TUJUH TAHAP PERLINDUNGAN ANAK DALAM ISLAM
Oleh: Deasy Rosnawati, S.T.P
Anak adalah manusia kecil yang memerlukan perlindungan untuk tumbuh dan berkembang. Anak diciptakan Allah untuk menjadi pengemban dakwah dan jihad. Maka, orang-orang dewasa yang berada di selilingnya, bertanggungjawab menjaga, melindungi dan membersamai anak dalam pertumbuhan dan perkembangan menuju tujuan penciptaannya.
Siapakah orang dewasa yang bertanggungjawab menjaga dan membersamai anak dan apakah tanggungjawab mereka terhadap anak secara langsung mahupun tidak langsung? Seluruh pengaturan tersebut terdapat dalam rangkaian hukum-hukum syariat sebagai berikut:
Pertama: Hadhanah
Hadhanah ertinya pengasuhan anak. Aktivitinya mencakup antara lain memandikan, menyuap anak makan, menyusui, menukarkan pakaian, membersihkan kemaluan anak setelah membuang air kecil mahupun besar, dsb. Anak-anak yang baru lahir mendapat hadhanah seratus peratus. Lalu, seiring perkembangan waktu, dengan semakin tumbuh dan berkembangnya anak, tanggungjawab hadhanah berkurang dan berakhir ketika anak telah besar dan mampu mengurus dirinya.
Siapakah yang mempunyai hak dan kewajipan melakukan hadhanah? Ibu, saudara perempuan (adik beradik perempuan) dan ibu saudara. Ibu adalah semua orang yang boleh digelar ibu dalam pandangan syariat islam. Ianya termasuk ibu kandung pada urutan pertama, kemudian ibu kepada ibu (nenek) pada urutan kedua. Kemudian, ayah kandung pada urutan ketiga, dan ibu kepada ayah pada urutan keempat dan seterusnya.
Jika kelompok ibu tidak ada, maka hak hadhanah berpindah ke kelompok kedua iaitu saudara perempuan (adik beradik perempuan). Dimulai dari saudara perempuan sekandung, lalu saudara perempuan sebapa. Saudara perempuan seibu, tidak memiliki hak hadhanah.
Jika kelompok saudara perempuan tidak ada, maka hak hadhanah berpindah kepada ib saudarai. Dimulai dari ibu saudara dari sebelah ibu (kakak dan adik perempuan ibu). Dari yang sekandung dengan ibu, kemudian ibu saudara yang sebapa dengan ibu dan seterusnya.
Orang-orang yang tidak termasuk dalam urutan hadhanah, dianggap tidak berhak melakukan hadhanah. Maka hadhanah tidak boleh diwakilkan dan tidak boleh diupahkan.
Hak hadhanah selain berpindah berdasarkan urutan tertentu kerana urutan sebelumnya tidak ada (wafat); juga boleh berpindah urutan kerana pelaku hadhanah pada urutan sebelumnya tidak memenuhi syarat kemampuan.
Syarat kemampuan yang dimaksudkan adalah memiliki sifat penuh kasih sayang, memiliki akhlak yang baik dan fokus dalam melakukan hadhanah. Seorang yang fasik (pelaku maksiat) boleh kehilangan hak hadhanah. Begitu juga perempuan yang tutur kata dan akhlaknya yang buruk, juga boleh kehilangan hak hadhanah. Begitu juga dengan perempuan-perempuan yang sibuk melakukan urusan lain juga boleh kehilangan hak hadhanah. Termasuk perempuan yang kemurungan, dengan sendirinya kehilangan hak hadhanah.
Dengan adanya urutan dan adanya jaminan kemampuan tertentu pada hadin (pelaku hadhanah), maka Islam menjamin setiap anak berada dalam pengasuhan yang terbaik.
Kedua: Kafalah
Kafalah adalah pengasuhan. Berbeza dengan hadhanah. Hadhanah bermakna merawat anak dan melayaninya. Sedang kafalah adalah pengasuhan secara umum (anak telah mandiri). Manakala anak-anak yang belum sepenuhnya mandiri, diasuh dengan cara dirawat dan dilayani atau diasuh dengan hadhanah.
Sedang anak-anak yang telah mandiri, diasuh dengan pengarahan dan diingatkan, bukan dilayani. Seperti diingatkan untuk makan, istirehat, mandi dsb serta dibantu sekadarnya. Sebab, meski telah mandiri, anak-anak belum sepenuhnya mampu mengukur tahap keperluan dirinya, hingga perlu ada orang dewasa yang mengingatkannya.
Kafalah adalah kewajipan keluarga (ayah dan ibu).
Ketiga: Madrasah
Madrasah ertinya sekolah. Ayah dan ibu adalah dua sosok yang mempunyai kewajipan menjalankan fungsi madrasah. Ayah bahkan wajib menjadi madrasah bagi ibu, agar ibu mampu menjadi madrasah pertama dan utama bagi anak.
Meksi sama-sama menjalankan fungsi madrasah, namun madrasah ayah lebih bersifat formal. Maka ayah sebaiknya mempunyai forum tertentu yang dikhususkan secara rutin untuk memberikan nasihat dan arahan pada anak. Sedangkan ibu, menjalankan fungsi madrasah selama ibu membersamai anak. Ibu wajib menyampaikan pengetahuan-pengetahuan tentang apa saja yang ada di sekeliling anak sebanyak-banyaknya. Kerana kecerdasan seorang anak bergantung kepada informasi yang diperolehinya.
