Muadzah al-Adawiyah, Isteri Ahli Ibadah
Penulis: Chusnatul Jannah
Muadzah binti Abdillah al-Adawilyah al-Bashriyyah atau dikenali sebagai Ummu Shahba, merupakan salah seorang wanita tabiin yang membesar dekat dengan sumber-sumber ilmu para sahabat. Beliau dengan mudah menyerap ilmu mereka yang diambil dari Rasulullah SAW. Beliau berasal dari kota Basrah. Beliau belajar di madrasah Ummul Mukminin Aisyah, AIi bin Abi Thalib, dan Hisyam bin Amir. Beliau sempat bertemu dan meriwayatkan hadis daripada mereka. Ramai ulama zuhud pada zamannya berguru mempelajari hadis daripadanya. Antaranya ialah Abu Qilabah al-Jurmi, Ishaq bin Suwaid, Ayyub as-Sakhtiyani, dan lain-lain.
Muadzah merupakan wanita tabiin yang dilahirkan dalam keluarga yang sangat taat kepada Allah SWT. Dia juga merupakan seorang isteri yang sentiasa berada dalam kebaikan dan dicintai. Muadzah mempunyai suami bernama Shilah bin Asyyam al-‘Adawi al-Bashri, juga dikenali sebagai Abu Shahba, yang juga zuhud dalam beribadah. Kebahagiaan rumah tangga mereka terasa lengkap dengan memiliki anak-anak yang berbakti.
Dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala, dinyatakan bahawa Shilah dan Muadzah termasuk dari kalangan tabiin. Beliau merupakan seorang tokoh yang terkenal pada zamannya, juga seorang perawi hadis. Hasan al-Bashri dan Tsabit al-Bunani adalah dua di antara ulama umat yang berguru kepada Shilah ini.
Muadzah al-‘Adawiyah sendiri yang menyaksikan kesolehan peribadi suaminya dengan berkata, “Tidaklah Abu Shahba mengerjakan solat, melainkan selepas itu dia tidak boleh kembali ke tempat tidurnya kecuali dengan merangkak.” Wanita solehah ini tidak pernah sekali pun meninggalkan zikir, solat malam, dan membaca al-Quran setiap malam. Dia sentiasa menitiskan air mata saat memohon ampunan kepada Allah Taala.
Kisah Unik di Malam Perkahwinan
Dalam kehidupan rumah tangganya bersama Shilah, terdapat kisah menarik dan menyentuh hati dalam sejarah perkahwinan antara Muadzah dan Shilah. Ketika dia diserahkan kepada suaminya, anak saudara Shilah mengajak Muadzah ke bilik air. Dia kemudian memasukkannya ke dalam rumah pengantin yang indah. Di dalam rumah tersebut, tercium aroma wangi yang memancarkan sebaik-baik minyak wangi.
Suami isteri itu berada dalam satu rumah. Shilah memberi salam kepada Muadzah, lalu dia menunaikan solat. Muadzah berdiri di belakangnya dan mengikuti ibadah yang dilakukan oleh suaminya. Hingga subuh, mereka berdua khusyuk dalam solat. Mereka lupa bahawa malam itu adalah malam perkahwinan mereka.
Keesokan harinya, anak saudara Shilah datang menemui mereka. Anak saudaranya berkata, “Wahai bapa saudaraku, anak bapa saudaramu telah diserahkan kepadamu malam tadi. Kemudian kamu mengerjakan solat dan membiarkannya?”
Shilah menjawab, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kamu telah membawa aku ke dalam rumah (ke bilik air). Keadaan ini mengingatkan aku pada neraka. Lalu engkau membawa aku ke dalam rumah (ke bilik pengantin) pada waktu petang. Keadaan itu mengingatkan aku pada syurga. Dalam fikiranku hanya ada syurga dan neraka hingga terbit fajar.”
