KONSEP HAK ASASI MELIBERALISASI ANAK
Penulis: Arini Retnaningsih
Pernah viral di media sosial beberapa tahun dulu, seorang ibu di Indonesia, dilaporkan kepada polis oleh anaknya sendiri gara-gara si anak tidak terima dimarahi dan dipukul. Remaja berusia 12 tahun itu dimarahi kerana ibunya menemui `chatting’ lucah dengan seorang lelaki melalui telefon bimbit anak perempuannya.
Kejadian ini, walaupun akhirnya diselesaikan secara kekeluargaan, tetapi mengundang kebimbangan banyak golongan. Dan walaupun kejadian ini sudah berlalu, ia masih relevan untuk dipetik kerana inti masalahnya masih berleluasa di era teknologi dan digital ini.
Di satu sisi, keterbukaan maklumat saat ini telah memperluas eksplorasi dan wawasan anak. Namun, di sisi lain, ia membuka peluang kepada anak mendapat pemahaman yang salah atau salah menempatkan suatu maklumat sehingga melakukan kesalahan dalam menyikapi sesuatu kejadian.
Konsep hak asasi anak, misalnya, ketika anak mendapat maklumat bahawa dia mempunyai hak-hak dasar, dia menerima maklumat ini dalam pandangan hitam putih yang terbatas dalam lingkup yang dia ketahui. Dia tidak mempunyai standard yang tepat dalam menilai dan menentukan sikap. Malah, atas nama hak asasi ini, banyak kes anak yang melaporkan ibu bapanya sendiri kepada pihak berkuasa atau ibu bapa yang tidak berani mengambil sikap tegas terhadap anak mereka dengan alasan ia akan melanggar hak mereka.
Akibat yang muncul dari perkara ini ialah pengawasan dan pendidikan ibu bapa terhadap anak-anak menjadi semakin longgar. Jika dahulu seorang anak enggan belajar mengaji, ibu bapa akan memaksanya, sehingga jika perlu, ibu bapa zaman dahulu akan menyiapkan rotan di dinding rumah. Pada zaman sekarang, anak bebas menolak dan ibu bapa tidak berdaya kerana paradigma hak asasi anak menghalang ibu bapa untuk memaksa dan memukulnya.
Apa yang lebih mengelirukan, sebahagian golongan mencari legitimasi hak asasi anak dalam Islam. Mereka mencari dalil-dalil yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah untuk menguatkan idea ini, bahkan mendakwahkannya kepada umat Islam.
Benar bahawa Islam juga menetapkan hak-hak anak yang menjadi kewajipan ibu bapa untuk memenuhinya, tetapi paradigma konsep hak ini berbeza jauh dengan paradigma hak asasi anak versi PBB yang telah diluluskan dan diterapkan di negara-negara anggotanya.
Konsep Hak Asasi Anak
Hak asasi kanak-kanak (children’s rights) adalah prinsip etika dan standard antarabangsa untuk perbuatan terhadap kanak-kanak. Hak-hak ini merujuk kepada Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak dalam United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC) yang mengatur apa sahaja perkara yang mesti dipenuhi oleh negara agar setiap anak dapat membesar dengan sihat, dilindungi, didengar pendapatnya, menerima pendidikan, dan dilayan secara adil.
Oleh kerana itu, negara wajib menghormati dan mempromosikan hak kanak-kanak dan melindungi mereka daripada segala bentuk diskriminasi, keganasan, dan eksploitasi. Selain negara, berdasarkan penjelasan perundangan, perlindungan dan pemenuhan hak asasi anak menjadi tanggungjawab negara, masyarakat, keluarga, dan ibu bapa.
Konsep hak asasi kanak-kanak ini lahir di Barat sehingga paradigma yang membinanya adalah ideologi yang mereka anuti, iaitu kapitalisme. Konsep ini memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada setiap individu untuk bertingkah laku, beragama, berpendapat, dan terhindar dari segala bentuk keganasan dan diskriminasi.
