Membina Pendidikan Generasi Muslim dengan Pola Pendidikan Berideologi
Pendidikan anak merupakan aspek fundamental dalam membangun generasi muslim yang memiliki pemahaman Islam yang kuat dan mampu mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Namun, dalam dunia saat ini yang sudah bercampur baur dengan pemikiran sekular, menjadikan cabaran dalam mendidik generasi muslim menjadi semakin besar. Pendidikan konvensional pula seringkali hanya menekankan aspek akademik dan kemahiran tanpa memberikan pemahaman yang mendalam tentang Islam sebagai sistem kehidupan yang komprehensif. Hal ini justeru menyebabkan banyak pihak tercari-cari konsep pendidikan yang lebih komprehensif yang bukan hanya mengembangkan kecerdasan spiritual, bahkan mampu membina pola fikir Islami yang kukuh dalam diri setiap generasi muslim. Namun masih ramai yang terjebak dalam metode pendidikan yang bersifat eksperimental serta masih jauh dari menerapkan asas Islam sebagai ideologi di dalam idea dasarnya.
Sehubungan dengan ini, ada penulisan yang sebenarnya menginspirasikan dalam mencari model pola pendidikan berasaskan ideologi bagi generasi Muslim. Penulisan tersebut adalah Kitab At-Takattul al-Hizbiy (Pembentukan Parti Politik Islam) , sebuah karya Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah. Beliau adalah seorang ulama mujtahid, pemikir dan ahli politik Islam terkemuka. Metode yang digunakan dalam membangun kebangkitan umat dapat diaplikasikan dalam membentuk pola pendidikan berideologi bagi generasi muslim. Kitab ini sebenarnya menekankan bahawa sebuah perubahan besar tidak mungkin terjadi dalam sekelip mata. Melainkan, ia sebenarnya dirintis melalui proses-proses yang sistematik. Suatu proses yang bermula dari individu, berkembang menjadi kelompok dan akhirnya membentuk kesedaran kolektif dalam masyarakat.
Konsep ini menjana inspirasi bahawa pendidikan generasi muslim sepatutnya tidak boleh hanya sebatas mengajarkan ilmu pengetahuan secara teori. Sebaliknya, mesti juga ditanamkan dasar-dasar ideologi Islam dan pemikiran politik Islam dalam diri setiap generasi muslim.
Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani menukilkan, “Sekolah mendidik dan mencerdaskan seseorang serta memberinya ilmu dengan menganggap bahawa ia adalah seorang individu yang khusus,…Namun ia tidak membentuk jamaah yang sedar akan perjuangan Islam.“
Dari kenyataan tersebut, jika kita telaah lebih dalam, akan dapat kita kaitkan dengan sistem pendidikan sewajarnya diterapkan pada generasi muslim hari ini, yang ingin kita bina sebagai generasi pejuang dan pemimpin, iaitu bahawa sistem pendidikan yang efektif tidak boleh hanya terfokus pada proses transfer ilmu (ta’lim) semata. Tetapi, ia mestilah berpengaruh dalam pembentukan pola fikir dan karakter generasi muslim. Pendidikan generasi muslim juga perlulah merangkumi pendidikan tentang politik Islam dengan menanamkan kesedaran kolektif (berjamaah) dalam diri anak-anak muslim.
Oleh sebab itu, pendidikan generasi muslim perlu direncanakan secara sistematik dengan pendekatan ideologi yang akan membentuk pemahaman Islam yang mendalam, membangun linkungan dan persekitaran yang mendukung, serta menanamkan nilai-nilai perjuangan dan kepimpinan dalam diri anak muslim sejak awal usia. Berikut adalah tahapan pola pendidikan ideologi yang dapat dilaksanakan:
Tahap 1: Menanamkan keimanan (aspek akidah) yang kuat sebagai landasan pemikiran
Tahap awal pendidikan anak hendaklah dimulakan dengan menanamkan akidah yang benar. Pemahaman tentang pokok tauhid, keimanan pada Allah, dan kesedaran bahawa Islam adalah pedoman hidup mestilah diajarkan sejak kecil. Pendidikan yang mesti ditekankan secara berterusan dan berkesinambungan disetiap peringkat usia, serta dipastikan pemahaman yang lurus terkristal dalam fikiran anak. Generasi muslim kita perlu memiliki tujuan yang jelas, yakni beribadah kepada Allah SWT adalah dengan menerapkan segala hukum-hukumNya secara kaffah dalam semua aspek kehidupan.
Kaedah yang boleh diterapkan pada tahap ini adalah melalui pembiasaan, pengenalan kepada konsep-konsep Islam secara bertahap, serta interaksi yang sesuai dengan nilai-nilai Islam. Contoh mudah, menumbuhkan kewajipan menunaikan solat sebagai satu kebiasaan dengan mengajarkan anak solat setiap hari. Serta, mengajarkan kepada mereka pemahaman terhadap makna setiap ibadah yang dilakukan.
Selain itu, penting bagi ibu bapa dan guru untuk menjadi teladan bagi anak-anak. Misalnya, sekelompok anak akan lebih mudah memahami dan menghayati ajaran Islam jika mereka menyaksikan sendiri bagaimana ajaran atau nilai-nilai Islam tersebut diaplikasikan dalam kehidupan sebenar oleh orang-orang sekitarnya. Terutama kumpulan orang terdekat di sisi mereka.
Memetik penulisan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani seterusnya, “Apabila terdapat ketiga-tiga faktor tersebut – yakni fikrah yang dalam, thariqah yang jelas, dan manusia yang bersih- maka, bererti telah tercipta sebuah sel utama.“
Sel utama dalam konteks pendidikan anak, boleh dianalogikan sebagai lingkungan awal bagi mereka. Iaitu, keluarga dan guru yang berperanan sebagai pembimbing utama dalam membentuk pola pemikiran Islami mereka. Dua kelompok ini menempati kedudukan paling berpengaruh pada usia awal anak-anak.
Tahap 2: Membangun persekitaran yang Islami sebagai dasar pembentukan karakter generasi
Setelah anak memiliki dasar akidah yang kukuh, langkah seterusnya adalah membangun persekitaran yang mendukung, dengan mewujudkan lingkungan yang Islami. Hal ini penting supaya generasi muslim dapat tumbuh berkembang dalam suasana yang mendukung pembetukan karakter mereka agar sesuai dengan nilai-nilai Islam. Lingkungan ini meliputi rumah, institusi pendidikan, serta komuniti tempat mereka berinteraksi sehari-hari.
Dalam petikan seterusnya, Syeikh Taqiyuddin menukilkan terkait lingkungan sebagai sekolah utama sebagai berikut, “Bahawa sekolah, sekalipun kurikulumnya benar tidak dapat menjamin kebangkitan umat tanpa adanya satu parti di daerah itu yang berjuang ditengah-tengah masyarakat, yang menganggap masyarakat sebagai sekolahnya.“
Dalam konteks pendidikan generasi muslim, pendidikan tidak hanya bergantung pada sekolah formal, tetapi juga bergantung pada pengaruh persekitaran. Pendidikan melalui persekitaran yang Islami dapat mengajar anak untuk berfikir kolektif, memahami bahawa dirinya adalah sebahagian daripada masyarakat yang memiliki tanggungjawab terhadap sesama. Oleh kerana itu, mereka perlu dibiasakan untuk berinteraksi dengan rakan sebaya yang memiliki nilai yang sama, serta dididik dalam suasana yang mengutamakan adab, akhlak dan kepedulian sosial yang sama.
Pembentukan lingkungan yang Islami merangkumi pemilihan terhadap bahan bacaan/media, yang menjadi bahan tontonan, serta pemilihan sebarang kegiatan yang sesuai dengan nilai-nilai Islam. Pendidikan juga hendaklah tidak hanya berlangsung di dalam kelas, tetapi juga dalam kehidupan sehari-hari, di mana anak-anak akan belajar daripada pengalaman sebenar (praktikal) tentang apa yang mereka alami tatkala berinteraksi dengan lingkungannya.
Selain itu, hal ini juga menunjukkan bahawa pentingnya keberadaan parti politik Islam yang aktif ditengah-tengah masyarakat, yang menjadikan masyarakat sebagai ruang pendidikan utamanya. Sebab, ketika parti politik mempraktikkan politik Islam dengan terjun ke masyarakatlah yang akan menjadikan syariat politik Islam terlaksana secara nyata. Melalui proses tersebut, akan mampu melahirkan perubahan besar dalam masyarakat, yang mana termasuklah di dalamya adalah anak-anak muslim, yang berpedoman pada pemikiran Islam dan perjuangan politik yang jelas. Hal ini seterusnya akan bermuara pada kebangkitan umat.
Tahap 3: Membentuk kesedaran kolektif (berjamaah), politik Islam dan jiwa perjuangan
Pada tahap ini anak-anak muslim perlu mula diberikan pemahaman bahawa Islam bukan hanya tentang ibadah ritual. Sebaliknya, ia juga adalah way of life yang mesti diterapkan secara kaffah dalam berbagai sektor kehidupan, termasuklah sistem politik yang berlandaskan Islam. Mereka perlu diajarkan bahawa Islam sebenarnya mempunyai sistem pemerintahannya sendiri, namun bukan sebagaimana sistem yang ada sekarang. Generasi muslim perlu dimaklumkan bahawa sistem pemerintahan Islam berideologikan Islam itu sangat berbeza dari model negara berideologi sekular, yang memisahkan urusan pemerintahan daripada keagamaan. Padahal syariat Islam telah mengatur semua aspek kehidupan manusia, malah mewajibkan umat ini ditadbir urus dengan Islam, termasuklah dalam hal perundangan, perekonomian dan sosial.
Pemahaman tentang politik Islam yang betul ini penting supaya anak-anak muslim tidak terjebak dalam pemikiran sekular yang mendominasi hari ini. Kefahaman awal akan membantu anak mengenal perbezaan dan mampu membuat pilihan dalam bersikap. Pendidikan mereka juga mestilah merangkumi pemahaman Sejarah umat Islam tentang bagaimana Rasulullah SAW mendirikan pemerintahan Islam di Madinah, dan bagaimana para sahabat, khulafa’ ar-rasyidin meneruskan legasi kekuasaan Islam dengan memimpin umat seterusnya. Dan akhirnya, bagaimana Islam mengatur hubungan antara pemimpin dengan umat.
Sebagaimana disebutkan dalam kitab tersebut:
“Namun demikian perlu diketahui bahawa pembinaan ini bukanlah ta’lim (yang semata hanya proses transfer ilmu-pen), dan bahawa ia berbeza sama sekali dengan sekolah. Oleh sebab itu, pembinaan dalam halaqah-halaqah tersebut haruslah berjalan dengan suatu asumsi bahawa ideologi Islam adalah gurunya, bahawa ilmu dan tsaqafah yang diperoleh dalam halaqah hanya terbatas pada ideologi saja… dan bahawa tsaqafah diambil untuk diamalkan secara langsung dalam realiti kehidupan.”
Demikianlah pendidikan Islam mestilah bersifat praktikal dan berorientasikan pada pelaksanaan syariat dalam kehidupan nyata. Ini termasuklah dalam memahami politik Islam. Bukan sebagaimana yang terjadi di sekolah-sekolah hari ini yang hanya mementingkan penyampaian ilmu tanpa mempedulikan elemen ideologi mahupun praktikalnya.
Tahap 4: Mempersiapkan anak sebagai generasi pelaksana misi dakwah Islam dan pemimpin masa depan
Tahap terakhir dalam mendidik anak yang berideologi Islami adalah membentuk mereka menjadi muslim yang sedia dan siap untuk menggalas peranan dalam masyarakat sebagai agen perubahan yang membawa nilai-nilai Islam. Mereka hendaklah memiliki jiwa kepemimpinan, kehendak untuk berdakwah, serta komitmen untuk mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka, termasuklah di ranah politik.
Anak-anak muslim yang telah dididik dengan pemahaman politik Islam akan memahami bahawa kepemimpinan dalam Islam bukanlah sekadar tentang kekuasaan, tetapi merupakan amanah besar yang mesti dijalankan sesuai dengan syariat. Oleh sebab itu, mereka perlu diajarkan bahawa dalam Islam, pemimpin wajib untuk menegakkan hukum-hukum Allah dan menjamin kesejahteraan rakyat dengan penuh amanah.
Terkait hal tersebut, saya kutipkan petikan tersebut:
”Kemudian mulailah memasuki tahap, iaitu memimpin umat melakukan aktiviti perbaikan yang revolusioner untuk membangkitkan umat, dan kemudian bersama-sama dengan umat mengemban risalah Islam kepada berbagai bangsa dan umat lain.”
Dalam konteks pendidikan generasi muslim, hal ini dapat dimaknai sebagai usaha mempersiapkan anak-anak muslim untuk menjadi individu yang memiliki visi dan misi perjuangan Islam. Sekaligus, sentiasa sedia mengemban tugas dakwah di masa hadapan.
Penutup
Oleh sebab itu, pendidikan yang berlandaskan ideologi Islam bukan hanya satu keperluan, tetapi juga merupakan investasi (pelaburan) jangka panjang demi membangun semula peradaban Islam yang gemilang. Generasi muslim hari ini, sekiranya dididik dengan pemikiran Islam yang benar sudah pasti akan mampu tumbuh menjadi pemimpin, pemikir, mahupun pelopor perubahan yang akan mengembalikan kejayaan Islam di dunia, sebagaimana umat terdahulu. Sekaligus akan menjadi generasi khayra ummah yang sedia mewujudkan visi Rasulullah SAW, iaitu memimpin dunia dengan sistem Islam yang sempurna dan menyeluruh melalui institusi Khilafah `ala Minhaj Nubuwwah. InsyaAllah.
Aliya Ab Aziz
Rujukan:
Kitab At-Takattul al-Hizbiy (Pembentukan Parti Politik Islam), Sheikh Taqiyuddin an-Nabhani (HTIPress, Edisi Terjemahan Cetakan ke 2, Jun 2007)