Adakah Batasan Media Sosial Menjamin Perlindungan terhadap Anak?
Dalam arus kapitalisme, kemajuan teknologi dan media sosial umpama pedang bermata dua, yang boleh memberi manfaat atau membawa kemudaratan kepada penggunanya. Pada asasnya, media sosial boleh memberi impak positif sekiranya tujuan penggunaannya adalah untuk memudahkan orang ramai berkomunikasi, mencari kawan, berkongsi maklumat, malah menyampaikan dakwah Islam secara meluas dan besar-besaran.
Malangnya, penggunaan media sosial sebenarnya lebih banyak memberi impak negatif berbanding positif terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja. Lebih-lebih lagi, dengan literasi yang rendah, kanak-kanak sangat terdedah kepada risiko penggunaan media sosial kerana mereka belum mempunyai kematangan proses berfikir untuk menentukan baik buruk suatu tindakan.
Beberapa kesan negatif seperti ketagihan media sosial, akses mudah kepada kandungan lucah, terjebak dalam penipuan scammer dan serangan siber, serta pelbagai risiko berbahaya lain yang mengancam kualiti hidup kanak-kanak dan remaja.
Menurut data dari Pusat Nasional bagi Kanak-kanak Hilang & Dieksploitasi, sepanjang 2020-2024, terdapat 5.6 juta kandungan lucah yang terdapat di Indonesia. Laporan Ketelusan Google juga menyatakan bahawa Indonesia adalah negara yang paling banyak disekat oleh Google bagi kandungan pornografi kanak-kanak pada suku kedua 2022 hingga suku pertama 2024.
Inilah akibat daripada paradigma kapitalisme sekular yang mendominasi matlamat hidup manusia. Paradigma sekular kapitalisme menjadikan kebebasan sebagai gaya hidup yang dipasarkan secara besar-besaran. Apa sahaja yang menghasilkan wang dan mendapat permintaan tinggi akan dihasilkan secara berterusan.
Kehadiran teknologi internet membuka peluang untuk kandungan lucah tersebar luas. Arus pendigitalan telah menyebabkan industri pornografi berkembang berlipat kali ganda. Dalam industri ini, perolehan wang tahunan mencecah bilion dolar AS atau ratusan juta ringgit.
Sebagai contoh, laman OnlyFans, yang membekalkan kandungan dewasa, memperoleh keuntungan RM 19 juta daripada kandungan lucah dalam setahun (tempoh September 2021). Menurut laporan daripada Persatuan Psikologi Amerika, pada 2019 industri lucah menjana pendapatan tahunan sekitar USD 97 bilion, jumlah yang melebihi pendapatan industri muzik dan sukan profesional.
Tidak Cukup Sekadar Pembatasan
Berdasarkan fakta di atas, polisi sekatan media sosial tidak cukup berkesan untuk secara efektifnya memutuskan akses kanak-kanak kepada kandungan negatif dan berbahaya. Ini kerana masih terdapat kemungkinan kanak-kanak boleh mengaksesnya dengan cara lain, seperti mengaktifkan aplikasi VPN atau menyamarkan umur mereka.
Penerbiatan kandungan dewasa atau berunsur lucah dibenarkan tanpa sebarang masalah baik dalam penerbitan novel atau komik yang digemari oleh kanak-kanak dan para remaja. Kalaupun terdapat sekatan pada akses kandungan, kebanyakannya hanya memberi amaran atau peringatan semata.
Sebenarnya, banyak negara sudah menyedari akan pengaruh buruk media sosial terhadap kanak-kanak. Walau bagaimanapun, mereka hanya menyediakan penyelesaian dengan mengelakkan kesan negatif yang lebih luas, dan bukannya menyelesaikan secara mendalam sebab pendigitalan hari ini sebenarnya mempunyai kesan berbahaya yang lebih besar.
Sudah tentu, adalah mustahil kandungan lucah dan industri lucah dapat dihapuskan sepenuhnya di saat sistem kapitalis sekular yang melahirkan gaya hidup sebegini masih dilaksanakan sehingga kini. Sistem sekular ini tidak mengenal konsep halal dan haram dalam pelbagai aspek. Sistem ini hanya menggunapakai prinsip ‘untung’ bagi mendapatkan sebanyak mungkin bahan.
