Visi Umat Terbaik
Oleh : Ustaz Farid Wadjdi
Suatu bangsa yang tidak memiliki kekuatan, persatuan dan pemerintahan yang kuat pada akhirnya akan melihat nasibnya dibentuk oleh keputusan orang lain. Inilah yang terjadi dalam dunia Islam hari ini. Melihat kepada pilihan raya presiden Amerika sekarang, seperti biasa, dunia Muslim dengan penuh berharap menunggu untuk melihat calon presiden AS mana yang akan menang, serta strategi apa yang mungkin akan diambil terhadap negeri-negeri Islam.
Sebahagiannya berharap bahawa kejayaan seorang calon presiden tertentu dapat menguntungkan umat Islam atau mungkin mengarah kepada berakhirnya konflik Gaza. Amat malang apabila negeri-negeri Islam pada masa ini sangat dipengaruhi oleh tatanan sekular global dan dasar-dasar kuasa bukan Islam.
Umat Islam menyaksikan pilihan raya AS dengan rendah diri dan penuh penghinaan. Mereka tertanya-tanya calon mana yang akan menang: Harris yang tidak berpengalaman dan tidak kompeten atau Trump yang tidak menentu dan narsis. Hari ini para pemimpin negeri-negeri Islam mendapati diri mereka dalam kedudukan di bawah. Mereka mengikuti dan melaksanakan dasar kuasa global utama yang dikendalikan oleh kafir imperialis.
Padahal Allah SWT telah menggariskan umat ini sebagai umat terbaik. Kita sepatutnya yang memimpin dunia, bebas dan tidak bergantung kepada dasar negara lain. Kitalah yang menentukan dasar dunia. Setiap dasar dari umat terbaik ini akan mempengaruhi tatanan global dunia. Diperhitungkan oleh kawan dan dikhuatirkan oleh musuh-musuhnya.
Visi umat terbaik ini sekaligus menjadi visi negara dalam Islam yang mengarahkan tujuan umat, aspirasi jangka panjangnya dan menghuraikan masa depan yang seharusnya ada pada umat. Sebagaimana fungsi visi sebuah negara sebagai direction (arah), umat terbaik ini menjadi arah (direction) dari kebijakan politik global umat Islam.
Visi sebagai umat terbaik ini mengarahkan umat untuk membangun negara adidaya di dunia. Ini kerana umat terbaik ini bukan hanya untuk umat Islam, tetapi juga untuk umat manusia. Agar dapat mempengaruhi dunia, umat Islam mesti mempunyai kuasa politik dalam bentuk negara yang kuat. Visi umat terbaik ini juga mengarahkan dasar luar negeri Negara Islam, iaitu menyebarluaskan Islam ke seluruh penjuru dunia.
Visi umat terbaik dengan negara adidaya yang memimpin dunia sangat difahami oleh para ulama besar di tengah-tengah umat. Lihatlah saat menjelaskan tentang tafsir QS an-Nur ayat 55 yang berisi janji Allah kepada orang yang beriman dan beramal soleh akan meraih kekuasaan dan keamanan. Imam Ibnu Katsir menerangkan, “Ini merupakan janji dari Allah kepada Rasul-Nya, bahawa Dia akan menjadikan umatnya sebagai orang-orang yang berkuasa di bumi, yakni menjadi para pemimpin manusia dan penguasa mereka. Dengan umat Islam seperti itu negeri akan menjadi baik dan semua hamba Allah akan tunduk kepada mereka. Allah akan menukar keadaan mereka sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa dan menjadi penguasa atas manusia.”
Untuk memimpin dunia dan mengatur urusan dunia, tiada jalan lain, umat Islam memerlukan Khilafah. Dalam lintasan sejarah, umat Islam mampu memimpin dunia saat di tengah-tengah umat masih ada Khilafah. Inilah negara adidaya. Walaupun dalam keadaan sukar sekalipun, Rasulullah SAW membina optimisme di tengah-tengah umat, bahawa mereka akan menjadi penakluk negara adidaya pada masa itu.
Seperti saat dalam Perang Khandaq yang sukar. Ketika itu kaum Muslim terpaksa menghadapi pasukan gabungan (Ahzab) yang dipimpin oleh kafir Quraisy. Saat memecahkan batu menjadi tiga bahagian, Rasulullah SAW dalam bahagian pertama menyatakan: “Allahu Akbar (Allah Maha Besar)! Aku telah diberi oleh Allah kunci-kunci Syam. Demi Allah, aku benar-benar dapat melihat istananya yang merah, dari tempatku ini.” Pecahan berikutnya, Rasulullah SAW menyatakan bahawa beliau telah diberi kunci Kerajaan Parsi yang berwarna putih. Pecahan terakhir, Rasulullah SAW menyatakan bahawa umat Islam akan menakluki Yaman.
Kita tahu bahawa negara yang menguasai Syam ketika itu adalah negara adidaya Rom (Timur). Begitu juga Parsi. Ia merupakan negara adidaya terkemuka pada masa itu. Inilah arah dari visi umat terbaik: menjadi pemimpin umat manusia di bawah naungan Khilafah ‘alâ minhâj an–nubuwwah.
Visi sebuah negara juga berfungsi memberikan inspirasi kepada perjuangan, kegigihan untuk mencapai kemenangan. Ketika Rasulullah SAW menyatakan tentang sebaik-baik pasukan dan panglima perang adalah yang menakluki Konstantinopel, ibu kota Empayar Rom Timur (Byzantine), hal ini segera menggerakkan umat untuk berlumba-lumba melakukan futûhât. Visi umat terbaik menaklukkan Konstantinopel inilah yang mendorong salah seorang sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayyub al-Anshari, untuk merealisasikan apa yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW. Sahabat Nabi SAW inilah yang beruntung kerana terpilih sebagai tempat persinggahan Rasulullah SAW dalam hijrahnya ke Madinah.
Walaupun dalam usia yang sudah tua, Abu ayyub al-Anshari tetap ikut serta pasukan Kekhilafahan Umayyah melakukan futûhât. Akhirnya, Abu Ayyub al-Anshari wafat pada usia 80 tahun. Kegigihan ini muncul tidak lain kerana keinginan menjadikan umat Islam menjadi umat terbaik sekaligus merealisasikan janji Rasulullah SAW sebagai bahagian daripada pasukan terbaik. Inspirasi! Inilah pentingnya visi umat. Inilah yang hilang di tengah umat hari ini.
Alhasil, kesedaran umat Islam sebagai umat terbaik perlu terus dibangkitkan. Gelaran “umat terbaik” hanya diperoleh dengan menjadikan Islam sebagai panduan hidup. Umat terbaik adalah yang memperjuangkan tegaknnya kembali Khilafah ‘alâ minhâj an-nubuwwah. AlLâhu Akbar.
Sumber:
Alwaie