Tunduk dan Pasrahlah Selalu kepada Allah SWT
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Allah SWT menciptakan manusia dan jin tidak lain untuk beribadah [QS adz-Dzariyat (51): 56]. Ibadah tidak lain merupakan ketundukan dan kepasrahan sepenuhnya seorang hamba kepada penciptanya, Allah SWT.
Ketundukan dan kepasrahan kepada Allah tidak cukup jika diekspresikan melalui ibadah-ibadah ritual seperti solat sahaja, namun perlu dibuktikan dalam seluruh pelaksanaan hukum-hukum Allah SWT di luar solat; baik dalam perkara muamalah (ekonomi, politik, pemerintahan sosial, pendidikan, dan sebagainya) mahupun ‘uqubat (hukum dan perundangan).
Imam Ja’far ash-Shadiq, sebagaimana dikutip dalam kitab Fath ar Rabbani wa Faydh arh-Rahmani karya Syaikh Abdul Qadir al-Jilani, pernah berkata, “Hakikat ubudiah (penghambaan) seseorang terhadap tuannya adalah: dia menyedari bahawa apa yang ada pada dirinya hakikatnya bukanlah miliknya, tetapi milik tuannya; dia tunduk dan patuh tanpa membantah terhadap setiap perintah tuannya; dia tidak membuat peraturan apapun selain menerima peraturan yang dibuat oleh tuannya untuk dirinya.”
Dengan demikian, ibadah pada dasarnya adalah kepatuhan dan kepasrahan sepenuhnya kepada Zat yang disembah, iaitu Allah SWT, dengan sentiasa mentaati seluruh hukum-hukumNya.
Terkait dengan itu, Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 65]
Ada beberapa riwayat terkait dengan sababun-nuzul (sebab turunnya) ayat ini. Salah satunya adalah riwayat dari Ummu Salamah, yang menyebutkan bahawa Zubair bin Awwam pernah mengadukan seseorang kepada Baginda Rasulullah SAW dalam suatu perkara. Baginda Rasulullah kemudian mengeluarkan keputusan dalam perkara tersebut yang memenangkan Zubair. Orang tersebut dengan nada keberatan lalu berkata, “Engkau memenangkan dia kerana dia adalah anak saudaramu.” Kemudian turunlah ayat ini (dikeluarkan oleh Al-Hamidi dalam Musnad-nya, Sa’id bin Manshur, Abdun bin Hamid, Ibn Jarir, Ibn al-Mundzir dan Ibn Hibban dalam al-Kabir).
Dalam riwayat lain, dalam tafsirnya, al-Hafizh menceritakan riwayat daripada Utbah bin Dhamrah daripada bapanya, bahawa pernah ada dua orang yang bersengketa, keduanya mengadukan perkara mereka kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau kemudiannya mengeluarkan keputusan hukum berhubung kes tersebut yang memberi kemenangan kepada orang yang dianggap betul dan mengalahkan lawannya yang dianggap salah. Namun, orang yang kesnya dikalahkan berkata, “Saya tidak rela.” Pemenang kemudian bertanya, “Lalu apa yang anda mahukan?” Dia menjawab, “Kami akan pergi kepada Abu Bakar ash-Shiddiq (untuk meminta keputusannya, ed.).
Kedua-duanya kemudian bertemu dengan Abu Bakar ra. Dia kemudian berkata, “Kamu berdua hendaklah mentaati keputusan Rasulullah SAW.” Bagaimanapun, pihak yang kalah enggan dan tetap tidak mahu. “Sekarang marilah kita berjumpa dengan Umar bin al-Khattab.” Kemudian keduanya bertemu dengan Umar ra. Namun, Umar tidak memberikan keputusan. Sebaliknya, dia masuk ke dalam rumahnya dan keluar dengan pedang di tangannya. Segera dia menghayunkan pedang ke leher orang yang enggan menerima keputusan Rasulullah. Kemudian, turunlah ayat di atas.
Riwayat senada dituturkan oleh Al-Hakim dan at-Tirmidzi dalam Nawadir al-Ushul dari Makhul. Hanya saja ditambahkan, bahawa setelah membunuh orang munafik yang tidak menerima keputusan itu, Umar kemudian berkata, “Itulah hukuman bagi orang yang tidak redha dengan keputusan Rasulullah SAW.” Kemudian Malaikat Jibril turun kepada Rasulullah dan memberitahunya, “Sesungguhnya Umar telah membunuh orang itu. Allah telah memisahkan kebenaran dan kebatilan melalui lisan Umar.” Kerana itu, Umar kemudiannya digelar al-Faruq (as-Suyuthi, Ad-Durr al-Mantsur fi Ta’wil bi al-Ma’tsur, III/161-162. Lihat juga: Ash-Shabuni, Shafwah at-Tafasir, I/260-261).
Jelas, penyerahan diri sepenuhnya kepada hukum-hukum Allah SWT adalah bukti sebenar keimanan seorang Muslim. Inilah juga yang diisyaratkan dengan jelas oleh Allah SWT dalam firman-Nya (yang bermaksud),
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” [TMQ An-Nuur (24): 51]
Sayangnya, saat ini kaum Muslim berada dalam sistem kapitalis-sekular dan tidak diatur dengan hukum-hukum Allah SWT. Sistem sekular, dengan demokrasi sebagai tonggak utamanya, terbukti telah menjauhkan kaum Muslim dari ketundukan terhadap hukum-hukum Allah SWT. Kerana itu, mahu tidak mahu, umat ini perlu segera mencampakkan sistem sekular ini dan segera menerapkan syariat-Nya dalam seluruh aspek kehidupan melalui institusi Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah. Hanya dengan itulah kaum Muslim dapat benar-benar tunduk dan pasrah sepenuhnya kepada Allah SWT.