Ketika Pasangan Suka Berbelanja, Apa yang Perlu Dilakukan?
Oleh: Najmah Saiidah
Aktiviti berbelanja sesungguhnya merupakan hal yang biasa dilakukan dalam sebuah rumah tangga. Sesungguhnya keluarga memang memiliki keperluan untuk kelangsungan hidupnya. Lebih-lebih lagi seorang ibu, mahu tidak mahu dia perlu berbelanja, bahkan boleh jadi hampir setiap hari dia perlu membeli barang untuk memasak makanan bagi anggota keluarganya. Akan tetapi, saat ini ada gaya berbelanja yang luar dari kebiasaan. Seiring makin banyaknya aktiviti berbelanja secara online, makin banyak juga orang yang terjebak menjadi “gila” belanja yang disebut sebagai Compulsive Shopping Disorder.
Masalah Compulsive Shopping Disorder akhir-akhir ini banyak terjadi. Mereka berasa sangat bahagia ketika berbelanja sehingga kurang mampu untuk mengendalikan diri, akhirnya memberi kesan pada masalah kewangan. Seseorang yang mengalami masalah ini akan bersemangat ketika berbelanja tanpa mengambil kira sama ada barang tersebut diperlukan atau tidak. Namun, ketika sudah membelinya atau pada saat membayar, dia boleh menyesal kerana telah membazirkan wang untuk barang yang belum tentu diperlukannya.
Sebahagian orang menilai bahawa Compulsive Shopping Disorder merupakan penyakit mental. Penyakit ini mempunyai beberapa ciri, iaitu belanja barang yang tidak diperlukan, menghabiskan waktu untuk meninjau barang yang tidak diperlukan, berasa sangat bahagia ketika berbelanja, berasa bersalah jika tidak membeli barang yang diinginkan, dan terkadang berakhir dengan penyesalan setelah membeli sesuatu barang. Kesan psikologi lainnya adalah timbulnya penyesalan setelah menghabiskan wang. Tidak kurang hal ini menyebabkan kemurungan sehingga keadaan mental semakin buruk.
Sudah pasti hal ini bukanlah sesuatu yang baik bagi keluarga muslim. Hanya saja jika situasi ini berlaku pada pasangan kita, kita tidak boleh biarkan. Hal ini kerana Islam mempunyai konsep yang tegas tentang membelanjakan harta.
Konsep Islam tentang Membelanjakan Harta
Sebagai agama yang sempurna, Islam tidak hanya mengatur cara memperoleh atau sebab-sebab pemilikan harta (asbabu at-tamaluk), tetapi juga cara mengembangkan dan membelanjakan harta. Islam telah menetapkan kaedah dan tatacara pembelanjaan harta. Sistem Islam sangat berbeza dengan sistem kapitalisme-sekularisme yang diterapkan saat ini. Sistem fasad (rosak) ini mengagungkan kebebasan pemilikan dan bertingkahlaku, serta menjadikan manfaat sebagai asasnya.
Dalam Islam, seorang pemilik harta tidak dibiarkan bebas mengelola dan membelanjakan harta. Sekalipun harta itu secara hukum sah merupakan miliknya, tetapi Islam mengaturnya dengan terperinci. Islam telah melarang seseorang bertindak israf atau tabzir ketika membelanjakan harta, sekaligus melarang bersikap kikir atau taqtir. Israf dalam pengertian syarak bermakna mengeluarkan harta dalam perkara yang haram dan kemaksiatan atau bukan di jalan yang hak, sekalipun yang dikeluarkan itu jumlahnya hanya sedikit. Sedangkan kikir (taqtir) terhadap diri sendiri bermakna menahan diri dari kenikmatan yang dibolehkan syariat. (Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitabnya Nidzham Al-Iqtishadi fil Islam). Keduanya merupakan perkara yang dicela oleh Allah Taala sebagaimana firman-Nya dalam QS Al-Furqan: 67 dan QS Al-A’raf: 31.
