[Siri Sinar Ramadhan] Tanda-Tanda Lailatulqadar
Malam yang paling istimewa dan ditunggu-tunggu oleh para mukminin pastinya Lailatulqadar. Kebiasaannya, ia berlaku pada 10 malam terakhir yang ganjil bulan Ramadhan. Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan, maka sesiapa yang beribadat pada malam tersebut dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda umpama beribadah selama 83 tahun. Bagaimana untuk kita mengetahui malam tersebut adalah malam yang special, yang Allah khususkan untuk umat Nabi Muhammad SAW? Terdapat beberapa tanda yang boleh menunjukkan bahawa malam tersebut merupakan Lailatulqadar.
Hadis Ubadah bin As- Shamit,beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Lailatul Qadar (terjadi) pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghidupkan malam-malam itu kerana berharap keutamaannya, maka sesungguhnya Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang. Dan malam itu adalah pada malam ganjil, kedua puluh sembilan, dua puluh tujuh, dua puluh lima, dua puluh tiga atau malam terakhir bulan Ramadhan,” dan Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesungguhnya tanda Lailatul Qadar adalah malam cerah, terang, seolah-olah ada bulan, malam yang tenang dan tenteram, tidak dingin dan tidak pula panas. Pada malam itu tidak dihalalkan dilemparnya bintang, sampai pagi harinya. Dan sesungguhnya, tanda Lailatul Qadar adalah, matahari pada pagi harinya terbit dengan indah, tidak bersinar kuat, seperti bulan purnama, dan tidak pula dihalalkan bagi syaitan untuk keluar bersama matahari pagi itu”.
Dari hadis tersebut kita boleh mendapati bahawa:
- Malam tersebut tenang dan terang
- Keadaan yang tenang bermakna ketenangan fikiran dan kelapangan dada seorang mukmin. Dia menjadi lebih tenang dan lega pada malam itu daripada malam-malam lain.
- Angin bertiup dengan tenang, maksudnya tidak bertiup kencang dan gemuruh, bahkan udara malam itu terasa dingin dan tidak panas.
- Matahari terbit tidak terang dan tidak panas pada keesokan paginya
Begitulah beberapa tanda agar kita dapat kenalpasti Lailatulqadar. Terdapat juga doa yang dianjurkan untuk kita amalkan bagi bertemu Lailatulqadar. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:
عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو؟ قَالَ: تَقُولِينَ: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Aisyah RA meriwayatkan, beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku” [Riwayat Ibnu Majah (3850)]
Setelah kita mengetahui beberapa tanda-tanda dan keutamaan menghidupkan Lailatulqadar, janganlah kita hanya menunggu agar tanda-tanda tersebut muncul, barulah kita ingin beribadah dengan maksimum. Kita hendaklah berusaha untuk beribadah dengan sebaiknya pada setiap malam bulan Ramadhan dan melipat gandakan usaha serta lebih bersemangat beribadah pada 10 malam-malam terakhir. Semoga kita semua dimudahkan untuk menyempurnakan ibadah Ramadhan dan mendapatkan Lailatulqadar. Semoga kita juga konsisten dan istiqamah untuk beramal ibadah dengan terbaik di semua bulan, bukan hanya ketika Ramadhan menjelma sahaja. Aamiin.