[Kisah Inspiratif] Ulama dan Umara
Raja’ bin Haiwah memiliki kisah yang menerangkan kisahnya dalam menjalin hubungan dengan para khalifah dan menjelaskan kepentingannya kepada mereka. Raja’ menceritakan tentang dirinya, “Aku pernah berdiri bersama Sulaiman bin Abdul Malik di hadapan khalayak orang ramai. Tiba-tiba aku melihat seseorang menuju ke arah kami di tengah-tengah barisan. Orang tersebut kelihatan tampan wajahnya dan terpancar kewibawaannya. Orang tersebut terus membelah barisan hingga aku tidak ragu lagi bahawa dia hendak menemui khalifah.
Akhirnya, dia berada di hadapanku dan berdiri di sampingku. Kemudian, dia mengucapkan salam kepadaku dan berkata, ‘Wahai Raja’, sesungguhnya anda telah diuji dengan orang ini (maksudnya khalifah). Sesungguhnya di dalam dirinya ada banyak kebaikan, juga kejahatan. Maka, jadikanlah hubunganmu yang dekat dengan penguasa sebagai kebaikanmu dan kebaikan orang ramai. Ketahuilah wahai Raja’, bahawa barang siapa mendapat kedudukan dari penguasa, lalu dia menyampaikan keinginan orang yang lemah yang tidak boleh menyampaikannya, maka orang itu nanti akan bertemu Allah SWT pada hari kiamat dalam keadaan teguh ketika dihisab. Ingatlah wahai Raja’, bahawa amal yang paling dicintai Allah SWT adalah memasukkan kegembiraan ke dalam hati seorang muslim.’
Ketika aku sedang menghayati kata-kata orang tersebut dan aku ingin mendapatkan nasihat lebih banyak darinya, tiba-tiba khalifah memanggilku seraya berkata, ‘Di mana Raja’ bin Haiwah?’ Kemudian aku berjalan menghampirinya dan berkata, ‘Saya, wahai Amirulmukminin!’ Khalifah bertanya tentang sesuatu kepadaku dan setelah aku menjawabnya, aku menoleh ke arah orang tersebut tadi. Akan tetapi, aku tidak menemukannya. Selanjutnya, aku melihat ke semua tempat dan aku tetap tidak menemukannya.” [Abdurrahman Ra’fat al-Basya, Jejak Perjuangan dan Keteladanan para Tabiin]
Hikmah
Raja’ bin Haiwah memang dikenali sebagai ulama penasihat para khalifah semasa kekhalifahan Umayyah. Hubungannya dengan para khalifah Umayyah merupakan rahmat dan kurniaan Allah SWT yang besar untuk para pemimpin kaum muslim. Raja’ kerap mengajak para penguasa kepada kebaikan dan berjalan ke arah itu. Dia juga memalingkan mereka dari keburukan dan kemungkaran. Dia menampakkan kebenaran dan menghiasinya sehingga mereka mengikutinya. Dia juga memperlihatkan kebatilan dan melarang mereka melakukannya. Nasihat untuk Raja’ sebagai pendamping penguasa dapat kita ambil hikmahnya seperti berikut.
Pertama, meskipun berada dekat dengan penguasa, maruah ulama mesti tetap terjaga. Hal yang benar atau salah menurut syariat Islam, seorang ulama mesti teguh pada prinsip tersebut. Ulama adalah barisan hadapan menyampaikan kebenaran dan melawan kebatilan. Ulama adalah penegak amar makruf nahi mungkar. Ulama tidak boleh berkata menurut kemahuan penguasa, tetapi dia mesti berkata dan berjuang hanya untuk Allah dan RasulNya.
Kedua, konsistensi berdakwah di lingkaran kekuasaan mesti senantiasa terjaga. Raja’ bin Haiwah melakukan konsistensi tersebut. Dia tidak pernah bermanis muka di hadapan umara, apalagi menjilat mereka demi meraih harta dunia. Ulama adalah pewaris Nabi SAW. Dia berkata selari dengan pedoman Al-Quran dan Sunnah, bukan menjadi corong moderasi sekular yang menjauhkan kaum muslim dari ajaran Islam yang sebenarnya.
Kekuasaan itu memang melalaikan. Oleh kerana itu, para ulama semestinya menjaga konsistensinya sebagai ulama yang mengajarkan Islam secara kaffah. Demikianlah yang diajarkan oleh Raja’ bin Haiwah. Walaupun hampir dengan penguasa, dia tidak pernah meminta jawatan atau mengatakan sesuatu yang di luar ketetapan Allah dan RasulNya hanya untuk menyenangkan para pendengarnya.
Ulama adalah tempat bertanya. Umat meminta nasihat dan pencerahan kepadanya. Begitupun dengan penguasa. Tidak sepatutnya ulama yang mendatangi penguasa. Sepatutnya para umara yang mendatangi ulama agar kepimpinannya benar-benar amanah dan tidak bersikap zalim kepada rakyatnya.
Dalam hadis riwayat Dailami, dari Umar bin Khattab, Nabi SAW bersabda, “Sungguh Allah mencintai penguasa yang mendatangi ulama. Dia membenci jika ulama yang mendekati penguasa. Ini kerana ketika ulama mendekati penguasa, maka yang diinginkannya urusan dunia. Apabila penguasa yang mendekati ulama, maka yang diinginkannya urusan akhirat.” Seperti inilah sepatutnya hubungan ulama dan umara. Senantiasa menjaga ketaatan kepada Allah SWT dan mengembangkan amanah dengan sebaik-baiknya. Wallahu’alam.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2025/01/25/34568/