Nilai kapitalis sekular yang diterima pakai daripada sistem kapitalis ini menjadi punca kepada kemunculan kandungan negatif dan jenayah siber yang mengancam kanak-kanak. Terdapat banyak faktor yang saling berkaitan, termasuk faktor ekonomi, sosial, undang-undang, malah politik, yang mengakibatkan peningkatan jenayah terhadap kanak-kanak di alam siber.
Tiga tonggak yang melindungi dan menyelamatkan generasi juga kelihatan mandul dan tidak mampu membendung arus kerosakan sistem kapitalis sekular, penjelasannya adalah seperti berikut.
Pertama, peranan negara. Dalam hal ini, peranan negara masih belum optimum dalam menyediakan internet yang positif dan mesra kanak-kanak. Kerajaan melalui Kementerian Perhubungan dan Penerangan hanya menyekat 1.9 juta daripada lebih 30 juta laman lucah di dunia. Dunia digital bebas adalah kesan domino daripada kehidupan sekular liberal yang diterima pakai oleh kebanyakan negara.
Sistem sekular menafikan peranan agama sebagai panduan hidup manusia dalam bermasyarakat dan bernegara. Akibatnya, gaya hidup liberal menjadi budaya yang tidak dapat dielakkan. Liberalisasi dan sekularisasi ini benar-benar merosakkan masyarakat.
Misi hidup manusia sebagai hamba Allah juga dipesongkan dengan pemikiran sekular liberal. Kerana itu, walaupun kerajaan terus berusaha menyekat laman lucah, namun penghasilan kandungan lucah akan tetap diteruskan atas dasar kehidupan sekular. Peranan negara juga tidak berkesan terhadap penerbit filem yang memicu tingkah laku lucah. Terdapat banyak rancangan tidak mesra kanak-kanak yang tersebar di media sosial.
Kedua, kurangnya kawalan sosial. Tabiat beramar makruf nahi mungkar menjadi hilang akibat kehidupan sekular. Masyarakat lebih bersifat individualistik dan kapitalistik. Masyarakat lebih bertolak ansur dengan perlakuan tidak bermoral. Gema kebebasan tingkah laku menjadi mantera paling berkesan untuk membenarkan perbuatan maksiat.
Ketiga, peranan keluarga dirosakkan oleh sekularisme. Pendidikan pertama bagi anak-anak adalah dari keluarga, tetapi jika warna pendidikan dalam keluarga adalah sekular, sudah tentu nilai-nilai Islam tidak akan tertanam kukuh dalam diri anak. Keimanan yang teguh adalah asas utama dalam mencegah anak-anak daripada terjebak dalam kemaksiatan. Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka menjadi generasi yang bertakwa dan berakhlak mulia.
Daripada penjelasan di atas, adalah mustahil untuk kita mengharapkan internet positif dan media sosial mesra kanak-kanak dalam sistem sekular. Kandungan lucah yang meluas, jenayah seksual digital, pelacuran dalam talian, perjudian dalam talian dan penyelewengan seksual sebenarnya berpunca daripada ideologi sekular kapitalisme itu sendiri. Apa yang mesti dirumuskan adalah penyelesaian fundamental yang boleh menyelamatkan anak-anak kita daripada kesan jangka panjang sistem kapitalis sekular, bukan sekadar penyelesaian pragmatik yang tidak mampu menyentuh punca masalah.
Penyelesaian Islam
Media sosial adalah produk teknologi digital. Sebagai sarana teknologi, Islam membenarkan penggunaan teknologi untuk kebaikan. Walau bagaimanapun, jika media sosial digunakan untuk menyebarkan kandungan atau aktiviti yang tidak bermoral atau jenayah, ini adalah dilarang dalam Islam.
Dalam Islam, media sosial boleh memberi manfaat dalam pelbagai cara, asalkan ia berada dalam batas yang dibenarkan oleh syarak. Sekiranya teknologi digunakan atas paradigma Islam, ia akan memberi impak positif dan memberi manfaat kepada manusia. Negara akan memberikan sokongan, baik dalam bidang pendidikan mahupun kewangan, demi mencapai kesejahteraan umat manusia.
