BALIK KAMPUNG BERKAH DENGAN TAAT SYARIAT
Penulis: Halima Noer
Beberapa hari lagi Ramadhan berakhir. Mendekati Hari Raya Aidilfitri, trafik jalan raya telah mula sesak. Sekalipun ada yang cuti lebih awal dan memilih untuk balik kampung lebih awal, namun jalan raya tetap sesak dengan jutaan orang yang balik kampung di waktu yang sama.
Jalan sesak, itu pasti. Sekalipun tiket bas, kereta api berganda harganya, perjalanan akan sangat melelahkan, waktu perjalanan yang tidak dapat dijangka, bahkan perjalanan yang mengambil hanya beberapa jam boleh menjadi seharian, ditambah jika ada risiko kemalangan di jalan raya, kerosakan kenderaan, dan lain-lain keadaan yang tak terduga, ternyata tidak membuatkan keinginan kuat umat Islam untuk balik kampung menjelang Aidilfitri berkurang. Ini kerana balik kampung menjelang hari raya sudah menjadi budaya umat Islam di negeri ini. Bertemu orang tua, keluarga, dan kerabat adalah sebuah kegembiraan yang tidak tergantikan dengan apa pun dan tidak dapat dinilai dengan berapa pun jumlah wang yang perlu dikeluarkan.
Sayangnya, fenomena balik kampung ini juga diwarnai dengan perkara-perkara yang tidak baik. Misalnya, sebahagian keluarga muslim yang memaksakan diri untuk pulang ke kampung, ada yang nekad naik motosikal, padahal jarak perjalanan yang perlu ditempuh cukup jauh dan mereka pula terpaksa membawa anak-anak yang masih kecil, menyebabkan akhirnya mereka jatuh sakit. Bahkan, ada juga kes bayi terjatuh dari motosikal tanpa pengetahuan ibu yang menggendongnya kerana si ibu yang tertidur di atas motosikal tersebut (kes di Indonesia). Fenomena balik kampung ini juga tidak jarang disertai dengan pelanggaran syariat, baik saat perjalanan mahupun saat sudah berada di kampung halaman. Bagaimana pandangan Islam tentang semua ini?
Balik Kampung adalah Bahagian dari Ibadah
Balik kampung untuk mengunjungi orang tua, berbuat baik kepada mereka, adalah bahagian dari ibadah kerana termasuk aktiviti birrul-wālidain yang Allah perintahkan, “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat-baiklah kepada kedua orang tua, ….” (TMQ An-Nisa’: 36).
Sekalipun hal itu boleh sahaja dilakukan bila-bila masa pun tanpa perlu menunggu hari raya, tetapi mungkin kesempatan itu hanya ada saat hari raya kerana cuti sekolah dalam waktu yang sama, yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta juga bercuti saat Aidilfitri ini.
Selain itu, kita juga dapat menjadikannya sebagai momen berbuat baik kepada orang tua yang sudah meninggal dengan cara menziarahi kubur mereka, membersihkan kubur, dan mendoakan orang tua bersama sama dengan keluarga di kampung. Sudah tentu aktiviti ini mempunyai nilai tersendiri.
Balik kampung juga menjadi bahagian dari ibadah kerana bertemu dengan keluarga dan kerabat. Menjalin hubungan baik dengan mereka merupakan bahagian dari silaturahmi yang juga Allah dan Rasul-Nya perintahkan. Abu Ayyub al-Anshari ra. menuturkan, “Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah ﷺ, ‘Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku perbuatan yang dapat memasukkanku ke dalam syurga.’ Orang-orang berkata, ‘Ada apa dengannya, ada apa dengannya?’ Rasulullah ﷺ bersabda, “Bukankah Tuhan bersamanya?” Kemudian beliau ﷺ melanjutkan, “Engkau menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan menjalin silaturahmi.’” (HR Bukhari).
Hadis di atas adalah perintah untuk menjalin silaturahmi dengan keluarga dan kerabat. Menjalin silaturahmi ini juga mencakup memberikan sebahagian harta kita kepada mereka. Jabir ra. menuturkan bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda, “Jika seseorang di antara kalian fakir, maka hendaklah dia memulai (nafkah) kepada dirinya sendiri, jika dia memiliki kelebihan hendaknya dia memberikannya kepada keluarganya, dan jika dia masih memiliki kelebihan, hendaknya dia memberikannya kepada kerabatnya.” (HR Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah).
