Wasiat untuk para Isteri Ketika Suami Tiada di Rumah
Oleh: Najmah Saiidah
Kehidupan suami isteri adalah kehidupan yang sarat dengan ketenangan, ketenteraman, kasih sayang, dan persahabatan. Interaksi suami isteri tegak di atas prinsip tolong-menolong, saling membantu, bersahabat, harmoni, serta tidak kaku dan formal. Hubungan suami isteri adalah interaksi yang penuh kehangatan, kesejukan, dan jauh dari kekakuan. Sehingga terwujud kesakinahan (ketenangan dan ketenteraman) di dalam kehidupan rumahtangga, kehidupan yang menjadikan suami berasa tenang dan tenteram dengan kehadiran isteri. Sebaliknya juga, isteri berasa aman dan tenang dengan keberadaan suami di sisinya.
Kepimpinan seorang suami di dalam rumahtangga adalah kepimpinan yang bersifat mengatur dan melayani (ri’ayah), bukan kepimpinan diktator seperti seorang penguasa yang selalu menggunakan pendekatan kekuasaan. Seorang suami diwajibkan memberi nafkah kepada isteri dengan cara yang makruf. Sedangkan seorang isteri juga diwajibkan melayani suaminya dan taat kepada suami dalam batas-batas yang telah ditetapkan syariat, termasuk ketika suaminya tidak bersamanya pada waktu tertentu. Islam telah mengatur hal ini dengan sangat terperinci, sehingga keduanya sentiasa hidup dalam ketenteraman dan ketenangan walaupun dalam situasi tertentu keduanya tidak selalu bersama. Bagaimana peraturan Islam dan wasiat Rasulullah SAW kepada para isteri, ketika suaminya tidak berada di sampingnya?
1) Memelihara diri ketika suaminya tidak ada.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam QS An-Nisaa’: 34. Tentang ayat ini, Al-Imam ath-Thabari rahimahullah berkata, “Maksudnya: Wanita-wanita yang menjaga diri-diri mereka ketika suami-suami mereka tidak ada, iaitu menjaga kemaluan dan harta suami, serta menjaga hak Allah yang diwajibkan atas mereka dalam hal tersebut mahupun selainnya.” [Tafsir Ath-Thabari, 8/295] Menjaga diri yang dimaksudkan adalah menjaga kemaluannya dari zina dan menjaga harta suami, sehingga mencakup makna menjaga diri dari hal-hal yang boleh menjatuhkannya kepada zina, kerana Allah SWT telah melarang zina dan melarang semua perbuatan yang menjerumus kepada zina. Asy-Syeikh as-Sa’di rahimahullah berkata,
“Maknanya: Wanita-wanita yang taat kepada suami-suami mereka walaupun ketika suami-suami mereka sedang tidak ada, maka seorang wanita solehah tetap menjaga dirinya dan harta suaminya. Dan itu kerana penjagaan Allah dan taufik-Nya terhadap mereka, bukan kerana diri-diri mereka, kerana nafsu selalu memerintahkan kepada keburukan, akan tetapi barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupinya dalam perkara yang penting baginya, baik agamanya mahupun dunianya.” [Tafsir As-Sa’di, hal. 177]
2) Tidak memasukkan orang lain ke dalam rumah, tanpa izin suaminya.
Berkenaan dengan ini, terdapat hadis yang melarang memasukkan sesiapa yang tidak disenangi oleh suami dan terdapat juga hadis yang secara khusus merujuk kepada orang tertentu, contohnya lelaki lain yang bukan mahram. Namun, Islam juga melarang memutuskan hubungan antara isteri dan keluarganya.
Hadis Nabi Muhammad SAW, “Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sunat ketika suaminya berada di rumah, kecuali dengan izin suaminya. Dan seorang isteri tidak boleh mengizinkan seseorang memasuki rumahnya kecuali dengan izin suaminya.” (HR Bukhari Muslim).
