[Siri Sinar Syawal] Menghidupkan Suasana Hari Raya dengan Amalan Sunnah
Hari Raya Aidilfitri adalah waktu yang penuh kebahagiaan dan kegembiraan bagi umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. Bersesuaian dengan itu, Rasulullah SAW mengajarkan umat Islam untuk menghidupkan suasana hari raya dengan amalan yang bermanfaat dan sesuai dengan sunnah baginda SAW.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Zad al-Ma’ad menyebut, “Rasulullah SAW sangat menitikberatkan ibadah solat Aidilfitri secara berjemaah. Baginda juga menggalakkan umat Islam untuk memakai pakaian terbaik, berhias dengan sederhana, dan menghidupkan sunnah seperti bersedekah, membaca takbir, dan memberi salam kepada sesama Muslim.”
Antara amalan sunnah yang digalakkan untuk dilakukan pada hari raya adalah seperti berikut:
- Solat Hari Raya
Solat hari raya adalah ibadah yang sangat dianjurkan untuk dilaksanakan di masjid atau lapangan secara berjemaah kerana ia menunjukkan syiar Islam. Dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya, “Rasulullah SAW pergi ke Musalla (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat…” [HR Bukhari dan Muslim]
- Memakai Pakaian Terbaik dan Berhias dengan Sederhana
Memakai pakaian terbaik adalah subjektif pada setiap individu. Pakaian yang terbaik itu bukan bererti pakaian yang mahal atau mewah, tetapi pakaian yang bersih, rapi, dan menutupi aurat dengan baik.
- Bersedekah
Bersedekah pada hari raya adalah bentuk keprihatinan terhadap sesama Muslim demi menjaga ukhuwah Islamiyah. Antara aktiviti bersedekah yang sering dilaksanakan pada hari raya adalah memberi duit raya. Selain daripada menjadi amalan sedekah, ia juga menjadi salah satu cara untuk menzahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan di hari kemenangan dan sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati serta mengurangkan beban mereka yang memerlukan.
Nabi SAW pernah ditanya, “Wahai Rasulullah, amal apakah yang paling utama?, Baginda menjawab, “Memberikan kegembiraan kepada hati seorang Mukmin, mengenyangkan rasa laparnya, memberi pakaian untuk menutup aurat atau menunaikan keperluan hajatnya.” [HR Tabrani]
- Membaca Takbir
Membaca takbir adalah amalan yang sangat penting dalam menyambut hari raya. Rasulullah SAW dan para sahabat sering mengucapkan takbir dengan penuh semangat saat menyambut hari raya. Takbir ini adalah sebuah ungkapan rasa syukur dan mengagungkan kebesaran Allah SWT.
- Memberi Salam kepada Sesama Muslim
Memberi salam kepada sesama Muslim adalah sebuah bentuk kasih sayang serta penghormatan kepada sesama Muslim. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,
“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. [HR Muslim]
Wallahhu’alam