Bukan Sekadar Serangkaian Ritual, Islam Merupakan Suatu Cara Hidup yang Lengkap
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam diskusi Ramadhan and the Gateway to Success (Ramadhan dan Gerbang Menuju Kejayaan), Aktivis Muslimah Palestin Ematallah Mohammed menekankan bahawa Islam bukan sekadar serangkaian ritual atau kepercayaan peribadi, tetapi sistem kehidupan yang lengkap, yang mengawal setiap aspek kehidupan manusia.
“Islam datang untuk membangun kehidupan yang baik, adil dan harmoni bagi umat manusia. Ini (Islam) bukan hanya sekadar serangkaian ritual atau keyakinan peribadi; sebaliknya, ia merupakan suatu cara (sistem) hidup lengkap yang membimbing kita dalam setiap aspek, tindakan individu kita, perkahwinan kita, kehidupan keluarga kita, urusan kewangan kita, dan masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya dalam Channel YouTube Waqiyah Live, Sabtu (1/3/2025).
Menurutnya, kejayaan sejati hanya dapat diraih dengan mentaati perintah Allah dan menjunjung tinggi hukum-hukum-Nya. Segala sesuatu selain itu hanya akan membawa pada kerugian dan kesengsaraan. Sebaliknya, meninggalkan syariat akan memberi impak terhadap ketidakseimbangan sosial dan perpecahan.
“Hari ini kita melihat hancurnya pernikahan dan kehidupan keluarga kerana penolakan hukum-hukum ilahi. Perang gender, rumah tangga yang hancur, dan meningkatnya maksiat adalah akibatnya langsung daripada mengabaikan perintah Allah,” jelasnya.
Beberapa prinsip Islam yang menjadi penyelesaian kepada masalah masyarakat moden turut diketengahkan. Terkait permasalahan politik dan ekonomi pula, Ematallah mengkritik kebergantungan umat Islam kepada solusi dari Barat, yang menurutnya tidak selari dengan kepentingan umat Islam.
“Bergantung pada penyelesaian yang dicadangkan oleh entiti luar, seperti penyelesaian dua negara untuk Palestin atau bantuan daripada organisasi seperti PBB, IMF atau Bank Dunia, secara konsisten gagal menyelesaikan masalah kita. Entiti-entiti ini beroperasi berdasarkan kepentingan dan agenda Barat serta tidak selari dengan kebajikan umat Islam,” tegasnya.
Sebagai alternatif, beliau mengajak umat Islam untuk kembali kepada sistem pemerintahan Islam yang lebih mensejahterakan, iaitu sistem Khilafah. Khilafah adalah sistem pemerintahan yang ditetapkan oleh Allah dalam Islam. Khilafah menghapuskan rejim zalim dan diktator, menggantikannya dengan kepemimpinan yang dipilih oleh umat melalui bai’at, memastikan akauntabiliti dan pematuhan terhadap prinsip-prinsip Islam.
Menurutnya, keberkesanan khilafah sebagai solusi sudah terbukti dalam sejarah, misalnya dalam peristiwa kemenangan kaum Muslimin ke atas tentera Mongol dalam Pertempuran Ain Jalut. Berdasarkan sejarah, khilafah telah menunjukkan kemampuan untuk menyatukan umat Islam dan sumber daya demi mempertahankan diri (negara Islam) dari penindasan dan membebaskan wilayah-wilayah yang diduduki.
“Dalam Pertempuran Ain Jalut, Sultan Saifuddin Qutuz menyatukan pasukan dari berbagai wilayah untuk mengalahkan bangsa Mongol. Contoh ini menggambarkan keberkesanan umat yang bersatu di bawah khilafah dalam menghadapi ancaman-ancaman eksternal,” ungkapnya.
Ematallah turut menyebut tentang keteguhan hati rakyat Palestin sebagai contoh keberanian dan keimanan yang patut diteladani oleh umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam di Palestin merupakan contoh kehidupan yang lebih mengutamakan akhirat berbanding keuntungan duniawi. Fokus inilah yang memperkasakan mereka untuk menghadapi ujian dan cabaran dengan kesabaran dan iman.
“Kita mesti tanamkan konsep pengorbanan dan perjuangan yang diperlukan agama, yakni jangan pernah menyerah, jangan pernah tunduk pada musuh, jangan pernah terima kekalahan,” tegasnya.
Sumber: https://www.youtube.com/live/TqrYocqyg_k?si=hl04nxMvjQAHOnO6