Perjalanan Menuju Kejayaan
(Terjemahan)
Seseorang mungkin tertanya-tanya: Bagaimana sebuah ummah yang pernah memimpin dunia, yang begitu agung dan penuh sejarah, kini tampak kerdil di mata umat lain? Bagaimana mungkin sebuah negara yang dikurniakan Allah dengan syariat yang terhebat di antara semua syariat yang diturunkan dan jatuh ke dalam gelapnya kejahilan, dipimpin oleh musuh-musuhnya untuk mengikuti mereka, tanpa kemahuan, ke dalam lubang biawak dan mengikut hawa nafsu mereka?!
Umat ini tidak boleh berubah daripada kekuatan kepada kelemahan melainkan mereka menyimpang dari jalan kebenaran, tersasar daripada apa yang Allah redhai untuknya, mengubah pedomannya, dan mula menggunakan peraturan selain daripada apa yang diturunkan Allah. Umar ibn al-Khattab RA berkata:
“Kita adalah umat yang paling hina, kemudian Allah memuliakan orang kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina Allah.”
Apabila kita melihat keadaan semasa, setiap daripada kita hanya boleh berusaha untuk mengubahnya dan meraih keredhaan Tuhan kita. Kita mesti berusaha untuk mengembalikannya ke jalan yang telah ditetapkan Allah untuknya dan jalan yang telah Dia pilih untuknya, supaya ia sekali lagi menjadi umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Imam Malik berkata,
“Bahagian akhir umat ini tidak akan diperbaiki kecuali oleh yang memperbaiki bahagian pertamanya.”
Taat kepada Allah bermaksud mematuhi sepenuhnya segala perintahNya, tidak melalaikan satu pun. Kita menerapkannya dalam kehidupan kita tanpa kelalaian atau perubahan. Kita menerapkannya secara individu, kolektif, dan bermasyarakat, dengan semua individu, idea, perasaan, dan sistem dalam masyarakat ini, supaya ia menjadi masyarakat Islam yang dikawal oleh hukum dan perintah Allah. Ini hanya boleh dicapai di bawah pemerintahan Khilafah, yang mana semua umat Islam mesti berusaha untuk mengembalikannya supaya dapat melaksanakan apa yang Allah redha untuk mereka.
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [TMQ Al-Ma’idah (5):3]
Setelah Khilafah dihancurkan, keterasingan, kelemahan, kehilangan dan perpecahan yang dialaminya, setelah menjadi pesta bagi orang-orang yang keji, perlu ditangani. Umat Islam mesti dibebaskan daripada penyakit yang telah meletihkan tubuhnya ini, supaya ia dapat mengambil tempatnya yang sebenar dan membawa bangsa ke arah kebaikan, kebenaran, dan kesejahteraan.
Tugas yang mulia ini, iaitu memikul seruan yang diberkati untuk meneruskan kehidupan menurut Islam, memerlukan keazaman, kesabaran, ketabahan, dan keupayaan untuk menanggung akibatnya. Tugas ini memerlukan mereka yang menjalankannya kerana keimanan yang teguh kepada Allah, bertawakal kepadaNya, dan yakin dengan janjiNya, tidak kira betapa sukarnya realiti dan keadaannya.
Keinginan utama untuk mencapai tahap kejayaan dan kehidupan abadi di syurga mendorong setiap Muslim yang ikhlas untuk bersaing dalam mentaati Allah Taala dan RasulNya SAW dan untuk mendapat pahala serta amal soleh. Abu Jaafar berkata dalam tafsirnya tentang ayat, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,” [TMQ al-Mu’minun (23):1],
“Dia, semoga ditinggikan pujianNya, maksudnya dengan firmanNya, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,” [TMQ al-Mu’minun (23):1], Orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya Muhammad SAW, dan mengakui apa yang baginda datangkan kepada mereka dari Allah, dan beramal menurut apa yang baginda serukan kepada mereka… mencapai keabadian di dalam syurga Tuhan mereka dan mendapat apa yang mereka minta daripadaNya.”
