FAHAMILAH KEMBALI HAKIKAT IBADAH
Oleh: Al-Faqir Arief B. Iskandar
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (TMQ ad-Dzaariyat [51]: 56).
Seorang hamba (al-‘abd, jamaknya al-‘abîd, al-‘ibâd, al-‘ubbâd) adalah orang yang rendah, tunduk, dan pasrah. Al-Jauhari berkata, ibadah adalah ketaatan yang disertai dengan ketundukan dan kepasrahan, yang hanya layak ditujukan kepada Allah. Ibadah adalah ketundukan kepada-Nya dan tidak ada ketundukan yang lebih tinggi selain kepada-Nya. Al-‘Abd (hamba) disebut hamba kerana kerendahan dan ketundukannya kepada tuannya (Abu Abdullah al-Ba‘li, al-Muthalli‘ 1/93). Adapun Imam at-Thabari mengertikan ibadah sebagai ketundukan kepada Allah dengan menjalankan ketaatan dan merendahkan diri kepada-Nya dengan kepasrahan (Tafsîr at-Thabari, 1/160).
Untuk beribadah, seorang hamba mesti mengenepikan keinginan hawa nafsunya, mendahulukan keinginan yang disembahnya, mentaati ketentuan-Nya. Oleh kerana itu, ibadah juga diertikan sebagai perbuatan seorang mukallaf (iaitu orang yang dibebani hukum) melawan keinginan hawa nafsunya sebagai bentuk pengagungan kepada Tuhannya (Al-Jurjani, At-Ta‘rifât, 1/189).
Al-Manawi menambah, bahawa ibadah adalah mengagungkan Allah dan mentaati perintah-perintah-Nya. Ibadah juga bererti perbuatan-perbuatan yang menunjukkan batas paling akhir dari kerendahan dan ketundukan (At-Ta‘ârif, 1/498).
Maka dari itu, Imam Ibnu Taimiyah, sebagaimana dinukilkan oleh al-Hafizh ibn Ahmad al-Hakami, mengatakan bahawa ibadah merupakan sebutan yang mencakup semua yang dicintai dan diredhai Allah berupa perkataan dan perbuatan, baik batin mahupun zahir (Al-Hakami, Ma‘ârij al-Qabûl, 1/84).
Allah menciptakan manusia tidak lain untuk beribadah kepada-Nya. Allah SWT berfirman:
وَمَا خَلَقۡتُ الۡجِنَّ وَالۡاِنۡسَ اِلَّا لِيَعۡبُدُوۡنِ ٥٦
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (TMQ ad-Dzaariyat [51]: 56).
Ibnu Abbas berkata, maksudnya ialah, “agar mereka tetap beribadah kepada-Ku.” Mufasir lain mengatakan, maksudnya adalah “agar mereka tunduk dan merendahkan diri kepada-Ku.” (Ibn al-Jauzi, Zâd al-Masîr, 8/43).
Maksud ayat di atas adalah agar mereka menjadi hamba Allah, melaksanakan hukum-Nya dan patuh kepada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka (Ibn Hazm, Al-Fashl fi al-Milal wa al-Ahwâ’ wa an-Nihal, 3/80). Inilah hakikat ibadah. Ibadah tidak lain adalah mengikuti dan patuh, diambil dari al-‘ubûdiyyah; seseorang hanya menyembah Zat yang dia patuhi dan yang dia ikuti perintah (ketentuan)- Nya (Ibn Hazm, al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm 1/90). Kerana itu, orang yang menyalahi ketentuan aturan- aturan Allah dan mentaati aturan-aturan selain-Nya, dia hakikatnya bukan hamba Allah, dan pada masa yang sama dia telah menyekutukan Allah. Ibadah secara umum ini hanya dapat dilaksanakan sempurna jika kita menjadikan Allah sebagai Pembuat hukum yang wajib ditaati.
Walhasil, secara umumnya segala bentuk ketaatan, ketundukan, dan kepatuhan kepada Allah merupakan ibadah. Namun, kata ibadah kemudian digunakan untuk menyebut bentuk ketaatan yang lebih khusus. Para ulama menyebutnya sebagai ibadah mahdhah, dan disebut “ibadah” saja. Ibadah mahdhah ini, seperti yang dikatakan oleh an-Nawawi, adalah ibadah yang murni, di dalamnya tidak terdapat campuran selainnya (Al-Majmû‘ 1/373).
