[Kisah Inspirasi] Tetamu Abu Darda
Muhammad bin Ka’ab meriwayatkan bahawa terdapat beberapa orang mengunjungi rumah Abu Darda pada malam yang dingin. Beliau memberi mereka makanan yang hangat. Namun beliau tidak memberikan selimut kepada mereka.
Di antara mereka ada yang berkata, “Abu Darda telah memberi kami makanan, tetapi beliau tidak memberi selimut. Saya ingin bertanyakan hal ini kepadanya.” Seorang lagi berkata, “Biarkanlah beliau.” Lelaki itu kemudian pergi ke tempat Abu Darda. Setibanya di depan pintu, beliau melihat Abu Darda sedang duduk bersama isterinya. Kedua-dua mereka memakai pakaian yang sangat sederhana dan tidak mempunyai selimut.
Lelaki itu berkata kepada Abu Darda, “Mengapa saya melihat anda tidak tidur seperti kami tidur?” Abu Darda menjawab, “Sesungguhnya kami mempunyai rumah yang kami boleh berpindah ke sana. Kami boleh membawa selimut dan tilam ke sana. Namun, kami telah memberikan semua itu kepada orang lain. Sekiranya kami masih mempunyai selimut, kami pasti akan memberinya kepada kamu. Namun, di hadapan kita ada halangan yang berat, yang mana seseorang yang memikul beban yang ringan, lebih baik daripada seseorang yang memikul beban yang berat. Adakah engkau faham apa yang ingin ku sampaikan kepadamu?” Lelaki itu berkata, “Ya.” [Ibnu al-Jauzi, 500 Kisah Orang Saleh Penuh Hikmah]
HIKMAH
Abu Darda, sahabat Nabi SAW yang sungguh bijaksana memberi beberapa pesanan penting dari kisahnya.
Pertama, Abu Darda menunjukkan bagaimana sepatutnya sikap seorang muslim terhadap tetamu mereka. Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” [HR Bukhari].
Islam sangat menganjurkan agar sentiasa memuliakan dan menghormati tetamu sebagai satu bentuk ketakwaan kepada Allah SWT, serta sebagai bentuk penghormatan kepada diri sendiri. Ini kerana keperibadian seseorang itu boleh dilihat dari cara menerima tetamu dan menghormati seseorang yang berkunjung ke rumahnya.
Menziarahi dan menerima tetamu adalah cara bagi menjaga tali silaturahim dan ukhuwah Islamiyyah. Antara kebaikan memuliakan tetamu ialah mendapat pahala seperti haji dan umrah. Rasulullah SAW bersabda, “ Jika seorang tetamu memasuki rumah seorang mukmin, seribu berkah dan seribu rahmat akan masuk bersama tetamu itu. Allah akan menulis pahala untuk pemilik rumah itu pada setiap kali suapan makanan yang dimakan oleh tetamu seperti pahala haji dan umrah.” [HR Ibnu Abbas].
Kedua, Abu Darda juga memberikan pesanan berharga bahawa orang yang membawa beban yang ringan lebih baik daripada orang yang membawa beban yang berat. Ini membayangkan kepada kita bahawa setiap amanah adalah satu bebanan yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT. Orang yang diberi amanah berat, berat juga hisabnya, seperti amanah menjadi pemimpin kaum muslim. Sedangkan bagi orang yang diberi amanah ringan ,juga ringan hisabnya, contohnya bersikap baik kepada tetamu yang datang ke rumah kita.
Jadi, janganlah kita meremehkan amanah kita walau sekecil mana pun. Ini kerana di akhirat nanti, amalan kita seperti timbangan yang akan diminta pertanggungjawaban. “Diletakkan timbangan-timbangan itu pada Hari Kiamat, maka timbanglah amal kebaikan dan amal kejahatan. Barang siapa lebih berat timbangan kebaikannya daripada timbangan kejahatannya, sekali pun seberat sebutir biji, maka masuklah dia ke dalam syurga. Akan tetapi barang siapa timbangan kejahatannya lebih berat daripada timbangan kebaikannya, sekalipun seberat sebutir biji, masuklah dia ke dalam neraka.” [HR Abu Daud dan Tirmidzi]
Semoga kisah di atas menjadikan kita lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menunaikan amanah. Wallahu’alam.
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/02/08/34842/