[Kisah Inspiratif] Kisah Hijrah Ramlah binti Abu Sufyan (Ummu Habibah) RA
Kali ini, kita akan menemui seorang sahabat wanita agung yang ikut berhijrah ke Habsyah demi menyelamatkan agamanya. Ketika suaminya murtad di negeri asing itu, dia menerimanya dengan sabar dan ikhlas. Dia bercerai dengan suaminya yang telah berbeza agama dan tetap mempertahankan agamanya (Islam) dengan teguh, walaupun perlu hidup di tengah-tengah negeri yang asing dan tanpa sebarang ahli keluarga.
Keteguhan dan kesabaran itulah yang menghantarkan anugerah Allah SWT yang tidak terhingga, kerana tidak lama kemudian, Rasulullah SAW mengirimkan seorang utusan untuk meminang dan menikahinya ketika dia masih berada di negeri Habsyah.
Nama penuh beliau ialah Ramlah binti Abu Sufyan bin Harb. Abu Sufyan pada waktu tersebut masih menjadi tokoh musyrik dan menghabiskan waktu yang lama dalam kemusyrikannya. Oleh kerana itu, dia masih dianggap sepupu Nabi SAW sehingga tidak ada seorang pun dari isteri-isteri baginda yang lebih dekat garis keturunannya dengan beliau.
Tidak ada pula yang lebih banyak menerima mahar darinya, dan dialah satu-satunya isteri baginda yang dinikahi di tempat yang terpisah. Rasulullah SAW melangsungkan akad nikah dengannya ketika dia masih berada di Habsyah sehingga wajar jika yang memberi maharnya adalah Raja Habsyah, An-Najasyi, sebanyak 400 dinar, ditambah dengan kelengkapan-kelengkapan lain.
Abu Sufyan adalah seorang tokoh besar Quraisy. Dia sama sekali tidak pernah membayangkan bahawa suatu saat nanti ada orang yang akan melakukan sesuatu bertentangan dengan kehendaknya atau di luar kuasanya. Namun demikian, puterinya yang justeru ikut berhijrah ke Habsyah dan menjadi seorang muslimah.
Sejak para sahabat dan sahabiyah berhijrah ke negeri Hasyah dan berjaya mendapatkan perlindungan dari An-Najasyi, Ramlah binti Abu Sufyan bin Harb (Ummu Habibah RA) beranggapan bahawa dia akan memulakan kehidupan yang bahagia dan tenang. Da tidak pernah berfikir akan mendapat ujian yang sangat berat dan pahit.
Suaminya yang bernama Ubaidullah murtad dari Islam dan memeluk agama Nasrani. Dia pun akhirnya bercerai dengan suaminya itu. Ummu Habibah RA memilih untuk meneruskan kehidupannya sebagai seorang muslimah meskipun terpaksa melaluinya tanpa seorang suami di sisinya.
Dia merenungkan perjalanan kehidupan. Kesedihan menguasai dirinya. Dia tidak dapat kembali ke Mekah kerana ayahnya masih musyrik, tetapi juga tidak mampu bertahan selamanya di negeri asing tersebut.
Pada masa kesedihannya itu, tiba-tiba cahaya terang kebahagiaan menjelma dan memberi kehangatan kembali kepadanya, kerana membawa khabar gembira paling indah di seluruh alam raya. Khabar gembira itu lebih berharga daripada segala harta kekayaan yang tersimpan di perut bumi dan gemilau harta benda yang menghiasinya.
Seorang pembantu rumah wanita An-Najasyi menemui Ummu Habibah RA dan menyampaikan khabar gembira bahawa Rasulullah SAW telah meminangnya. Ummu Habibah RA tidak dapat menyembunyikan kebahagiaannya sehingga air mata bercucuran di pipinya. Dia menangis sambil tersenyum kerana merasakan bahagia yang tiada tandingan. Dia memuji Allah ‘Azza wa Jalla atas anugerah nikmat yang telah dilimpahkan kepadanya.
An-Najasyi segera menyambut dan memimpin langsung pernikahan tersebut sebagai wakil dari Rasulullah SAW kerana Rasulullah SAW telah mengirimkan surat kepada raja Habsyah untuk mewakili pernikahan baginda dengan Ummu Habibah RA. Semua sahabat Rasulullah SAW yang menetap di Habsyah waktu itu berkumpul untuk menyaksikan pernikahan tersebut.
Peristiwa itu merupakan sebuah kejutan yang tidak terbayang oleh sahabat mana pun. Ummu Habibah RA menerima mahar (mas kahwin) pernikahan sebanyak 4000 dirham. Bukan hanya itu, An-Najasyi juga menanggung perbelanjaan dan segala keperluannya.
Hari-hari terus berlalu sehingga tiba saat yang paling menyedihkan iaitu Rasulullah SAW wafat. Hati Ummu Habibah RA pedih dan hancur kerana pemergian Nabi SAW yang merupakan rasul, suami, dan kekasihnya. Namun, dia tetap menjadi ahli ibadah setelah Nabi SAW meninggal. Dia diberi umur yang panjang sehingga masa pemerintahan adik beradik kandungnya, Mu’awiyah bin Abu Sufyan.
Imam Az-Zahabi berkata, “Ummu Habibah RA senantiasa dihormati dan disegani oleh setiap orang, terutamanya pada masa pemerintahan saudara kandungnya (Mu’awiyah)… juga kerana dekatnya hubungan Mu’awiyah dengan beliau sehingga ada yang menyebut Mu’awiyah dengan gelaran ‘Khaalul Mukminin’ (bapa saudara orang-orang mukmin).” Wallahu’alam.
Referensi: Mahmud Al-Mishri. 2006. 35 Sirah Shahabiyah: 35 Sahabat Wanita Rasulullah saw. Jakarta: Al-I’tishom Cahaya Umat.
Sumber: muslimahnews