Dari Jabir ra., Rasulullah SAW bersabda, “Mereka tidak boleh memasukkan lelaki ke dalam rumah. Jika mereka melanggarnya, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Sementara mereka ada hak disediakan makanan dan pakaian dengan cara yang wajar, yang menjadi kewajipan kalian.” (HR Muslim).
“Hak kalian atas mereka adalah mereka tidak boleh mengizinkan seorang pun yang tidak kalian sukai untuk menginjak permadani kalian.” (HR Muslim).
Sebahagian ulama memberikan penjelasan tentang hal ini, bahawa hadis ini sangat jelas membicarakan soal adab isteri di saat suaminya tidak ada, iaitu dengan tidak mempersilakan lelaki bukan mahram untuk masuk ke rumahnya. Namun, jika lelaki yang datang adalah kerabat yang mahram si isteri, tentu saja hal itu diperbolehkan. Isteri tersebut boleh membuka pintu dan mempersilakan tetamunya itu masuk. Kecuali, ada pesan khusus dari si suami untuk tidak membukakan pintu kepada siapa pun yang datang.
Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah (30/125) disebutkan, jika si isteri yakin bahawa suaminya biasanya dengan sangkaan kuat akan mengizinkan untuk menerima tetamu tersebut, hal itu juga diperbolehkan bagi si isteri. Demikian kebolehan bagi orang yang telah diberi izin oleh suami untuk bertamu ke rumah si isteri. Contohnya, untuk melalukan suatu keperluan, seperti membetulkan alat yang rosak. Si isteri diperbolehkan berinteraksi dengan tetamu tersebut sekadar urusan dan keperluannya saja. Isteri tetap perlu memakai hijab secara sempurna di depan tetamu lelaki bukan mahramnya dan tidak berkhalwat.
3) Tidak meninggalkan rumah, kecuali dengan izin suaminya.
Antara kewajipan isteri atas suaminya adalah meminta izin untuk keluar dari rumah. Maksudnya, jika tidak ada izin dari suaminya untuk keluar rumah, maka tidak diperbolehkan. Asas kewajipan izin adalah hadis berikut ini, “Seorang wanita datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Apa hak seorang suami atas isterinya?’ Beliau SAW menjawab, ‘Haknya adalah isteri tidak keluar rumah kecuali atas izinnya. Jika isterinya nekad untuk keluar juga, maka malaikat langit, malaikat kasih sayang dan malaikat azab melaknatnya sampai dia pulang.’” (HR Al-Bazzar).
Sebahagian ulama menegaskan bahawa kewajipan meminta izin pada suami ini tentu bukan izin setiap detik dan setiap saat dia keluar rumah. Jika dia keluar rumah kerana rutin yang sudah dimaklumi dan suami memang sudah mengizinkannya, maka dia tidak perlu meminta izin pada suaminya setiap waktu. Contohnya, jika rutin isteri setiap pagi pergi ke pasar atau kedai untuk membeli keperluan rumahtangga, dan suaminya telah sedia maklum akan rutin isterinya dan redha, maka isteri tidak perlu lagi meminta izin setiap pagi pada suaminya.
4) Menjaga harta suami.
Salah satu kewajipan isteri, baik ketika suami ada ataupun tidak ada, adalah menjaga harta suami. Seorang isteri dilarang untuk menghabiskan harta suami tanpa izin suami. Demikian halnya saat tinggal berjauhan atau saat suami keluar, isteri juga wajib menjaga amanah suami berupa harta yang dititipkan kepadanya. Seorang isteri hendaklah membelanjakan harta suami dengan cara yang makruf, dan tidak berlebihan atau di luar keperluan kecuali dengan izin suaminya.
Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik wanita adalah jika kau pandang dia menyenangkanmu, jika kau perintah dia mentaatimu, jika kau tinggalkan, dia menjagamu dalam hal harta dan menjaga dirinya.” (HR Ahmad dan An-Nasa’i).
