[Siri Sinar Ramadhan] Keutamaan Ramadhan Dalam 12 Bulan Seumpama Nabi Yusuf A.S Dalam 12 Bersaudara
“Bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain adalah seperti Yusuf A.S berbanding dengan saudara-saudaranya. Oleh itu, sebagaimana Yusuf A.S adalah anak yang paling disayangi oleh Ya’qub, Ramadhan juga adalah bulan yang paling disayangi oleh Allah.”
قَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ ٱلْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ ٱللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ ٩٢
Dia (Yūsuf) berkata, “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu) dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang”. (TMQ Yusuf [12]:92)
Sebagaimana Yusuf A.S setelah segala yang dilakukan oleh saudara-saudaranya dengan suci hati memohon keampunan Allah untuk mereka, Ramadhan juga adalah bulan rahmat, keberkatan, kebaikan, penyelamatan dari api neraka, dan keampunan yang melebihi bulan-bulan lain serta apa yang boleh diperolehi dari hari-hari dan malam-malamnya.
Saudara-saudara Yusuf A.S datang kepadanya untuk memperbaiki kesalahan mereka setelah segala yang mereka lakukan. Lalu, Yusuf A.S membantu mereka, memberi mereka makan daripada kelaparan, dan mengalu-alukan mereka datang lagi. Begitulah, seorang yang mulia mengisi kekurangan sebelas orang lain, sedemikianlah Ramadhan, semoga dengannya kita dapat menampung kekurangan kita pada bulan-bulan yang lain, memperbaiki kesalahan kita, dan menutupnya dengan kebahagiaan dan kegembiraan.
Renungkanlah juga…
Bau Yusuf A.S mengembalikan penglihatan Ya’qub A.S yang telah buta, dan tenaganya yang telah lemah. Sedemikianlah kita yang bangkit dengan kesedaran dan kekuatan iman setelah mencium keharuman Ramadhan
Semoga Ramadhan kita membawa kekuatan dan kemenangan yang dicari, Amin.
~
[Dari Al-Hafiz Ibn al-Jawzi Rahimahullah – ‘Bustan al-Wa’idhin wa Riyad as-Sami’in’ (ms. 213-214)]