Islam juga melarang kaum muslim untuk berfoya-foya atau membazirkan harta, sepertimana firman Allah SWT dalam QS Al-Waqi’ah ayat 41—45. Selain itu, Islam juga tidak menganjurkan kita mensia-siakan harta (idha’atul maal). Maksudnya, menafkahkan harta pada barang-barang yang sesungguhnya tidak kita perlukan sehingga tidak terpakai dan akhirnya terbuang tersia-sia. Rasulullah SAW bersabda, “Dimakruhkan atas kamu banyak bicara dan banyak bertanya (tentang hal-hal yang sifatnya khayalan) serta mensia-siakan harta.”
Begitu terang lagi jelas bagaimana Islam mengajarkan umatnya cara mengelola harta sekalipun harta tersebut merupakan milik dan hasil jerih payah kita. Waspadalah, jangan sampai terjebak kebiasaan berbelanja yang dilarang oleh Islam. Namun, jika hal ini berlaku pada orang-orang terdekat dengan kita seperti pasangan atau anak-anak kita, apa yang perlu kita dilakukan?
Pasangan Suka Berbelanja, Apa yang Perlu Dilakukan?
Berbeza pandangan dengan pasangan dalam hal mengelola kewangan memang bukanlah hal yang mudah. Lebih-lebih lagi jika sampai terjebak pada aktiviti yang dilarang Allah, sudah tentu perlu usaha yang lebih lagi untuk mengatasinya bersama. Jadi, apa yang perlu kita lakukan ketika menghadapi pasangan yang suka berbelanja?
- Jadikan hukum syarak sebagai sandaran
Keluarga muslim perlu menjadikan akidah Islam dan hukum-hukum syarak sebagai panduan dan penyelesaian terhadap seluruh permasalahan rumah tangga. Jadikan halal-haram sebagai landasan beramal, bukan hawa nafsu. Oleh kerana itu, penting bagi seluruh anggota keluarga untuk menguatkan pemahaman tentang syariat Islam sehingga dapat beraktiviti sesuai tuntunan Allah dan Rasul-Nya.
Ketika hukum-hukum syarak dijadikan sebagai sandaran, maka anggota keluarga tidak akan terjebak pada pelanggaran hukum syarak dan bermaksiat kepada Allah. Syariat Islam adalah peraturan yang sempurna dan baku, tidak lekang oleh waktu. Dengan mentaati syariat-Nya, maka keberkatan dan ketenteraman akan sentiasa tercurah bagi keluarga kita. Jika melakukan kekhilafan, segeralah bertaubat dan kembali kepada hukum syarak.
- Nasihati pasangan dengan makruf
Setiap manusia pasti tidak luput dari kesalahan. Boleh jadi pasangan kita khilaf atau belum faham apa yang dilakukannya itu melanggar hukum syarak. Adanya ikatan persahabatan antara suami-isteri akan membuatkan mereka tidak rela pasangannya melakukan kesalahan, baik yang disengajakan mahupun tidak. Saling memberi nasihat merupakan bentuk hubungan yang saling mencintai kerana Allah Taala. Tujuannya dalam rangka menjaga ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dan menjauhkan pasangan dari melakukan kemaksiatan kepada-Nya.
Menasihati pasangan perlu disertakan dengan komunikasi yang baik, tepat pada masanya, dan dengan cara yang betul. Lakukan dengan lembut dan jangan menjustifikasi kesilapan pasangan anda. Ini akan membuatkan pasangan berasa sejuk dan tenang apabila menerima masukan.
- Bincangkan konsep berbelanja menurut Islam bersama pasangan
Komunikasi yang sengit merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan berbagai permasalahan dengan pasangan. Ada baiknya kita dan pasangan sentiasa mendiskusikan berbagai hal, termasuk yang berkaitan dengan hukum-hukum Islam. Pada saat itu, kita dapat membincangkan gaya berbelanja pasangan, sama ada berada dalam koridor syarak atau malah terbabas dan terjerumus dalam pelanggaran hukum syarak.