Abu Umamah al-Bahili ra. mengatakan, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, dalam khutbahnya pada Haji Wada, ‘Janganlah seorang wanita menafkahkan sesuatu dari rumah suaminya kecuali dengan izin suaminya.’ Ditanyakan (kepadanya), ‘Wahai Rasulullah, tidak juga makanan?’ Beliau menjawab, ‘Itu adalah sebaik-baik harta kita.’” Dari ‘Abdullah bin Yahya al-Anshari—salah seorang putera Ka’ab bin Malik—dari ayahnya, dari datuknya, bahawasanya neneknya, Khairah, isteri Ka’ab bin Malik, datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa perhiasannya seraya mengatakan, “Aku bersedekah dengan ini.” Rasulullah SAW bersabda kepadanya, “Seorang wanita tidak boleh memberikan sesuatu kecuali dengan izin suaminya; apakah engkau sudah meminta izin dari Ka’ab?” Dia menjawab, “Sudah.” Lalu Rasulullah mengutus seseorang kepada Ka’ab untuk menanyakannya, “Apakah engkau telah mengizinkan Khairah bersedekah dengan perhiasannya?” Dia menjawab, “Ya.” Maka Rasulullah SAW menerima perhiasan tersebut darinya.”
5) Tidak Berhias Secara Berlebihan
Ketika suami tidak ada di rumah, hendaknya si isteri tidak berhias secara berlebihan. Sesungguhnya, dalam Islam, berhias hanya boleh dilakukan di depan suami saja. Sedangkan untuk menjaga kebersihan dan kekemasan diri, wajib dilakukan setiap masa. Hanya saja, berhias sebaiknya tidak dilakukan ketika tidak ada suami di rumah kerana dikhuatiri akan terjadi fitnah. Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu…” [TMQ Al-Ahzaab (33): 33]
6) Selalu menjaga nama baik suami.
Setiap rumahtangga pasti ada saja permasalahan yang muncul, sehingga perlu dihadapi bersama. Ketika ada masalah dengan suami, seorang isteri tidak dibolehkan untuk berkongsi masalah rumahtangganya kepada orang lain. Hal ini perlu dilakukan untuk menjaga aib rumahtangga dan nama baik suami. Sebagai isteri, sebaiknya tetap menjaga aib suami dan masalah kehidupan rumahtangga berdua saja. Jangan pernah berkongsi keburukan atau aib suami kepada orang lain.
“Siapa yang melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan yang sangat dari kesusahan dunia nescaya Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan nescaya Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutup aib seorang muslim nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya….” (HR Muslim)
Perlu diingat bahawa suami merupakan seorang ketua keluarga, jika namanya buruk, itu membuktikan rumahtangga yang dijalaninya juga sedang tidak berjalan dengan baik.
7) Selalu mendoakan suami
Ketika suami sedang pergi, isteri hendaklah berdoa demi keselamatan dan kemudahan jalan rezeki bagi sang suami. Kekuatan doa dari isteri merupakan senjata terbesar dan terkuat dalam setiap langkah dan usaha suami. Rasulullah SAW mengatakan, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” (HR Tirmidzi).
Demikian sempurnanya Islam mengatur kehidupan umatnya, termasuk kehidupan berumahtangga. Inilah bentuk Maha Rahman dan Rahiim-nya Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Dengan semua peraturan ini, kehidupan rumahtangga manusia akan tetap terjaga. Bukan hanya itu, kehormatan para isteri pun tetap terjaga dan terlindungi sekalipun sang suami tidak berada di sisinya. Peraturan-peraturan ini ada bukan untuk mengekang para isteri ketika suaminya sedang keluar, tetapi sebaliknya, untuk menjaga kesucian dan kemuliaan para isteri.
Wallahu a’lam bishshawwab
Sumber: https://www.facebook.com/100077591074146/posts/660512379878459/?rdid=inFjFKYJ7UZZeeeY#