Sosok Isteri Ahli Ibadah
Kesaksian tentang kehidupan Muadzah diceritakan oleh Imam Adz-Dzahabi. Beliau berkata: “Telah sampai kepadaku khabar tentang Muadzah bahawa dia sentiasa menghidupkan malamnya dan berkata, ‘Aku hairan dengan mata yang boleh terpejam pada waktu malam, padahal dia tahu betapa lamanya tidur di alam kubur’.”
Muadzah adalah sosok wanita yang layak dijadikan suri teladan, sosok yang boleh membuat malu setiap muslimin dan muslimat yang masih suka bermalas-malasan dan merasa lemah untuk bangun di keheningan malam.
Hampir tidak tersisa waktu kecuali dia dalam keadaan yang sentiasa bersiap sedia dengan solatnya. Dia menghidupkan sepanjang malamnya dengan solat, berzikir, dan bertasbih. Dia menunaikan solat setiap siang dan malam sebanyak 700 rakaat. Dia membaca al-Quran pada setiap malam. Allah menggambarkan wanita-wanita solehah dalam firman-Nya, “Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,” [TMQ An-Nisa (4): 34].
Wanita yang menjaga diri dan hartanya ketika suaminya tidak ada merupakan nilai terbesar yang menjadi dambaan setiap wanita. Muadzah al-Adawiyah termasuk dalam golongan ini. Apabila siang tiba dia berkata, “Ini adalah hari kematianku.” Dia tidak mahu tidur. Ketika malam tiba dia berkata, “Ini adalah malam kematianku.” Maka dia tidak tidur sehingga pagi. Kemudian ketika dia tertidur, dia bangun dan berlari dalam rumahnya sambil mengutuk dirinya sendiri. Dia terus berjaga sehingga pagi kerana takut kematian saat dia sedang lengah dan tertidur.
Kesabaran Muadzah terlihat apabila Allah mengujinya dengan kematian suami dan anak-anak tercinta dalam satu waktu sekaligus ketika mereka berperang melawan musuh-musuh Allah. Wanita mulia ini begitu tabah menghadapi musibah ini.
Dia juga tidak pernah berasa sedih terlalu lama. Malah dia berkata, “Demi Allah, aku tidak suka tinggal lama di dunia hanya untuk menikmati keindahan hidup dan angin sepoi-sepoi di dalamnya, akan tetapi aku suka tinggal di dunia ini untuk mencari jalan agar aku sentiasa dekat dengan Rabbku. Semoga Allah menyatukan aku dengan Abu Shahba dan anak-anaknya di syurga.”
Ketika suami dan anaknya gugur dalam medan peperangan, para wanita berkumpul di rumah Muadzah. Dia tidak melihat pemergian permata hatinya sebagai berita sedih, sebaliknya sebagai buah perjuangannya yang dijanjikan syurga. Dia berkata, “Selamat datang jika kalian ingin mengucapkan selamat, tetapi jika kalian ingin mengucapkan selain itu, pulanglah.”
Ketika menjelang ajal, Muadzah terlihat menangis, lalu dia tertawa. Beliau turut ditanya mengenai hal tersebut. “Apa yang membuat engkau menangis lalu tertawa?”
Dia menjawab, “Aku menangis kerana teringat bahawa aku akan meninggalkan puasa, solat, dan zikir. Adapun aku tertawa kerana aku melihat Abu Shahba (suaminya) menyambut aku di hadapan rumah dengan membawa dulang berisi dua sutera hijau dan aku tidak akan mempunyai sebarang kewajipan selepas kematian nanti.”
Itulah firasat seorang ahli ibadah seperti Muadzah. Beliau meninggal dunia sebelum masuk waktu solat pada tahun 83 H. Selesai sudah kehidupan wanita solehah dan rajin beribadah ini. Namun, sejarah terus menebar keutamaannya agar menjadi teladan bagi para wanita. Teladan bagi isteri dan ibu umat abad ini.
Sumber :https://muslimahnews.net/2023/03/22/18690/