Ibadah merupakan bentuk nyata hubungan seorang hamba (manusia) dengan Allah selain hubungan dalam bentuk akidah. Dikatakan ibadah mahdhah jika di dalamnya hanya terdapat bentuk hubungan ini dan tidak terdapat bentuk hubungan yang lain, iaitu tidak bercampur dengan bentuk hubungan manusia dengan dirinya sendiri iaitu masalah makanan, minuman, pakaian, dan akhlak; dan tidak dicampuri oleh bentuk hubungan manusia dengan manusia yang lain iaitu masalah muamalat dan ‘uqûbat. Contoh ibadah mahdhah ini adalah solat, puasa, zakat, haji, doa, zikir, membaca al-Quran, korban Aidiladha, dan sebagainya.
Berbeza dengan jual-beli, kontrak perkerjaan, perwakilan, pemerintahan, hubungan sosial, dan seumpamanya; di dalamnya ada hubungan manusia dengan manusia lain sehingga tidak disebut ibadah.
Al-Mawardi, dalam Al-Hâwi, memberikan batasan ibadah, iaitu apa sahaja yang dinyatakan untuk beribadah dengannya sebagai bentuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Adapun menurut Imam al- Haramayn (Al-Juwayni), ibadah (mahdhah) merupakan kerendahan dan ketundukan dengan bertaqarrub kepada yang disembah, al-Ma‘bûd, iaitu Allah SWT, melalui perbuatan yang Dia perintahkan (Al-Majmû‘ 1/373).
Ibadah itu bersifat tawqîfiyah, ertinya ditentukan oleh Allah dan diambil seadanya, tidak ada penambahan dan pengurangan, bahkan wajib kembali kepada ketentuan nas dan dalil syariah.
Ada sebahagian orang yang mempermainkan ibadah dan meluaskan ketentuan ibadah (seperti zakat) dengan alasan menyesuaikan zaman dan lebih fleksibel. Ini bermakna mengubah tatacara dan ketentuan ibadah yang sudah ditentukan oleh Allah SWT. Ini sudah tentu tidak boleh lagi disebut dengan ibadah.
Agar ibadah menjadi sah dan berpahala, maka pelaksanaannya mesti memenuhi tiga syarat asas:
(1) Hendaklah berlandaskan iman;
(2) Hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah, tidak boleh dilakukan selain daripada Allah;
(3) Hendaklah dilakukan mengikut tatacara dan syarat-syarat ibadah yang telah ditentukan oleh Allah dan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah, tidak boleh ada tambahan atau pengurangan.
Huzaifah RA pernah berkata, “Setiap ibadah yang tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah, janganlah engkau beribadah dengannya.”
Imam Malik juga pernah berkata, “Apa yang hari itu (masa Nabi SAW) tidak termasuk dalam ketentuan agama, maka pada saat ini (masa Imam Malik) juga tidak termasuk dalam ketentuan agama. Beribadah kepada Allah SWT hanya dilakukan dengan apa yang Dia syariatkan.”
Tanpa itu semua aktiviti ibadah tidak akan diterima dan tidak mendekatkan dirinya kepada Allah. Yang ada bukan ta‘abbud ilâ Allâh (beribadah kepada Allah), tetapi taba‘ud ‘an Allâh (menjauh diri dari Allah).
Dinukil daripada Samrah:
رُبَ عَابِدٍ جَاهِلٍ وَرُبَ عَالِمٍ فَاجِرٍ فَاحْذَرُوا الْجُهَالَ مِنْ الْعُبَّادِ وَالْفُجَّارَ مِنْ الْعُلَمَاءِ فَإِنَّ شَرَّهُمْ أَعْظَمُ عَلَى الدِّيْنِ مِنْ شر الشَّيَاطِينِ
“Betapa banyak tukang ibadah yang bodoh dan betapa banyak orang berilmu yang jahat. Kerana itu, berhati-hatilah kalian terhadap orang-orang bodoh dari kalangan tukang ahli ibadah dan terhadap orang-orang jahat dari kalangan ulama. Sesungguhnya keburukan mereka terhadap agama lebih besar daripada keburukan syaitan.” (Dikeluarkan oleh Imam Muslim, demikian dikatakan oleh al-Manawi, dalam Faydh al-Qadîr, 4/17).
Wallâhu a‘lam bi as-shawâb.