Dengan demikian, budaya balik kampung untuk bertemu orang tua, keluarga, serta kerabat, kemudian berbuat baik kepada mereka, adalah suatu aktiviti kebaikan yang bernilai ibadah. Hanya saja, kebaikan dan keberkahan balik kampung ini boleh hilang dan berganti menjadi keburukan ketika nilai ibadah itu hilang. Lalu bagaimana caranya agar balik kampung ini dapat menjadi berkah?
Balik Kampung yang Berkah
Kita perlu bahas terlebih dahulu makna berkah. Kata “berkah, berkat, atau barakah” berasal dari bahasa Arab “al-barakat/al-barkah” yang berasal dari akar kata “baraka”. Menurut para ahli bahasa Arab, di antaranya Ibnu Mandzur, Al-Fayyumi, dan Al-Fairuz Zabadi, kata “al-barakah” menurut erti dari segi bahasa adalah ‘berkembang, bertambah, dan kebahagiaan’. Menurut Imam An-Nawawi dalam kitabnya Syarah Shahih Muslim, asal makna keberkahan ialah kebaikan yang banyak dan abadi.
Dari makna tersebut, dapat dikatakan balik kampung yang berkah adalah ketika kepulangan membawa kebaikan yang banyak dan bersifat abadi (membawa kebahagiaan dunia mahupun akhirat). Alhasil, agar balik kampung menjadi berkah, landasannya adalah iman dan pelaksanaannya mesti dengan menjaga takwa, yakni sesuai dengan ketentuan syariat.
Allah SWT berfirman dalam QS Al-Araf ayat 96, “Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, ….”
Ertinya, keberkahan balik kampung akan dapat kita raih saat kita niatkan balik kampung sebagai ibadah dan pengamalannya sesuai perintah Allah dan Rasul-Nya. Kemaksiatan, sekecil apa pun, akan menghilangkan keberkahannya. Hingga akhirnya yang akan kita dapatkan hanyalah kegembiraan sesaat, habisnya harta, penat serta lelah yang luar biasa tanpa ada nilai sedikit pun di sisi Allah Taala.
Sungguh sayang, padahal, kita boleh meraih dua hal sekaligus, iaitu redha Allah kerana kita menjalankan ketaatan kepada-Nya dan sekaligus mendapatkan kegembiraan bertemu dengan orang tua, keluarga, dan kerabat tercinta.
Beberapa Ketentuan Syariat Terkait Balik Kampung
Ada beberapa ketentuan syariat yang penting yang perlu diperhatikan terkait balik kampung. Di antaranya adalah bahawa harta yang kita belanjakan untuk semua keperluan balik kampung perlu dijaga agar benar-benar dari sumber yang halal. Makanan atau hadiah yang kita berikan kepada keluarga, jika dari sesuatu yang haram, sama saja kita menyiapkan api neraka untuk mereka. Pengurusan dana balik kampung yang baik juga perlu kita lakukan kerana ianya akan menghindarkan kita dari kezaliman. Jangan sampai wang dihabiskan semua untuk balik kampung hingga habis untuk nafkah keluarga.
Selain itu, memilih cara balik kampung yang tidak menzalimi diri dan keluarga. Pilih kemudahan pengangkutan yang sesuai (mampu milik), selesa dan selamat. Jika tidak memungkinkan, adalah lebih baik menunda balik kampung, menunggu trafik perjalanan balik kampung reda, menunggu keadaan ekonomi yang lebih baik, menunggu keadaan fizikal kita fit (sihat tubuh badan), dan sebagainya. Memaksakan balik kampung sering berakhir dengan kesedihan, malah menzalimi diri dan keluarga.
Hal yang juga sangat penting adalah mengusahakan agar perjalanan balik kampung sentiasa dalam keadaan patuh syariat. Kita boleh singgah di masjid-masjid selama perjalanan untuk mendirikan solat fardhu mahupun sunah. Bahkan, boleh sahaja solat malam kita lakukan saat balik kampung.
Kita juga harus tetap santun menghormati orang yang berpuasa ketika kita—misalnya—memilih untuk membatalkan puasa yang dalam hal ini syariat memang memberikan keringanan bagi para musafir untuk tidak berpuasa.
