SEIMBANGLAH DALAM KHAUF DAN RAJA’
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Sesungguhnya orang yang paling ringan seksaannya dari kalangan penghuni neraka pada hari kiamat nanti ialah seseorang yang diletakkan dua kerikil neraka di kedua telapak kakinya yang dapat mendidihkan otaknya. (HR Mutaffaq ‘alaih).
Dalam al-Quran, Allah SWT menyebutkan bahawa Rasulullah SAW diutuskan sebagai pembawa berita gembira dan peringatan (basyira wa nadzira) kepada umat manusia. Pahala dan dosa, keampunan dan seksaan, kebahagiaan dan kesengsaraan, atau syurga dan neraka, tidak lain adalah wujud dari berita gembira dan peringatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW bagi umatnya sebagai balasan atas ketaatan atau pengingkaran mereka kepada Allah SWT.
Kerana itu, sewajarnya dalam diri setiap muslim sentiasa ada sikap khauf (takut) dan raja’ (berharap) kepada Allah SWT yang sememangnya telah menyediakan dua jenis balasan tersebut bagi manusia di akhirat. Di satu sisi, seorang muslim perlu sentiasa memupuk rasa takut (khauf) akan dosa, seksaan, kesengsaraan dan azab Allah SWT. Di sisi lain, dia tidak pernah putus harapan akan rahmat dan keampunan Allah SWT; mengharapkan pahala, kenikmatan, kebahagiaan dan syurga-Nya.
Sudah tentu seorang muslim sejati memiliki rasa takut, misalnya, saat membaca firman Allah SWT (yang bermaksud): Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (TMQ al-Baqarah [2]: 196; al-Maidah [5]: 2). Dia juga akan berasa takut saat membaca firman-Nya (yang bermaksud): Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (TMQ al-Isra’ [17]:10).
Di pengadilan akhirat nanti tiada satu pun yang dapat menolong. Di sana, semua harta, anak, jawatan dan apa sahaja yang dibanggakan di dunia ini tidak akan berguna sama sekali. Hanya hati yang selamat (qalb[un] salîm) yang dapat menolong (TMQ asy-Syua’ra’ [26]: 88–89).
Dan mereka masing-masing akan datang mengadap-Nya pada hari kiamat dengan seorang diri di Pengadilan Allah Yang Maha Adil, untuk dimintai pertanggungjawaban atas ucapan dan perbuatannya (TMQ Maryam [19]: 95). Tiada siapa yang akan dapat lari daripada hukuman. Mereka tidak akan dapat berbohong dan melarikan diri. Sebab, mulut mereka terkunci, sedangkan anggota badan mereka (tangan, kaki, telinga, mata dan kulit) menjadi saksi (TMQ Yasin [36]: 65).
Para pendosa akan mendapat seksaan yang amat pedih (Surah al-Kahfi [18]: 53). Pada masa itu, orang-orang kafir juga sangat takut dengan azab di akhirat. Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah. (TMQ an-Nisa’ [4]: 42).
Masih banyak lagi ayat yang mengandungi peringatan dan ancaman, yang sepatutnya menimbulkan rasa takut (khauf) dalam diri setiap muslim kepada Allah SWT.
Selain firman Allah SWT, di dalam banyak hadis baginda Rasulullah SAW menyampaikan hal yang sama. Sebagai contoh, baginda bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling ringan seksaannya dari kalangan penghuni neraka pada hari kiamat nanti ialah seseorang yang diletakkan dua kerikil neraka di kedua telapak kakinya yang dapat mendidihkan otaknya.” (HR Mutaffaq ‘alaih).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Pada hari kiamat, matahari didekatkan kepada makhluk hingga jaraknya dari mereka hanya satu mil.” (HR Muslim).
Rasulullah juga bersabda, “Tidak akan bergeser kedua kaki seorang hamba (menuju ke syurga atau neraka), sebelum dia ditanya tentang umurnya, untuk apa dia menghabiskannya; tentang ilmunya, untuk apa dia mengamalkannya; tentang hartanya, dari mana datangnya dan untuk apa dia membelanjakannya; tentang badannya, untuk apa dia pergunakannya.” (HR at-Tirmidzi).
Namun begitu, seorang muslim juga seharusnya tidak boleh putus harapan (raja’)-nya kepada Allah SWT. Sebab, selain peringatan dan ancaman yang berlaku bagi orang-orang yang derhaka, Allah SWT juga menjanjikan rahmat dan keampunan-Nya serta pahala dan syurga-Nya bagi setiap mukmin yang berusaha untuk sentiasa taat kepada-Nya. Allah SWT misalnya, berfirman (yang bermaksud): Janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (TMQ az-Zumar [39]: 53).
Allah SWT juga berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya azab itu hanyalah bagi mereka yang mendustakan dan berpaling (TMQ Taha [20]: 48); Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu (TMQ al-A’raf [7]: 156).
Sudah tentu, terdapat banyak lagi ayat-ayat yang sama nadanya, yang intinya memberi kita harapan. Selain itu, dalam beberapa hadisnya, baginda Rasulullah SAW juga bersabda, antara lain, “Sesiapa yang bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Muslim).
Rasulullah SAW juga bersabda, “Allah SWT telah berfirman: Siapa sahaja yang mengerjakan kebaikan, maka baginya pahala sepuluh kali ganda atau lebih dari itu. Siapa sahaja yang melakukan keburukan, maka baginya balasan satu kali atau Aku mengampuninya.” (HR Muslim).
Rasulullah juga bersabda, “Siapa saja yang mati tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, dia akan masuk syurga.” (HR Muslim).
Beliau juga bersabda, “(Allah SWT berfirman): Sesungguhnya rahmat-Ku mengalahkan kemurkaan-Ku.” (HR Mutaffaq ‘alaih).
Wa ma tawiqi illa bilLah
Sumber:
https://ariefbiskandar.com/seimbanglah-dalam-khauf-dan-raja/