BENARKAH TIDAK BOLEH MENASIHATI PEMIMPIN SECARA TERBUKA?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Assalamualaikum wbt., mohon menjelaskan hadis ini. Dari ‘Iyādh bin Ghanam RA, bahawa Nabi SAW berkata:
مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ، فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً، وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ، فَيَخْلُوَ بِهِ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ، وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ
“Barang siapa hendak menasihati pemimpin akan suatu perkara, janganlah dia menampakkan perkara itu secara terang-terangan, tapi peganglah tangan pemimpin itu dan pergilah menyendiri dengannya. Jika dia menerima nasihatnya, itu baik, jika tidak, orang itu telah menunaikan kewajipannya kepada pemimpin itu.” (HR. Ahmad, Al-Musnad, 3/403-404) (Al-Haitsami, Majma’ Al-Zawā`id, 5/232). (0896-7860-4569)
Jawapan:
Wa‘alaikumussalam wbt.
Hadis di atas statusnya dha’īf (lemah) sehingga tidak boleh dijadikan hujjah (dalil syarie landasan hukum), kerana 2 (dua) alasan berikut;
(1) kerana sanadnya terputus (inqithā’), kerana ada seorang periwayat hadis dari generasi tābi’īn, yang bernama Syuraih bin ‘Ubaid Al-Hadhrami, yang tidak pernah mendengar riwayat hadis tersebut dari periwayat generasi sahabat, iaitu ‘Iyādh bin Ghanam dan Hisyām bin Hakīm. (Al-Haitsami, Majma’ Al-Zawā`id, 5/229).
(2) kerana dalam hadis tersebut ada periwayat hadis yang lemah, iaitu Muhammad bin Ismā’il bin ‘Ayāsy Al-Himshi (محمد بن إسماعيل بن عياش الحمصي). (M. Abdullah Al-Mas’ari, Muhāsabah Al-Hukkām, hlm. 41-43).
(Lihat: https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/52).
Seandainya hadis tersebut sahih, hukum syarak yang terkandung di dalam hadis tersebut hanya bersifat anjuran (afdhal) untuk menasihati pemimpin secara sembunyi, namun hukumnya tidak sampai mengharamkan nasihat yang disampaikan kepada pemimpin secara terbuka di muka umum. Hal ini dibuktikan dengan praktik para shahabat Nabi SAW yang sering mengkritik para khalifah secara terbuka di muka umum, di antaranya:
Pertama, diriwayatkan dari Nafi’ Maula Ibnu Umar RA, ketika Khalifah Umar bin Khattab RA menaklukkan Syam, beliau tidak membahagikan tanah Syam kepada para mujahidin. Maka Bilal RA memprotes Khalifah Umar bin Khattab RA dengan berkata:
لَتَقْسِمَنَّهاَ أَوْ لَنَتَضَارَبَنَّ عَلَيْهَا بِالسَّيْفِ
“Kamu mesti membahagi tanah itu atau kita terpaksa ambil tanah itu dengan pedang!” (HR Al-Baihaqi, As-Sunan Al-Kubrā, Juz VII, hlm. 318, no. 18764, hadis sahih).
Hadis ini menunjukkan Bilal telah mengkritik Khalifah Umar bin Khattab RA secara terbuka di hadapan umum. (Ziyād Ghazzāl, Masyrū’ Qānūn Wasā’il Al-I’lām fī Ad-Daulah Al-Islāmiyah, hlm.24).
Kedua, diriwayatkan dari ‘Ikrimah RA, Khalifah Ali bin Abi Thalib RA telah menjatuhkan hukuman mati dengan cara dibakar hidup-hidup kepada kaum zindīq (kaum yang secara lahiriah menunjukkan keislaman, tetapi sebenarnya mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya). Berita ini telah sampai kepada Ibnu ‘Abbas RA, maka berkatalah beliau mengkritik Khalifah Ali bin Abi Thalib RA, “Kalau aku, nescaya aku tidak akan membakar mereka kerana Nabi SAW telah bersabda:
لَا تُعَذِّبُوْا بِعَذَابِ اللَّهِ
“Janganlah kamu menyeksa dengan seksaan Allah (api),” dan nescaya aku (Ibnu ‘Abbas) akan membunuh mereka kerana sabda Nabi SAW:
مَن بَدَّلَ دِيْنَهُ فَاقْتُلُوْهُ
“Barang siapa mengganti agamanya (keluar dari agama Islam), maka bunuhlah dia.” (HR. Al-Bukhari, no. 3017).
Dalam hadis ini jelas Ibnu Abbas RA mengkritik Khalifah Ali bin Abi Thalib RA secara terbuka di muka umum. (Ziyād Ghazzāl, Masyrū’ Qānūn Wasā’il Al-I’lām fī Ad-Daulah Al-Islāmiyah, hlm.25).
Berdasarkan dalil-dalil di atas, boleh hukumnya mengkritik pemimpin secara terbuka di muka umum, baik di media massa seperti di internet, sosial media, surat khabar, majalah, mahupun saat berdemonstrasi, di pasar, di kampus, dan sebagainya. Walaupun demikian, jika nasihat tersebut disampaikan secara sembunyi/diam-diam kepada pemimpin, maka itu lebih baik, meskipun hukumnya tidak wajib menurut syarak (hukum Islam).
(Lihat: https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/23).
Wallāhu a’lam.