[Siri Sinar Syawal] Setiap Hari adalah Hari Raya
Imam Hasan al-Basri berkata,
كُلُّ يَوْمٍ لَا يُعْصَى اللهُ فِيْهِ فَهُوَ عَيْدٌ، وَكُلُّ يَوْمٍ يَقْطَعُهُ الْمُؤْمِنُ فِيْ طَاعَةِ مَوْلَاهُ وَذِكْرِهِ وَشُكْرِهِ فَهُوَ لَهُ عَيْدٌ.
“Setiap hari (yang) tidak ada kederhakaan (kepada) Allah (di dalamnya), maka hari itu adalah (hari raya) eid, dan setiap hari di mana seorang Mukmin (tetap berada) dalam ketaatan (kepada) Penolongnya (yakni Allah) dan berzikir kepadaNya serta bersyukur kepadaNya maka hari itu baginya adalah (hari raya) eid.”
Kata-kata Imam Hasan al-Basri di atas menunjukkan betapa pentingnya setiap hari bagi seorang mukmin tidak melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Ini kerana, setiap saat dalam hidup ini sepatutnya menjadi peluang untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dan melakukan kebaikan tanpa melanggar perintahNya. Jika ini diamalkan, maka setiap hari adalah hari raya yang sebenar bagi mereka yang hidup dalam kesedaran akan ketaatan kepada Allah SWT.
Hari Raya adalah hari kemenangan selepas sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan. Menang melawan hawa nafsu. Menang melawan syaitan. Menang melawan setiap kecenderungan dan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak. Oleh itu, setiap kejayaan dalam menempuhi ujian dan cabaran ini perlu diraikan dengan sebaiknya oleh mereka yang berpuasa kerana Allah SWT. Inilah yang sepatutnya dirayakan oleh orang yang berpuasa.
Hari Raya juga hanyalah untuk orang yang ketakwaannya bertambah. Salah satu definisi takwa yang dinyatakan oleh Imam al-Hasan adalah: Sebagaimana dinyatakan oleh Imam ath-Thabari di dalam tafsirnya, kaum yang bertakwa adalah mereka yang sentiasa takut terjerumus ke dalam apa sahaja yang telah Allah SWT haramkan ke atas mereka dan menunaikan apa sahaja yang telah Allah SWT wajibkan kepada mereka.
Saat seorang Muslim mampu untuk selalu taat dan menjauhi maksiat, saat itulah hari raya yang sebenar. Oleh itu, semoga kita dapat berhari raya setiap hari. Hari-hari yang di dalamnya kita tidak bermaksiat kepada Ilahi. Semoga kita semua dapat memanfaatkan setiap hari dengan sentiasa mendekatkan diri kepadaNya.