Buka Aib
Oleh: Doni Riw
Semua orang mempunyai aib, tapi mengapa ada yang Allah tutup rapat, sementara ada yang Allah bukakan?
Manusia itu mahluk yang lemah. Mudah tergoda, mudah tergelincir.
Ada kalanya kekhilafan itu memberi kesan buruk cukup bagi dirinya sendiri, tapi ada kalanya memberi kesan yang luas bagi umat.
Seseorang yang dikenali sebagai tokoh agama, tentu saja memiliki pengaruh terhadap ribuan atau bahkan jutaan umat.
Tatkala ketokohannya itu digunakan untuk membenarkan penguasa zalim, tentu kesan kerosakannya sangat besar.
Saat popularitinya digunakan untuk memecahbelahkan umat, tentu pengaruh kehancurannya teramat luas.
Allah Maha Pengampun bagi para hambanya yang sering salah dan lupa. Namun pada mereka yang secara terang menjadi racun bagi umat ini, tentu Dia sangat murka.
Setiap orang mempunyai aib peribadi. Tetapi, bagi orang yang dianggap sebagai tokoh agama tapi sebenarnya perosak agama, boleh jadi Allah sengaja tunjukkan pada khalayak, sehingga umat tidak lagi percaya padanya.
Hal ini akan menghindarkan kerosakan yang lebih besar lagi.
Semoga Allah sentiasa menutup aib kita. Kita tunjukkan pada Nya, bahawa kita layak untuk ditutup aibnya, dengan turut serta menyelamatkan umat, bukan menghancurkannya.