[Siri Sinar Syawal] Sabar dalam Beramal
Nabi Muhammad SAW bersabda,
إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامَ الصَّبْرِ، لِلصَّابِرِ فِيهِنَّ مِثْلُ قَبْضٍ عَلَى الْجَمْرِ، لِلْعَامِلِ فِيهِنَّ أَجْرُ خَمْسِينَ رَجُلًا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِهِ
قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْهُمْ؟
قَالَ: بَلْ أَجْرُ خَمْسِينَ مِنْكُمْ
“Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari yang memerlukan kesabaran. Kesabaran pada masa-masa itu bagaikan memegang bara api. Bagi orang yang mengerjakan suatu amalan pada saat itu akan mendapatkan pahala lima puluh orang yang mengerjakan semisal amalan itu. Ada yang berkata, “Hai Rasululah, apakah itu pahala lima puluh di antara mereka?” Rasululah SAW menjawab, “bahkan lima puluh orang di antara kalian (para sahabat).” [HR Abu Dawud, dengan sanad hasan]
Hadis ini menggambarkan betapa mencabarnya kehidupan pada masa akan datang yang penuh dengan ujian dan fitnah. Hal ini kerana nilai Islam pada ketika itu sering dipandang remeh dan tidak lagi dijadikan panduan dalam kehidupan. Oleh itu, sifat sabar dalam beramal dengan Islam memberi kita kemampuan untuk menghadapi ujian terutama ketika kebenaran semakin ditinggalkan.
Orang yang istiqamah dalam mengamalkan Islam iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT dan RasulNya akan menerima ganjaran yang amat besar. Pada zaman moden ini, manusia lebih mengejar kesenangan dunia semata, sementara mereka yang menjadikan Islam sebagai panduan dan pegangan hidup akan menghadapi pelbagai cabaran seperti celaan, diskriminasi dan tekanan sosial. Namun, mereka yang bersabar akan memperoleh pahala berlipat kali ganda. Firman Allah SWT,
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah…’” [TMQ al-Baqarah (2): 286].
Sebagai umat Islam, kita perlu berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beramal dengan sabar walaupun pelbagai tentangan mendatang. Sabar dan istiqamah adalah kunci kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh itu, marilah kita menjadi hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW yang sabar dan istiqamah dalam beramal di dunia yang sementara ini.