Ibu menyampaikan berbagai perkembangan yang dialami anak kepada ayah. Lalu ayah bertindak dalam bentuk arahan yang tepat di forum yang dikhususkan tersebut.
Dengan berjalannya fungsi madrasah oleh keluarga, maka anak akan memiliki kematangan dan pengetahuan untuk mampu bersikap secara tepat dalam setiap situasi dan keadaan, seterusnya si anak akan mampu melindungi dirinya sendiri.
Keempat: Wilayah
Wilayah ertinya kekuasaan. Dalam hal ini, ayah-lah yang mempunyai kuasa terhadap seluruh ahli keluarganya. Ayah mempunyai hak atas perintah dan larangan yang wajib ditaati, dalam rangka menjaga jiwa dan kehormatan seluruh anggota keluarga termasuk mempunyai kewajipan nafkah dalam memenuhi keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Ayah adalah pembuat keputusan dalam setiap persoalan dan permasalahan yang berlaku dalam keluarga.
Ayah mesti ambil tahu siapa teman bermain anak dan suasana bermainnya, hingga ayah boleh melarang anak bermain dengan teman-teman yang membahayakan diri dan akhlaknya. Ayah mesti mencari tahu keberadaan anaknya saat dia tidak ditemukan di rumah. Bahkan berhak mengarah anaknya untuk pulang ke rumah. Itulah makna wilayah.
Kelima: Ri’ayah
Ri’ayah ertinya mengurusi. Dalam hal ini, yang berkewajipan untuk mengurusi adalah Negara. Ketua Negara dalam pandangan Islam wajib menjalankan fungsi ra’in (mengurusi). Iaitu mengurusi rakyatnya hingga seluruh rakyat orang per orang terpenuhi keperluan utamanya, mendapat peluang untuk memenuhi keperluan kamaliyatnya (keperluan pelengkap).
Dengan fungsi ri’ayah, Negara wajib memastikan setiap ayah mampu untuk menafkahi keluarganya. Ayah-ayah yang mampu bekerja, dipastikan oleh Negara mendapatkan pekerjaan. Bagi ayah-ayah yang cacat dan tidak mampu bekerja, Negara akan memastikan para ayah tetap mampu menafkahi keluarganya, dengan cara, para wali dari ayah yang cacat itu tadi, menjalankan fungsi nafkah. Mereka menafkahi ayah yang cacat tersebut beserta seluruh keluarga yang menjadi tanggungannya. Apabila para wali tersebut pun tidak ada, atau tidak mampu menafkahi, maka Negaralah wali yang menjalankan fungsi pemenuhan nafkah secara langsung.
Fungsi ri’ayah mewajibkan Negara menjalankan seluruh syariat Islam dalam tata kenegaraan. Sebab hanya dengan syariat Islamlah anggaran pemasukan Negara terjamin kecukupannya.
Apabila Negara menjalankan fungsi ri’ayah, maka setiap ayah akan mampu menjalankan kewajipan nafkah. Seterusnya, apabila ayah mampu menjalankan kewajipan nafkah, maka ibu dapat menjalankan fungsi hadhanah dengan baik dan dapat bersama-sama ayah mewujudkan fungsi kafalah dan madrasah, juga dengan baik.
Keenam: JUNNAH
Junnah ertinya perisai. Dalam hal ini Negara jugalah yang menjalankan fungsi junnah. Negara menjalankan syariat Islam dalam politik luar negeri, menjalankan syariat Islam dalam penjagaan keamanan dalam negeri dan menjalankan perundangan Islam dalam perkara pengadilan.
Ketiga-tiga bidang ini dilaksanakan Negara dalam rangka menjaga keselamatan rakyat baik secara fizikal mahupun menjaga keselamatan akidah, pemikiran dan akhlak mereka dari segala hal yang boleh mengancamnya.
Negara menghilangkan konten pornografi yang merosak generasi, menghilangkan aksi-aksi mengumbar aurat. Melaksanakan sistem uqubat (hukuman) dalam setiap pelanggaran syariat. Menghukum pelaku kejahatan, termasuk kejahatan terhadap anak dengan hukuman yang setimpal, yang akan menginsafkan mereka.
Dengan berjalannya fungsi junnah, seluruh rakyat termasuk anak-anak akan hidup dalam suasana penuh perlindungan.
Ketujuh: Muhasabah
Muhasabah adalah pembaikan. Fungsi ini dijalankan oleh seluruh rakyat. Baik muhasabah antara sesama anggota masyarakat dengan dakwah dan amar makruf nahi munkar, juga muhasabah terhadap kebijakan Negara yang menyimpang, muhasabah terhadap pegawai Negara yang tidak menjalankan tugasnya dengan optimum dsb.
Inilah tujuh fungsi atau tahap perlindungan anak yang terdapat dalam syariat Islam. Apabila ketujuh fungsi ini dapat berjalan dengan baik, maka akan terbentuk tujuh lapis perlindungan bagi anak untuk tumbuh dan berkembang dengan baik. Hingga terbentuklah generasi-generasi yang bersedia menunjang kejayaan Islam dengan dakwah dan jihad, demi menyebarkan rahmat ke seluruh penjuru bumi.
Wallahua’lam
Sumber: Mom’s Room Tegar TV