5 Perkataan yang Dilarang Ketika Menegur Anak
Oleh: Ustaz Iwan Januar (Pakar Parenting Islam)
Menegur anak adalah sebahagian daripada mendidik mereka. Apabila anak melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya terutama yang melanggar hukum syarak, maka menjadi kewajipan ibu bapa membetulkannya. Mendidik anak bukan sekadar memberikan mereka nasihat yang baik, tetapi juga mencegah mereka daripada perbuatan tercela, bahkan apabila mencapai usia tertentu ibu bapa diizinkan oleh hukum syarak untuk memberikan hukuman berupa hukuman fizikal seperti menarik, mencubit atau memukul. Nabi SAW mengingatkan ibu bapa akan betapa pentingnya peranan pendidikan yang utuh kepada anak.
لأَنْ يُؤَدِّبَ الرَّجُلُ وَلَدَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَتَصَدَّقَ كُلَّ يَوْمٍ بِنِصْفِ صَاعٍ
“Ibu bapa yang mendidik anaknya lebih baik daripada dia bersedekah sepanjang hari dengan setengah sha’.” (HR. Ahmad).
Terdapat kekeliruan dalam kalangan segelintir ibu bapa yang boleh dikatakan tidak pernah menegur anak mereka kerana menganggap ia akan membantutkan potensi dan kecerdasan anak. Ada juga yang berteori bahawa memarahi anak boleh memusnahkan berbilion sel otak anak, maka lebih baik anak dibiarkan melakukan apa sahaja keinginan mereka, demi kecerdasan mereka.
Kepada mereka cukuplah kita sampaikan perbuatan Nabi SAW yang bukan satu atau dua kali menegur kanak-kanak di bawah umur kerana melakukan perbuatan tidak sepatutnya. Nabi bahkan menegur Hasan bin Ali RA yang memakan kurma sedekah. Beliau berkata kepadanya:
كِخْ كِخْ ارْمِ بِهَا أَمَا عَلِمْتَ أَنَّا لاَ نَأْكُلُ الصَّدَقَةَ
“Kih! Kih! Keluarkanlah! Apakah engkau tidak tahu bahawa keluarga Muhammad dilarang memakan harta sedekah?” (HR. Muslim).
Kalimah “Kih-Kih” adalah kalimat larangan untuk anak kecil dan bermaksud larangan terhadap sesuatu yang kotor. Nabi SAW tidak membiarkan cucunya memakan harta sedekah, walaupun ketika itu Saidina Hasan masih kanak-kanak (ada kekhususan bagi keluarga Rasulullah SAW tidak dihalalkan makan harga sedekah). Kerana itu, menegur dan membetulkan kesalahan anak, termasuk memukul adalah bahagian penting dalam mendidik anak-anak. Luqman al-Hakim, seorang soleh yang namanya diabadikan dalam al-Quran, berkata, “Pukulan ayah terhadap anaknya adalah seperti baja bagi tanaman.”
Sudah tentu, ada garis panduan syariah dalam menegur dan menghukum anak. Terdapat batasan yang harus dijaga oleh ibu bapa apabila menghukum dan memarahi mereka. Berikut adalah lima perkara yang tidak boleh diucapkan oleh ibu bapa apabila memarahi anak.
Pertama: Mencaci mereka
Kesalahan adalah kesalahan, tetapi itu bukan bermakna ibu bapa boleh mencaci maki anak mereka. Islam mengharamkan seorang muslim mencaci maki sesama muslim. Pada zaman Nabi SAW, ada seorang peminum arak yang dijatuhkan hukuman jenayah. Kemudian orang ramai memukulnya sebagai hukuman, apabila selesai ada seseorang yang mencacinya, “Semoga Allah menghinakanmu!” Nabi SAW menegur orang itu dengan bersabda;
لاَ تَقُولُوا هَكَذَا لاَ تُعِينُوا عَلَيْهِ الشَّيْطَانَ
“Janganlah kalian berkata demikian, janganlah kalian membantu syaitan merosakkan orang itu!” (HR. Bukhari)
Kadang-kadang ibu bapa keterlaluan dalam memarahi anak sehingga mencaci maki “kamu anak yang tak guna”, “kamu bodoh”, dll. Ini bukan lagi ta’dib, tetapi sudah terjerumus dalam perbuatan yang dilarang oleh agama.