Saat Hari Raya Aidilfitri, pilih kegiatan yang tepat dan tidak berbalut maksiat. Hari Raya adalah saat yang ditunggu untuk bertemu keluarga dan kerabat sehingga sebaiknya digunakan untuk acara bersama. Inilah saat yang tepat untuk saling berbahagi, baik berbahagi harta, berkongsi cerita, hingga berkongsi ilmu dan berdiskusi mencari solusi dari berbagai masalah di sekitar kita.
Kita juga boleh saling menasihati untuk melakukan berbagai kebaikan dan mencegah dari keburukan. Tentu ini lebih baik dan bernilai daripada berhari raya dengan berjalan-jalan ke tempat perlancongan. Tambahan pula, banyak sekali tempat perlancongan saat ini yang berbalut maksiat, dipenuhi orang-orang tidak menutup aurat bahkan hampir telanjang, bercampur baur lelaki dan perempuan, bahkan mereka melakukan berbagai aktiviti yang tidak patut dilakukan di tempat umum, seperti berpelukan, bermesraan, dan sebagainya.
Sungguh, derasnya arus sekularisasi dan liberalisasi hari ini telah mengubah gaya hidup, pola fikir, dan pola sikap kebanyakan umat Islam. Akibatnya, baru sehari atau dua hari meninggalkan Ramadhan yang penuh dengan suasana takwa, umat sudah kembali kepada suasana sekularistik. Taat kepada Allah dianggap cukup dilakukan saat Ramadhan.
Oleh sebab itu, sudah saatnya bagi kita untuk merenung, adakah kita akan biarkan perkara ini berulang setiap tahun? Mari kita jadikan balik kampung lebih bermakna dengan taat syariat. Meniatkannya untuk birrul-wālidain, menjalin silaturahmi dengan keluarga, dan sentiasa terikat dengan semua syariat Allah, baik dalam perjalanan balik kampung mahupun di berbagai kegiatan dan acara keluarga yang dilakukan saat Hari Raya.
Balik kampung berkah Perlu Khilafah
Hanya saja, balik kampung dalam keadaan tetap taat syariat tidak mungkin dapat dilakukan secara individu semata, melainkan ianya juga memerlukan peranan masyarakat dan negara yang menjadikan akidah Islam sebagai landasannya dan syariat Islam sebagai satu-satunya aturan yang diterapkan. Inilah yang akan menciptakan suasana takwa dalam masyarakat yang akan memudahkan kita untuk selalu taat syariat di mana pun kita berada, baik di perjalanan balik kampung mahupun ketika sampai di kampung halaman hingga kembali lagi ke rumah.
Walhasil, penerapan syariat oleh negara (Khilafah) akan memastikan ketaatan itu dilakukan secara bersama-sama oleh seluruh anggota masyarakat. Khilafah akan menerapkan sistem ekonomi Islam yang mensejahterakan seluruh kaum muslim. Tidak akan ada umat muslim yang bersedih saat Hari Raya kerana kekurangan mahupun kelaparan, ataupun tidak dapat balik kampung kerana tidak ada duit. Khilafah akan menyediakan perkhidamatan pengangkutan secukupnya untuk memastikan semuanya dapat balik kampung dengan selamat, dengan kos yang murah, bahkan percuma bagi siapa pun yang memerlukan.
Khilafah juga akan menerapkan sistem pergaulan Islami sehingga tidak akan ada aurat yang terdedah di tempat-tempat umum, tidak ada campur baur antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tidak ada juga tempat-tempat maksiat yang boleh dibuka saat Ramadhan mahupun pada bulan lainnya. Tidak akan ada satu media juga yang dibiarkan untuk menyebarkan kemaksiatan.
Selain itu, Khilafah akan menjamin keamanan dan memberi perlindungan hingga siapa pun dapat meninggalkan rumah dengan tenang. Balik kampung pun boleh dengan rasa tenang tanpa risau akan berbagai perkara atau jenayah. Sungguh rindu rasanya hidup dalam naungan Khilafah.
Oleh sebab itu, kita hendaklah berusaha mengubah masyarakat dan sistem negara saat ini menjadi masyarakat dan negara berasaskan Islam, iaitu Daulah Khilafah Islamiyah. Ini kerana hanya Khilafah Islamiyah yang dapat mewujudkan sekaligus menjaga ketakwaan secara berjemaah. Balik kampung dengan tetap menjaga takwa akan menjadi realiti ketika Khilafah Islamiyah telah tegak dan penerapan syariat Islam telah sempurna. Insyaallah.
#TarbiahRamadhan