Inilah kejayaan yang diraih oleh setiap Muslim yang taat kepada Tuhannya dalam setiap ketetapan yang diturunkan kepada hamba-hambaNya. Inilah kejayaan yang diraih oleh seorang Muslim yang sabar, tabah, dan berkorban segala yang dimilikinya, tidak pernah berubah atau menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan Allah untuk hamba-hambaNya yang soleh.
Kejayaan inilah yang didambakan oleh setiap jiwa yang beriman; menemui Tuhannya dalam keadaan Dia redha kepadanya, hidup di dunia ini dengan beribadah kepada Allah semata-mata, mengerjakan apa yang diperintahkanNya, dan menjauhi laranganNya, dengan harapan mendapat keredhaan Allah dan kehidupan yang kekal di dalam SyurgaNya.
Hidup di dunia fana ini memerlukan seseorang untuk berperang dalam pertempuran hebat melawan banyak musuh: bermula dengan syaitan, yang secara terang-terangan mencabar Allah dan berkata,
“…Demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.” [TMQ Al-A’raf (7):16-17].
Ia juga perlu berdepan dengan jiwa yang memerintahkan kepada kejahatan dan mendorong seseorang kepada kebinasaan dan kepuasan nafsu, sehingga ke saudara syaitan dalam kalangan manusia yang menyebarkan kerosakan di bumi, menjadi sombong dan berusaha untuk menyebarkan ketidakadilan dan kegelapan. Allah SWT telah menegaskan dalam Kitab SuciNya bahawa dunia ini adalah tempat ujian.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” [TMQ Al-Baqarah (2):155]
Seorang Muslim mesti sedar akan hal ini dan menjalani kehidupan ini mengikut kehendak Allah, bukan mengikut kehendaknya. Dia mesti menjalaninya melalui pasang surut, tanpa kebimbangan selain daripada Allah redha kepadanya dalam setiap situasi yang dia hadapi dan dalam setiap situasi yang dia tempuhi.
Allah Taala berfirman tentang orang-orang mukmin yang beriman kepadanya, “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” [TMQ Al-Ahzab (33): 23]
Golongan manusia ini, yang beriman kepada Allah, termasuk mereka yang telah meninggal dunia dan tidak mendapat pahala di dunia ini. Namun, kita menganggap mereka termasuk orang-orang yang menang dan berjaya di sisi Allah, insyaAllah. Dan di antara mereka ada orang-orang yang menunggu, walaupun ditimpa kesusahan, penganiayaan, dan seksaan. Kita akan mendapati bahawa mereka adalah orang yang teguh dan sabar, mengharapkan keredhaan Allah dan mengharapkan pahala dan kurnia.
Golongan orang beriman ini berusaha untuk mendapatkan tempat tinggal yang abadi, tidak mempedulikan status, kekayaan, kedudukan, atau prestij dunia yang singkat ini. Sekalipun Allah memberi mereka kekuatan di dunia ini dan kemenangan atas musuh-musuhNya dan musuh-musuh mereka, kejayaan utama adalah apabila berjaya keluar dari dunia yang fana ini dengan hati mereka terpaut pada yang abadi dan jiwa mereka bergembira dengan kemurahan, kurniaan, dan keampunan Tuhan mereka.
Oleh itu, mereka akan memperoleh penerimaan dan keampunan daripadaNya, dan Dia menganugerahkan mereka syurga dan mereka mencapai kemenangan utama. Berbahagialah orang yang tahu mengapa mereka diciptakan dan untuk apa mereka wujud.
Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya dunia itu sama dengan berat sayap seekor nyamuk di sisi Allah, tentulah Dia (Allah) tidak memberi minum seorang kafir pun meskipun seteguk air selama-lamanya.”
Inilah realiti dunia ini; ia tidak penting dan tidak bernilai, dan berbahagialah orang yang menghargainya dan menganggapnya sebagai tempat ujian yang dilaluinya dengan berhati-hati, mengharapkan rahmat dan keampunan Allah, memohon kepadaNya untuk menjadi antara hambaNya yang berjaya.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
oleh Zeina Al-Samet