Ada baiknya mencari saat yang tepat untuk membicarakan masalah ini dengan pasangan, contohnya pada saat santai berdua. Kita juga dapat menyampaikan konsep berbelanja menurut Islam dengan mengkaji bersama sebuah artikel atau tayangan di YouTube, dan sebagainya, kemudian mendiskusikannya bersama. Penting untuk mengaitkannya dengan gaya belanja pasangan sehingga benar-benar jelas berada pada batas yang wajar atau tidak. Dengan bahasa yang baik, ajak pasangan memecahkan permasalahan ini bersama, bukan menyalahkan pasangan. Berusahalah sekuat tenaga membantunya memperbaiki kebiasaan buruknya.
- Bantu pasangan melepaskan kebiasaan buruknya
Hanya seorang sahabat sejati yang tidak membiarkan sahabatnya bergelumang dosa akibat melanggar hukum syarak. Kita adalah sahabat sejati bagi pasangan kita. Jadilah orang pertama yang menyemangatkan sahabat tercintanya untuk keluar dari kebiasaan buruknya. Sudah pasti dia memerlukan sokongan penuh dari orang terdekatnya, iaitu teman hidupnya.
Berusahalah sekuat tenaga untuk membantu pasangan memperbaiki kebiasaan buruknya. Lebih-lebih lagi jika pasangan bersemangat kuat untuk memperbaiki dirinya, tentu perlu didorong agar menjadi lebih baik. Biasanya jika orang-orang di sekeliling menyokongnya, dia akan semakin bersemangat untuk melepaskan diri dari hal yang buruk. Lantunkan doa-doa terbaik ke hadrat Allah SWT untuk pasangan kita, agar Allah segera menolongnya keluar dari kebiasaan buruknya. Juga agar Allah menjaga keluarga kita agar selalu berada dalam koridor syarak.
- Ajak pasangan membuat catatan dan penilaian kewangan
Ramai orang yang suka berbelanja, tetapi tidak merasa dirinya “gila” belanja. Perkara ini terjadi kerana biasanya mereka tidak mempunyai catatan kewangan sendiri. Ada baiknya kita mengajak pasangan membuat catatan kewangan. Dia akan mengetahui barang apa yang dibelinya dan jumlah wang yang dikeluarkannya untuk berbelanja pada bulan ini.
Kemudian, ajaklah pasangan untuk menilai barang-barang yang sudah dibeli. Adakah ia benar-benar diperlukan dan akan digunakan? Adakah pengeluarannya selama satu bulan ini dalam had yang wajar? Kita perlu bijak berbelanja walaupun pendapatan keluarga besar, apatah lagi jika sedikit. Jangan sampai perbelanjaan penting seperti makanan, susu, dan sekolah anak-anak tidak terbayar. Namun barang-barang yang tidak terlalu diperlukan, seperti kasut dan beg yang belum perlu diganti pula yang lebih diutamakan. Dari penilaian ini dapat diketahui, sesungguhnya pasangan kita berbelanja secara berlebihan atau tidak.
Lebih baik lagi jika penilaian tersebut diteruskan dengan membuat anggaran kewangan untuk bulan seterusnya. Langkah ini akan membuat pasangan berasa bertanggungjawab penuh atas keadaan kewangannya dan kewangan keluarga.
Khatimah
Demikianlah, Islam telah mengatur dengan sangat cermat cara membelanjakan harta, sekalipun harta tersebut milik kita. Memang bukan hal yang mudah untuk mengelola pembelanjaan harta keluarga. Namun istimewanya, Allah telah memberikan tanda-tanda yang sangat terperinci dan mengutus manusia pilihan, iaitu Rasulullah SAW sebagai suri tauladan bagi kita. Oleh kerana itu, ketika pasangan terjebak dalam aktiviti berbelanja yang melampaui batas syarak, kita wajib mengingatkan dan membantunya untuk melepaskan diri dari jeratan gaya berbelanja sekular kapitalisme.
Sepatutnya keluarga muslim tidak menganggap remeh masalah pembelanjaan harta. Semuanya perlu sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah agar rezeki yang diperoleh keluarga kita menjadi rezeki yang berkat dan bernilai pahala ketika digunakan. Wallahualam bissawab.