Kedua: Menisbahkan kepada pasangan
“Kamu sama seperti ayah kamu! Dua-dua lelaki salah!”
Ada sebahagian ibu bapa yang apabila memarahi anak lalu mengaitkan kesalahan anak itu kepada pasangannya; isteri atau suami. Tindakan ini bukan sahaja dilarang kerana tidak ada kaitan antara perbuatan seseorang dengan ibu bapanya, malah menambah masalah dengan pasangan. Walaupun pasangan anda bermasalah, maka tidak sepatutnya mengaitkan kesalahan anak dengan tingkah laku salah ayah atau ibunya. Tidak boleh siapapun membuat generalisasi bahawa perbuatan ibu bapa akan sama dengan anak-anak mereka.
Ketiga: Mengungkit kesalahan lain
Sama ada mereka sangat kesal, atau bagaimana, ada ibu bapa yang suka mengaitkan kesalahan anak dengan kesalahan lain yang pernah berlaku pada masa lalu. Hal ini tidak adil, lebih-lebih lagi jika anak telah meminta maaf atas kesalahan di masa lalu, dan ia juga mewujudkan imej diri (self-image) yang buruk dalam diri anak. Ingatan anak akan dipenuhi bahawa dia tidak boleh menjadi baik di hadapan ibu bapanya. Selalu salah. Selain itu, anak juga akan melihat ibu bapa mereka sebagai sosok yang tidak mempunyai rasa pemaaf.
Keempat: Membandingkan dengan orang lain
Satu tabiat negatif ibu bapa apabila menegur anak ialah membandingkan mereka dengan anak lain; adik beradik atau anak lain. Mungkin ibu bapa yang baik, ingin agar anak mereka mencontohi kebaikan kawan mereka. Namun tindakan ini membuatkan anak tertekan dan menghancurkan kepercayaan dirinya. Dia merasa tidak mempunyai prestasi dan kebaikan dalam keluarga.
Kelima: Ucapan penyesalan
“Mama betul-betul menyesal melahirkan kamu!”
Ini adalah ucapan yang paling buruk yang pernah dikatakan oleh seorang ibu. Kata-kata seperti ini menunjukkan bahawa ibu tidak memahami konsep takdir atau qada’ dan qadar. Tiada siapa yang tahu bagaimana jalan hidup kita nanti. Tugas ibu bapa hanyalah berusaha mendidik anak-anak mereka dengan sebaik mungkin, namun ada faktor lain yang tidak boleh dihadirkan oleh ibu bapa kepada anak; hidayah. Kehadiran hidayah adalah kurniaan Allah SWT, bukan kuasa manusia. Bahkan Nabi SAW juga diingatkan oleh Allah tentang hidayah.
“Sesungguhnya engkau tidak dapat memberikan hidayah kepada orang yang engkau cintai, tetapi Allah jualah yang memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki” (TMQ al-Qashshash: 56).
Jauhilah kata-kata seperti itu, walau seberat mana pun ujian yang dihadapi oleh ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, agar segala amalan tidak sia-sia pahalanya. Tetaplah bersabar menahan perkataan buruk seperti ini. Menangis dan memohon kebaikan untuk keluarga lebih baik di sisi Allah SWT.
Wahai ibu bapa yang dirahmati Allah, ingatlah, menegur anak adalah bertujuan untuk mendidik dan memperbaiki kesalahan mereka, bukan untuk menghancurkan hati dan akal mereka. Belajarlah untuk menahan diri daripada perkataan yang tidak baik, dan mula mengatur emosi dan kata-kata anda agar tujuan untuk menegur anak anda tercapai.
Sumber: tintasiyasi