memiliki keperibadian Islam yang kuat; mereka juga berani memuhasabah penyimpangan masyarakat dan penguasa.
Keempat, ulama adalah pengawal penguasa.
Peranan dan fungsi ini hanya dapat berjalan jika para ulama mampu memahami hubungan politik global dan lokal. Ulama juga mampu menyingkap makar dan permusuhan kaum kafir dalam memerangi Islam dan kaum muslim. Dengan ungkapan lain, seorang ulama harus memiliki visi politik-ideologi yang kuat, hingga apa yang disampaikannya ke tengah-tengah umat tidak hanya beranjak dari tinjauan normatif belaka, tetapi juga bertumpu pada konteks ideologi-politik.
Dengan demikian, risalah Islam yang disampaikannya akan mampu menjaga umat Islam dari kebinasaan dan kehancuran, bukan malah menjadi sebab malapetaka bagi kaum muslim. Rasulullah SAW bersabda, “Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah, serta orang yang berdiri di hadapan seorang penguasa yang zalim, lalu menasihatinya, kemudian dia dibunuh.”
Imam Al-Ghazali menyatakan, “Dahulu tradisi para ulama memuhasabah dan menjaga penguasa untuk menerapkan hukum Allah Taala. Mereka mengikhlaskan niat. Pernyataannya juga membekas di hati. Namun, sekarang terdapat penguasa yang zalim namun para ulama hanya diam. Walalupun mereka bersuara, pernyataannya berbeza dengan perbuatannya sehingga tidak mencapai keberhasilan. Kerosakan masyarakat itu akibat kerosakan penguasa, dan kerosakan penguasa akibat kerosakan ulama. Adapun kerosakan ulama adalah akibat digenggam cinta harta dan jawatan. Siapa pun yang digenggam cinta dunia nescaya tidak akan mampu menguasai kerikilnya, apatah lagi untuk mengingatkan para penguasa dan para pembesar.” (Ihya ‘Ulumuddin, Juz 7, hlm. 92).
Khatimah
Demikanlah peranan utama ulama yang dituntunkan Rasulullah SAW, para ulama tidak hanya fakih dalam masalah agama dan taat beribadah kepada Allah semata. Akan tetapi, dia wajib peduli terhadap keadaan umat yang sedang terpuruk saat ini dan hendaklah memiliki visi politik dan negarawan yang andal.
Ulama sebagai pewaris para nabi (waratsatul anbiya’) dituntut untuk memainkan peranannya sebagai pemimpin umat dalam meneruskan dakwah Rasulullah SAW, berdiri di barisan terdepan bersama umat menegakkan kalimatillah di muka bumi. Bersuara lantang ketika umat dizalimi dan tidak segan dan takut untuk memuhasabah para penguasa yang zalim.
Semua ini memerlukan kepekaan dan kesedaran politik yang tinggi. Di sinilah pentingnya ulama dan juga umat Islam seluruhnya untuk terus mengasah kepekaan dan kesedaran politiknya. Dengan kegiatan politik ulama yang andal, maka rakyat akan terbina dengan baik, serta akan memiliki kesedaran politik Islam yang tinggi. Dengan demikian ulama dan juga umat akan meraih kemuliaan di dunia dan akhirat. Wallahualam bissawab.