[Siri Sinar Syawal] Istiqamah dalam Beramal Soleh
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ.”
Hadis dari ’Aisyah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda ”Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun itu sedikit.” [HR Muslim]
Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA ini memberikan petunjuk yang sangat penting berkenaan amalan yang disukai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW mengajarkan bahawa amalan yang berterusan walaupun sedikit lebih disukai oleh Allah daripada amalan yang banyak tetapi terputus-putus. Dalam konteks ini, hadis ini menyentuh tentang pentingnya istiqamah (berterusan) dalam beribadah, bukan hanya di bulan Ramadhan, tetapi juga selepasnya.
Sebagai contoh, amalan-amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan, seperti solat sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, dan memperbanyakkan doa. Amalan-amalan tersebut adalah amalan yang sentiasa dianjurkan. Bukan khusus di bulan Ramadhan semata, jadi jangan biarkan kebaikan yang diperoleh sepanjang bulan Ramadhan terhenti selepas berakhirnya bulan yang penuh berkah tersebut.
Terkait istiqamah ini juga, Asy-Syibliy pernah ditanya, “Antara bulan Rajab dan Syaaban, yang mana lebih utama?” Lalu beliau menjawab, “Jadilah hamba Rabbaniyyin, bukan Sya’baniyyin.” [Lathai’if Al Ma’arif, Ibnu Rajab Al Hambali]. Maksudnya, kita tidak sepatutnya hanya rajin beribadah pada bulan tertentu sahaja, tetapi jadilah hamba Allah yang konsisten beribadah sepanjang tahun, tak kira masa atau musim.
Begitu juga di bulan Ramadhan yang identik dengan bulan ibadah, bukan bermakna ibadah hanya perlu ditekankan di bulan Ramadhan semata dek kerana mengejar pahala berganda. Sebaliknya, ibadah dan ketaatan mestilah dilazimi sepanjang hayat. Ini kerana beribadah dan taat kepada Allah bukan berepisod, tapi ia adalah gaya hidup seorang Muslim yang beriman.
Tambahan ibrah lain yang boleh diambil:
• Istiqamah adalah Kunci Keberkatan: Amalan yang dilakukan secara berterusan membawa keberkatan yang berterusan.
Nabi SAW bersabda, “Jika seseorang sakit atau melakukan safar, maka dia akan dicatat melakukan amalan sebagaimana amalan rutin yang dia lakukan ketika mukim (tidak bepergian) dan dalam keadaan sehat.” [HR. Bukhari no. 2996]
• Meningkatkan Kualiti Ibadah: Amalan yang dilakukan secara berterusan memberi peluang kepada seseorang untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti ibadah mereka. Misalnya, dengan membaca Al-Quran sambil mentadabbur setiap hari, walaupun sedikit, sudah pasti kualiti bacaan, hafalan dan pemahaman juga makin bertambah, insyaAllah.
• Jangan Menunggu Sempurna: Seringkali, kita merasa amalan kita tidak cukup baik atau sempurna, sehingga kita menunggu masa yang tepat untuk melakukan ibadah yang lebih banyak. Padahal kita disuruh terus berusaha tanpa menunggu waktu tertentu. Walaupun hanya sedikit, selama kita terus melakukannya sudah pasti kita akan mendapat keberuntungan daripada amal soleh tersebut.
Malah, bukanlah dari sikap Rasulullah SAW menangguh-nangguh dari melakukan amal soleh atau mencari waktu tertentu. Terkait hal ini, ’Alqamah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah, ”Wahai Ummul Mukminin, bagaimanakah Rasulullah SAW beramal? Apakah beliau mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab, ”Tidak. Amalan beliau adalah amalan yang berterusan (rutin dilakukan). Siapa saja di antara kalian pasti mampu melakukan yang beliau SAW lakukan.” [HR Muslim]
Jadi, penting untuk kita tidak bertangguh dalam amal soleh, sekalipun ia amal yang dianggap kecil.
• Amalan Seharusnya Menjadi Kebiasaan: Ramadhan sepatutnya menjadi madrasah terbaik untuk kita membentuk kebiasaan ibadah yang baik. Kebiasaan tersebut hendaklah dipelihara agar menjadi kebiasaan yang berterusan termasuk diluar Ramadhan. Dengan demikian, kita sebenarnya menghidupkan semangat beribadah dalam kehidupan seharian.
Oleh itu, marilah kita terus berusaha memperbaiki diri dalam beramal dengan berusaha untuk istiqamah, kerana amalan yang berterusan walaupun sedikit, lebih dicintai oleh Allah.