Negara Islam (Khilafah) akan melaksanakan sistem pemerintahan dan politik ekonomi berlandaskan syariat Islam. Secara tidak langsung, dasar ekonomi politik berkait rapat dengan pembentukan generasi yang berkualiti. Sebagai contoh, dasar politik untuk menapis dan menyekat kandungan lucah yang mengandungi gaya hidup bebas dijalankan melalui Jabatan Penerangan. Institusi ini bertugas mengawasi gerak kerja media massa, baik media cetak, elektronik mahupun digital. Matlamatnya adalah untuk melindungi generasi daripada pengaruh negatif media yang merosakkan.
Khilafah juga akan membina sistem pendidikan berlandaskan akidah Islam. Sistem pendidikan Islam yang memfokuskan kepada pembentukan sikap dan pemikiran generasi agar sesuai dengan Islam. Dengan iman yang kukuh, setiap pelajar akan mempunyai visi dan misi dalam kehidupan yang berorientasikan akhirat. Akidah adalah standard bagi mereka dalam menilai dan menimbang sama ada sesuatu aktiviti itu berfaedah atau tidak.
Sistem pendidikan ini juga lebih mementingkan atau mengutamakan perkara wanib dan sunah berbanding perkara mubah. Para pelajar juga akan mampu meninggalkan segala bentuk keharaman. Dengan sistem ini juga, pendidikan keluarga yang menjadikan akidah Islam sebagai garis panduan utama dalam mendidik anak-anak akan terbentuk.
Khilafah menggalakkan penghasilan siaran dan media untuk menyiarkan nilai-nilai Islam. Infrastruktur dan sistem keselamatan digital akan disediakan secara menyeluruh termasuk di kawasan terpencil. Khilafah juga berperanan mendidik sekaligus menyediakan sarana yang diperlukan oleh masyarakat dengan celik digital yang dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala.
Khilafah memanfaatkan teknologi demi kepentingan umat manusia. Bahkan, Khilafah akan membangunkan teknologi ini dengan memperkasakan sumber daya manusia yang berkelayakan. Dengan visi dan misi yang betul, teknologi akan menjadi salah satu pelopor pembangunan tamadun Islam global.
Penerapan sistem perundangan Islam akan memberikan hukuman kepada siapa saja yang menyalahi serta bertentangan dengan visi serta misi pendidikan Islam. Pelaksanaan sistem perundangan Islam akan memberikan kesan pencegahan kepada pelaku/pelanggar syariah dan mencegah seseorang daripada melakukan jenayah.
Tiap perbuatan tercela menurut syariat Islam dikategorikan sebagai kejahatan, sebagaimana penjelasan Syeikh Abdurrahman al-Maliki rahimahullah dalam kitab An-Nizham al-Uqubat wa al-Ahkam al-Bayyinat fiil Islam, hlm. 3, “Ketika syariat telah menetapkan bahawa perbuatan itu tercela, maka sudah pasti perbuatan itu disebut kejahatan. Hal itu tanpa memandang tahap tercelanya, iaitu tanpa memperhatikan besar atau kecilnya kejahatan. Hukum syarak telah menetapkan perbuatan tercela sebagai dosa yang perlu dikenakan hukuman. Demikianlah, dosa itu zatnya adalah kejahatan. Kejahatan (jarimah) adalah tindakan melanggar peraturan yang mengatur perbuatan-perbuatan manusia dalam hubungannya dengan Rabbnya, dengan dirinya sendiri dan hubungannya dengan manusia yang lain.”
Pengaktifan kawalan dan penyeliaan masyarakat akan seiring dengan suasana keimanan Islam dalam diri setiap individu. Masyarakat akan saling menasihati dalam kebaikan, dan mencegah anggota masyarakat yang lain daripada melakukan maksiat.
Demikianlah, Islam mempunyai perspektif yang khas dalam melindungi dan menyelamatkan generasi daripada kerosakan. Islam tidak akan menghalang manusia daripada memanfaatkan teknologi dan digitalisasi yang canggih. Namun, Islam mempunyai mekanisme kawal selia yang menyeluruh baik dari segi pelaksanaan undang-undang, pencegahan, pengendalian, pengawalan, dan penyeliaan dalam aliran digitalisasi agar tidak terpengaruh dengan impak negatif yang ditimbulkan oleh teknologi ini. Wallahualam bissawab.
Diterjemah dan diolah dari sumber: https://muslimahnews.net/2025/02/09/34866/