TUNAIKANLAH SOLAT FARDHU LIMA WAKTU DENGAN SEMPURNA
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
Perkara pertama yang akan dihisab pada seorang hamba di Hari Kiamat kelak adalah solatnya. Jika solatnya baik maka akan baiklah semua amalnya. Jika solatnya rosak maka akan rosak pula semua amalnya (HR ath-Thabrani).
Kerana solat fardhu dilakukan lima kali sehari, belum lagi jika ditambah dengan solat-solat sunat, sudah tentu tidak setiap saat seseorang melakukan solat dengan khusyuk. Mungkin bagi kebanyakan kita, solat lima waktu menjadi sekadar rutin tanpa ‘roh’, hilang dari kekhusyukan dan sunyi dari tawaduk kepada Allah SWT. Padahal baginda Rasulullah SAW pernah bersabda, “Apabila seseorang mengerjakan solat pada waktu-waktu yang telah ditetapkan dengan wuduk yang sempurna, dengan khusyuk dan tawaduk, serta dengan berdiri, rukuk dan sujud yang dilakukan dengan baik, maka solat yang demikian akan menjadi cahaya yang indah yang akan mendoakan pelakunya dengan kata- kata, “Semoga Allah memelihara engkau sebagaimana engkau telah memelihara aku.” Sebaliknya, jika seseorang tidak menjaga solatnya, tidak berwuduk dengan sempurna serta tidak berdiri, rukuk dan sujud dengan khusyuk, maka solatnya akan menjelma menjadi wajah yang buruk dan gelap sambil berkata, “Semoga Allah mensia-siakanmu sebagaimana engkau telah mensia-siakan aku.” Lalu atas kehendak Allah, solatnya dilemparkan ke muka pelakunya seperti kain yang buruk (HR ath-Thabrani).
Selain itu, solat adalah amal manusia yang paling awal akan dihisab oleh Allah SWT sebelum amal-amal manusia yang lain, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya amal yang pertama kali akan dihisab dari seorang hamba adalah solatnya. Jika solatnya baik maka sungguh pelakunya akan berbahagia dan berjaya. Namun, jika solatnya buruk/rosak maka pelakunya akan menyesal dan kerugian. Seandainya ada kekurangan dalam solat fardhunya, Allah SWT akan berfirman kepada malaikat, “Carilah dalam catatan, mungkin hamba-Ku suka mengerjakan solat-solat sunat.” Lalu disempurnakanlah kekurangan solat fardhunya dengan solat-solat sunatnya. Kemudian seluruh amal-amal yang lainnya akan dihisab seperti itu juga (HR at-Tirmidzi).
Bahkan baik-buruknya solat menjadi penentu amal-amal yang lain, sebagaimana juga sabda Rasulullah SAW, “Perkara pertama kali akan dihisab pada seorang hamba pada Hari Kiamat kelak adalah solatnya. Jika solatnya baik maka akan baiklah semua amalnya. Jika solatnya rosak maka akan rosak pula semua amalnya.” (HR ath-Thabrani).
Jika demikian, maka sudah seharusnya setiap Muslim menyempurnakan amal solatnya terlebih dulu sambil menyempurnakan amal-amalnya yang lain. Malangnya, kerana seorang Muslim sering mengerjakan solat (minimum lima kali sehari), solat seolah-olah bukan perkara yang istimewa dan penting lagi. Dalam kata lain, walaupun tetap dilakukan, solat tersebut tidak lagi dianggap sebagai amal yang mesti dijaga dan dipelihara dengan sempurna, khususnya dari segi kekhusyukkannya. Ramai orang menunaikan solat sekadarnya bagi ‘menghilangkan kewajipan’ (asal buat kerana hukum solat fardhu itu hukumnya wajib). Gejala ini kadangkala bukan sahaja melanda orang-orang awam, bahkan juga mereka yang disebut sebagai para aktivis dakwah.
Jika ini benar-benar terjadi, sudah tiba masanya untuk kita merenung kembali, sejauh mana kualiti solat-solat yang telah kita lakukan selama ini. Kerana, pahala solat setiap orang berbeza-beza, bergantung pada kualiti solatnya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Apabila seseorang selesai mengerjakan solat, maka dia akan mendapat satu per sepuluh, satu per sembilan, satu per lapan, satu per tujuh, satu per enam, satu per lima, satu per empat, satu per tiga atau satu per dua pahala solatnya.” (HR Abu Dawud).
Kemudian, apakah ukuran atau standard solat yang sempurna itu? Yang paling ketara untuk menilai kesempurnaan solat seseorang ialah dengan memerhatikan adakah solatnya itu dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar atau tidak. Kerana, Allah SWT secara tegas telah berfirman (yang bermaksud): Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar (TMQ al-Ankabut [29]: 45). Ketika mentafsirkan ayat ini, Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang solatnya tidak mencegah perbuatan keji dan mungkar maka tidak ada solat baginya.” (HR Ibn Abi Hatim dan Ibn Mardawaih).
Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak pernah ketinggalan menunaikan solat fardhunya, apatah lagi ditambah dengan solat-solat sunatnya, tetapi dia masih suka melakukan perbuatan keji dan kemungkaran (rasuah, perbuatan tidak senonoh, mendedahkan aurat, berkata-kata kotor, berbohong, berlaku zalim terhadap rakyat, diam terhadap kemungkaran, membiarkan hukum-hukum Allah dicampakkan alias tidak ditegakkan, dll) maka boleh jadi solatnya tidak sempurna, malah mungkin sia-sia belaka. Semoga kita tidak termasuk di dalamnya. Wa mâ tawfîqî illâ billâh.