[Siri Sinar Syawal] Setiap Saat Kita Adalah Sangat Berharga
Nabi Muhammad SAW bersabda:
وَالْعَصْرِ ١ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ٢ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ٣
”Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, saling menasihati dalam kebaikan dan saling menasihati dalam kesabaran.” [TMQ Al-‘Asr (103): 1-3]
Masa merupakan anugerah yang sangat berharga bagi setiap manusia. Dalam Surah Al-Asr, ayat ini mengingatkan kita tentang betapa penting untuk memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk perkara yang membawa kepada kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat.
Dalam kehidupan seharian, kita sering dilekakan dengan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti hiburan melampau, membuang masa di media sosial atau menangguhkan tugas yang penting. Perkara ini akhirnya membawa kepada penyesalan, kerana masa yang berlalu tidak akan dapat dikembalikan. Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita harus sentiasa berusaha untuk mengisi masa dengan perkara yang berfaedah seperti menuntut ilmu, beribadah, dan melakukan kebaikan kepada orang lain.
Hadis Nabi Muhammad SAW juga mengingatkan tentang kepentingan masa. Baginda SAW bersabda: “Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia: kesihatan dan masa lapang.” [HR Bukhari].
Manusia sering mengabaikan dua nikmat terbesar tersebut iaitu kesihatan dan masa lapang. Manusia hanya menyedari betapa besarnya nikmat yang diberikan ini hanya setelah kehilangannya. Oleh itu, masa yang diberikan perlu digunakan dengan bijak dan ke arah kebaikan.
Surah Al-Asr memberikan pengajaran tentang betapa pentingnya menghargai masa dan menjauhi diri daripada kelalaian. Hanya orang yang beriman, beramal soleh serta mengajak kepada kebenaran dan kesabaran dianggap benar-benar berjaya di dunia dan di akhirat. Oleh itu, untuk tidak tergolong menjadi orang yang rugi, setiap individu seharusnya berusaha memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin.