STRATEGI MEMBINA KEPIMPINAN DAN DAYA JUANG ANAK-ANAK BAGI MEMBENTUK GENERASI MUJAHID
Oleh : Dr Aslam Diyana binti Selamat
Tuntutan berjihad telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji besar dari Allah di dalam kitab taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” [ At Taubah (9) : 111]
Rasulullah SAW pernah ditanyakan tentang amal yang dapat menandingi amal jihad seperti dalam riwayat Abu Hurairah. Beliau berkata bahawa seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “ Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amal yang menyamai jihad? Baginda menjawab, “Aku tidak mendapatkannya,” lalu baginda terus lanjut berkata, “Adakah kamu sanggup apabila seorang mujahid keluar lalu kamu masuk ke dalam masjidmu kemudian kamu bersolat tanpa henti dan berpuasa tanpa berbuka??! “ Orang itu menjawab,” Siapa yang sanggup melakukan itu wahai Rasulullah” [Hadith Riwayat Bukhari]
Demikianlah gambaran amal jihad sebagai puncak kepada seluruh amal soleh yang lain. Atas dasar keutamaan amal jihad ini, sewajarnya seluruh kaum muslim memiliki dorongan untuk meraih dan merealisasikannya. Berawal dengan memahami konteks jihad bahawa jihad merupakan amal tertinggi yang bukan sahaja memerlukan kesungguhan bahkan pengorbanan besar. Melalui peranan para Muslimah sebagai seorang ibu, kita perlu menggunakan posisi strategik ini untuk mencetak bakal generasi mujahid.
Strategi Membina Daya Juang Dalam Diri Anak
- Visi Politik Ibu Terhadap Masa Depan Peradaban Islam
Pada zaman yang penuh fitnah ini, ujian para ibu dalam mencetak generasi Rabbani dambaan umat pada masa hadapan sangat mencabar. Seorang ibu terlebih dahulu perlu berupaya menapis idea-idea sekular yang menyusup dalam pemikiran dan menangkis narasi sesat serta framing yang salah terutamanya tentang makna jihad yang sebenar.
Bahkan para ibu juga perlu memiliki himmah ‘aliyah (cita-cita tertinggi) dan visi yang jelas terhadap masa depan peradaban Islam dengan bertunjangkan kepada kesedaran politik dan tsaqafah Islam. Ini menuntut kesungguhan daripada seorang ibu untuk menanamkan cita-cita jihad yang merupakan puncak tertinggi amal kepada anak sejak usia kecil. Dengan itu, pembentukan diri anak tidak boleh sama sekali dicemari dengan visi sekular yang merosakkan lagi melemahkan. Anak-anak juga tidak boleh dicatur demi cita-cita duniawi yang pragmatis, mengejar karier demi mencapai puncak kemewahan serta kebahagiaan dunia berdasarkan perspektif rona hidup kapitalis.
- Membina Kesedaran Politik Islam Dalam Diri Anak
Hakikat kesolehan anak tidak pernah muncul secara tiba-tiba atau semula jadi. Apatah lagi memunculkan kematangan berfikir politik Islami yang mungkin hampir mustahil untuk dimunculkan dalam arus dunia digitalisasi. Namun begitu, perlu disedari bahawa cita-cita dan masa depan anak ditentukan oleh sentuhan pertama dan sentuhan berterusan daripada kedua orang tuanya.
Oleh sebab itu, bingkai (frame) yang hendak dibentuk ke atas diri seorang anak tidak boleh terlepas dari aspek ideologi dan pemahaman politik Islam. Para ibu perlu bijak mengatur rutin harian dan mingguan anak-anak seperti dengan menjadikan halaqah keluarga sebagai medium perbincangan ilmu Islam (termasuk sirah Nabi dan kisah inspiratif tokoh pejuang Islam) dan isu semasa yang melingkari umat Islam seluruh dunia. Selain itu, seorang ibu juga perlu berusaha untuk menghadiri aktiviti dakwah politik di tengah-tengah umat agar semangat ini turut diwarisi oleh anak sehingga akhirnya anak ini bukan sahaja terbiasa melakukan ketaatan dalam menjalankan syariat Islam, malah bersedia untuk memimpin umat. Anak-anak ini akan memiliki kesedaran untuk terlibat dalam mengurus urusan umat, mencari jalan keluar dalam segala masalah umat dan bersedia untuk menjadi pemimpin di tengah-tengah umat.
- Mewujudkan dan Membina Persekitaran Politik Anak
Pembentukan keperibadian Islam dalam diri anak sehingga munculnya kesedaran dan kesediaan memimpin umat memerlukan peranan penuh daripada kedua ibu dan ayah dalam proses pendidikan anak. Ayah sebagai qawwam dan ibu sebagai madrasatul ula (sekolah pertama) perlu menjadi teladan dalam peranan masing-masing sehingga benar-benar dapat dirasakan oleh anak dan sehingga mampu menjadi rujukan terbaik anak-anak dalam menjadi pemimpin masa hadapan.
Selain itu, keteladanan dan pembiasaan anak dalam persekitaran perjuangan dakwah politik perlu dilakukan seawal yang mungkin. Anak sangat mudah terdorong dan cenderung untuk terlibat tatkala mereka melihat sosok ibunya turut terlibat aktif dalam medan dakwah. Keterlibatan diri anak dalam kelompok jemaah Islam yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah akan mematangkan pemikiran dan kesedaran politik anak.
Sewaktu anak mula memasuki fasa persekolahan, perlu ada usaha daripada kedua orang tua untuk memilihkan guru yang memiliki kredibiliti dan memiliki kematangan dalam politik Islam. Proses ini memerlukan kebijaksanaan orang tua dalam mewujudkan persekitaran politik yang kondusif dan turut memahami bahawa guru adalah persekitaran politik bagi anak-anak saat mereka perlu menempuh proses pendidikan.
Penutup
Sesungguhnya kesungguhan dan pengorbanan besar daripada setiap jiwa para ibu sangat diperlukan bagi menentang arus deras visi sekular liberal yang bertubi-tubi memasuki ruang pemikiran dan kehidupan anak. Kita sudah terlalu lama menantikan kelahiran generasi mujahid penakluk yang akan menundukkan segala faktor penjajahan dengan jalan dakwah dan jihad Islam. Siapakah lagi yang akan melahirkan generasi ini jika bukannya daripada tangan para Muslimah yang memiliki kesedaran ruang dan kematangan visi geopolitik dalam mendidik anak-anak dan generasi penerus Islam.
Rujukan : Geopolitik Ibu : Menanamkan cita-cita jihad pada generasi , Fika Komara & Team IMUNE