Bagaimana menjadikan seluruh bulan adalah Ramadhan
Oleh: Afiqah
Ramadhan merupakan bulan yang istimewa, memiliki banyak keutamaan dan keberkatan. Bulan ini menjanjikan begitu banyak pahala, rahmat dan keampunan kepada umat Islam. Bukan sekadar itu, ganjaran bagi setiap amal kebaikan yang dilakukan di bulan ini akan dilipatgandakan oleh Allah SWT.
Di bulan ini juga, terdapat malam al-Qadar, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Semua ini pasti menjadikan seseorang Muslim itu teruja untuk meraih segala kebaikan dan meraih redhaNya. Muslim yang sejati pastinya tidak akan mensia-siakan sedikit pun peluang keemasan di bulan suci ini.
Namun demikian, alangkah baiknya jika seorang mukmin menjadikan seluruh bulan-bulan berikutnya tetap seperti bulan Ramadhan. Ini kerana ulama telah menyampaikan kebaikan bagi mereka yang menjadikan seluruh bulan seperti Ramadhan. Syeikh Sulaiman bin Salimullah ar-Ruhaily hafizahullahu menukilkan perkataan sebahagian ulama:
من جعل أيام حياته كأيام رمضان جعل الله له آخر حياته كالأعياد
“Barangsiapa yang menjadikan hari-hari hidupnya seperti hari-harinya saat bulan Ramadhan, maka Allah akan menjadikan akhir hidupnya seperti hari raya.” [Fikih Muamalah Maliyah hal. 284]
Ketika di bulan Ramadhan, manusia membiasakan diri meninggalkan pelbagai perbuatan maksiat dan memperbanyakkan amalan soleh. Ketika berpuasa, seseorang diingatkan bahawa tidak ada tempat yang tersembunyi daripada penglihatan dan pendengaran Allah SWT. Apabila keyakinan itu dipraktikkan, nescaya akan mewujudkan peribadi yang bertakwa, iaitu peribadi yang selalu patuh dan taat kepada perintah dan laranganNya. Keimanan seperti inilah yang perlu diteruskan di bulan-bulan lain juga.
Selain itu, kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan sunat di bulan Ramadhan seperti bertadarus, qiamullail, melakukan solat tarawih, bersedekah dan amalan sunat lainnya kerana ganjaran pahala yang dilipatgandakan. Janganlah kita hanya melaksanakan amalan soleh tersebut di bulan Ramadhan sahaja. Kita hendaklah istiqamah meneruskan amal kebaikan ini di bulan syawal dan bulan-bulan berikutnya sehinggalah kita diizinkan bertemu Ramadhan seterusnya.
Kita perlulah menjaga kualiti ibadah pasca ramadhan agar sama persis atau malah lebih baik lagi. Terdapat beberapa tips untuk istiqamah beramal selepas ramadhan. Antaranya ialah meninggalkan perkara-perkara batil, maksiat dan dosa. Kedua, meninggalkan perkara-perkara yang haram. Ketiga , meneruskan amal soleh yang dilaksanakan ketika Ramadhan. Keempat, menjauhi sifat tamak dan rakus. Kelima, tidak menyakiti orang lain.
Seiring dengan berlalunya Ramadhan, semoga kecintaan kita untuk istiqamah dalam kebaikan dan beramal soleh terus bertambah agar ketakwaan dapat direalisasikan. Dengan menjaga biah Ramadhan sepanjang tahun, mudah-mudahan kita terus merasakan kemenangan dalam hidup, seperti halnya kemenangan di bulan Syawal. Allahumma aamiin.