Dengan paradigma ini, ibu bapa tidak boleh mensyaratkan agama tertentu kepada anak atau memaksa mereka melakukan perbuatan tertentu yang bertentangan dengan keinginan mereka, seperti menutup aurat. Bahkan, ibu bapa tidak boleh melarang anak memiliki orientasi seksual tertentu yang memberi kesan kepada peningkatan LGBTQ1+.
Konsep hak kanak-kanak seperti ini telah membataskan hak ibu bapa dalam mendidik, mengarah, dan membentuk keperibadian anak, juga membataskan masyarakat dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Tidak hairanlah jika nilai-nilai liberalisasi (kebebasan) menguasai pemikiran para pemuda saat ini. Implikasinya, merebaklah pergaulan bebas, salah laku seksual, buli, hingga kerosakan moral atas nama hak asasi.
Konsep Hak Anak dalam Islam
Allah menurunkan syariat Islam untuk menjadi solusi bagi setiap masalah manusia, termasuk anak. Oleh itu, aturan-aturan yang terkandung di dalamnya menjamin kebaikan bagi umat apabila diterapkan.
Mengenai anak, Islam mempunyai seperangkat peraturan yang menjamin anak membesar dengan sempurna. Peraturan ini dibebankan kepada ibu bapa, masyarakat, dan negara dalam bentuk kewajipan sehingga dapat disebut sebagai “hak anak”, tetapi dalam makna jaminan yang bermakna lebih kuat daripada sekadar hak yang diperoleh anak.
Paradigma hak atau jaminan kepada anak ini adalah membentuk anak menjadi sosok manusia berkeperibadian Islam yang mampu menjalankan amanahnya sebagai khalifatun fil ardh (seorang Khalifah di dunia), bukan paradigma kebebasan seperti pandangan Barat.
Kerana ini merupakan kewajipan, Allah akan meminta pertanggungjawaban atasnya. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan ditanya (diminta pertanggungjawaban) atas apa yang dipimpinnya. Seorang imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya (diminta pertanggungjawaban).” (HR Bukhari).
Kewajipan ibu bapa juga merupakan jaminan bagi anak. Di antaranya:
Pertama, jaminan untuk kehidupan dan pertumbuhan yang optimum. Allah telah melarang ibu bapa untuk membunuh anak kerana takut miskin (lihat QS Al-Isra’: 31) atau kerana anaknya perempuan (lihat QS At-Takwir: 8—9).
Jaminan kehidupan dan pertumbuhan anak-anak bermula sejak dalam kandungan. Oleh kerana itu, ibu hamil boleh tidak berpuasa. Setelah melahirkan, agar anak dapat membesar dengan cara terbaik, anak berhak mendapat susu ibu (lihat QS Al-Baqarah: 233). Anak juga mendapat jaminan hadhanah (pengasuhan) sebagaimana yang dijelaskan dalam banyak hadis, serta jaminan mendapatkan nafkah dan penjagaan daripada wali (ayah dan kerabat ayah) mengikut urutan yang telah ditetapkan.
Kedua, jaminan pendidikan dan penjagaan agama (lihat QS At-Tahrim: 6). Ibu bapa wajib menjaga dan melindungi anak-anaknya daripada seksaan api neraka, ini bermakna memberi pendidikan dan mengajar anak-anak dengan sebaik-baiknya, terutama dalam menanamkan iman, membentuk keperibadian Islam, mengajar tentang ibadah, dan memahamkan isi kandung al-Quran.
Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak dilahirkan atas fitrahnya, ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani, atau Majusi.” (Muttafaqun ‘Alaih).
Firman Allah Taala, “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. [TMQ Luqman (31): 13].
Dari sahabat Jabir bin Samurah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Pengajaran seseorang kepada anaknya lebih baik daripada (ibadah/pahala) sedekah satu sha’.” (HR At-Tirmidzi).
Seperti ibu bapa, masyarakat dan negara juga mempunyai kewajipan yang sama terhadap anak, tetapi dalam skala yang lebih luas. Masyarakat berkewajipan menegakkan amar makruf nahi mungkar terhadap ibu bapa dan negara apabila mereka mengabaikan kewajipannya terhadap anak. Masyarakat juga wajib mewujudkan persekitaran kondusif untuk perkembangan anak, menjauhkan anak dari pelbagai pengaruh buruk, serta menyediakan pendidikan yang positif dan produktif untuk anak.
