Kriteria Ibu yang Baik dalam Islam
Al-Ustadz Sa’ad Karim dalam bukunya Nasha-ih lil aabaa’ Qabla ‘Uquuqil Abna’ mengatakan bahawa seorang ibu memiliki peranan penting dalam mendidik anaknya. Jika dia menjalankan peranan tersebut dengan baik, kelak dia akan memetik buah manisnya dari sang anak berupa ketaatan, birrul waalidain, dan kejayaan. Namun jika dia mensia-siakan peranannya, kelak dia hanya akan menuai kederhakaan dan sikap kurang ajar dari anaknya.
Peranan paling asas yang dimainkan oleh seorang ibu diantaranya ialah menanamkan norma-norma luhur dan budi pekerti mulia dalam dirinya terlebih dahulu. Kerana orang yang tidak mempunyai sesuatu, tidak mungkin memberikan sesuatu tersebut kepada orang lain.
Al-Quran telah menentukan karakter seorang ibu yang baik dan solehah tersebut dalam firman Allah:
…فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ…
“…Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya…” [TMQ An Nisaa’ (4): 34]
Ini merupakan kriteria tambahan yang menjadi ciri wanita solehah, setelah dia menunaikan kewajipannya membesarkan anak dengan penuh kasih sayang, dan mencurahkan segenap perhatiannya dalam mendidik si kecil.
Nabi SAW pernah memuji wanita Quraisy kerana kasih sayang mereka yang besar terhadap anak-anak. Baginda bersabda:
“Wanita Quraisy adalah sebaik-baik wanita Arab. Merekalah yang paling belas kasihan terhadap anaknya, dan paling prihatin terhadap urusan suaminya”
Kerana itu, seorang isteri solehah yang taat beragama lebih afdhal dari isteri lainnya, serta lebih layak untuk diajak membangun rumah tangga yang stabil dan melahirkan keturunan yang soleh lagi berbakti kepada ibu bapa.
Uthman bin Affan pernah berpesan kepada anak-anaknya: “Wahai anak-anakku, sesungguhnya orang yang hendak menikah itu ibarat orang yang hendak menyemai benih; maka hendaklah dia memperhatikan di mana dia akan menyemainya. Dan ingatlah bahawa (wanita yang berasal dari) keturunan yang baik; maka pilih-pilihlah dahulu walaupun sejenak”
Dengan demikian, jelaslah bahawa peranan ibu amatlah penting dalam dunia pendidikan. Dia adalah watak utama dan salah satu faktor terpenting di sebalik kejayaan proses pendidikan itu sendiri. Dengan kesolehannya, masyarakat akan menjadi soleh, dan tanpa itu kita hanya akan menuai duri dan buah yang pahit. Allah SWT berfirman:
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهٗ بِاِذْنِ رَبِّهٖۚ وَالَّذِيْ خَبُثَ لَا يَخْرُجُ اِلَّا نَكِدًاۗ كَذٰلِكَ نُصَرِّفُ الْاٰيٰتِ لِقَوْمٍ يَّشْكُرُوْنَ
“Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut.” [TMQ Al A’raaf (7): 58]
Sumber: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1334147943841977&id=396439064279541&rdid=3kXNSVZVPY5pEYR9#