Sementara itu, negara berkewajipan menyusun peraturan untuk memastikan anak-anak mendapat jaminannya, mengambil alih tanggungjawab nafkah dan penjagaan apabila tidak ada kaum kerabat si anak yang mampu melakukannya, menyediakan kemudahan pendidikan dan kesihatan, mewujudkan suasana kondusif dengan melarang fahaman yang berbahaya dari luar, membatasi dan mengatur media maklumat, serta menetapkan hukuman kepada pihak-pihak yang melanggar kewajipannya terhadap anak.
Dengan sinergi antara ibu bapa, masyarakat, dan negara, hak anak dapat dipenuhi dengan sempurna. Berbeza dengan paradigma kapitalisme yang menetapkan hak asasi bagi anak, tetapi tidak menetapkan mekanisme yang sempurna untuk pemenuhannya.
Bolehkah Memarahi dan Memukul Anak?
Perbezaan paradigma mengenai hak anak antara Islam dan kapitalisme juga telah melahirkan perbezaan dalam pemenuhannya. Dalam perspektif kapitalisme, anak diberi kebebasan dan ibu bapa tidak dibenarkan melanggarnya, sedangkan dalam perspektif Islam, anak mendapat jaminan untuk menjadi anak yang soleh. Oleh kerana itu, ibu bapa justeru wajib untuk mendidik anak dan dibolehkan memarahi atau memukul anak dalam konteks mendidik mereka, bukan menyakiti atau melampiaskan emosi.
Beliau SAW bersabda, “Perintahlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka (jika mengabaikan solat) pada usia sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud).
Dalam Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah dijelaskan, “Bolehnya memukul anak disyaratkan ada sangkaan kuat bahawa akan tercapai maslahat yang diinginkan dan pukulannya bukan pukulan yang mencederakan atau teruk bagi anak, dan wajib menghindari memukul wajah dan anggota badan yang rawan.” (Al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 45/71).
Sebagaimana juga disebutkan dalam hadis dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda, “Jika kalian memukul, maka jauhi wajah.” (HR Abu Daud no.4493. Disahihkan Al-Albani dalam Shahih Abu Daud).
Demikian juga, tidak boleh memukul kepala, kemaluan, perut, atau anggota badan rawan yang lain. Dari Abu Sa’id al-Khudri ra. Nabi SAW bersabda, “Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh membahayakan orang lain.” (HR Ahmad I/313 no. 2867, dan Ibnu Majah no. 2431, dihasankan oleh An-Nawawi dalam Al-Arbain no. 32).
Dengan demikian, memukul adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran, bukan untuk menyakiti anak, apatah lagi menganiaya anak.
Khatimah
Apabila peraturan diserahkan kepada manusia, tidak akan lahir solusi tuntas kerana manusia bersifat subjektif dan memiliki kemampuan terbatas dalam mengidentifikasi apa yang bermanfaat untuk dirinya dan manusia lain.
Hal inilah yang terjadi ketika manusia merumuskan hak asasi anak. Apabila manusia menjadikan ideologi kapitalisme yang berakar pada sekularisme sebagai landasan penyusunan peraturan bagi umat Islam, ianya akan semakin menjauhkan umat dari agamanya dan melahirkan pelbagai keburukan yang lain.
Dalam konteks hak asasi anak, konsep ini menimbulkan kerosakan generasi seperti yang berlaku dalam kes seorang ibu yang dilaporkan oleh anaknya sendiri kerana melarangnya ‘bercouple’. Apabila generasi telah rosak, bagaimanakah masa depan umat pada masa akan datang?
Walhasil, kita hanya akan menemui solusi dan landasan sahih dalam peraturan yang dibuat oleh Yang Maha Mengetahui terhadap ciptaan-Nya, iaitu peraturan Allah Sang Hakim, Sebaik-baik Pembuat Aturan.
Sumber: muslimahnewsid
*Dengan sedikit olahan oleh editorial