SABAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Pengertian sabar adalah sebagai berikut :
اَلصَّبْرُ هُوَ حَبْسُ النَّفْسِ عَلىَ ماَ تَكْرَهُ ابْتِغاَءَ مَرْضاَةِ اللهِ
“Sabar adalah menahan diri dari apa-apa yang kamu benci untuk mencari redha Allah.”
(Muhammad Mahmūd Hijāzī, At-Tafsīr Al-Wādhih, 2/228).
Kesabaran bagi seorang mukmin, adalah kesabaran yang berdasarkan motif (niat) kerana Allah dan kerana mengharap redha Allah SWT semata, bukan kerana yang lainnya. Firman Allah SWT:
وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْۗ
“Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah!” [TMQ Al-Muddatstsir (74): 6]
Firman Allah SWT:
وَالَّذِيْنَ صَبَرُوا ابْتِغَاۤءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَاَقَامُوا الصَّلٰوةَ وَاَنْفَقُوْا مِمَّا رَزَقْنٰهُمْ سِرًّا وَّعَلَانِيَةً وَّيَدْرَءُوْنَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِۙ ٢٢
“Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya disediakan bagi mereka balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat” [TMQ Al-Ra’d (13): 22]
Kesabaran tersebut menurut para ulama, seperti Imam Ghazali, Imam Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyyah, dan lain-lain, ada 3 jenis:
Pertama, sabar ketika musibah (al-shabru ‘inda al-mushībah).
Kedua, sabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah (al-shabru ‘alā al-thā’at).
Ketiga, sabar dalam menjauhi maksiat (al-shabru ‘an al-ma’shiyati). (Imam Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyyah, Madārij Al-Sālikīn, Juz II, hlm. 169).
Penjelasan ketiga jenis kesabaran tersebut adalah sebagai berikut :
Pertama, sabar ketika musibah (al-shabru ‘inda al-mushībah), atau disebut juga sabar menerima qadha (takdir) dari Allah SWT, khususnya takdir yang menyakitkan, seperti sakitnya atau meninggalnya orang yang kita cintai, wajib hukumnya sesuai firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”.” [TMQ Al-Baqarah (2): 155-156]
Kedua, sabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah (al-shabru ‘alā al-thā’at), contohnya sabar dalam berjihad fii sabiilillah, sabar dalam melaksanakan solat lima waktu, sabar dalam melaksanakan ibadah haji, sabar dalam mendidik anak, sabar dalam mengemban dakwah Islam, dan sebagainya, juga wajib hukumnya sesuai firman Allah SWT:
يآ أَيَّها الَّذِيْنَ آمَنُوا اصْبِرُوْا وَصاَبِرُوْا وَراَبِطُوْا وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan tingkatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersiap sedia, dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung.” [TMQ Āli ‘Imrān (3): 200]
Ketiga, sabar dalam menjauhi maksiat (al-shabru ‘an al-ma’shiyati) juga wajib hukumnya, seperti contohnya kesabaran Nabi Yusuf AS yang lebih suka dipenjara daripada berzina, sebagaimana terdapat dalam firman Allah SWT:
قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِماَّ يَدْعُوْنَنِيْ إِلَيْهِ وَإِلاَّ تَصْرِفْ عَنِّيْ كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِّنَ الْجاَهِلِيْنَ
“Yusuf berkata, ‘Wahai Tuhanku! Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Jika aku tidak Engkau hindarkan dari tipu daya mereka, nescaya aku akan cenderung (memenuhi keinginan mereka) dan tentu aku termasuk orang yang bodoh.” [TMQ Yūsuf (12): 33]
Dalam memperjuangkan Islam, terutama Islam kāffah, iaitu melanjutkan kembali kehidupan Islami dalam seluruh aspek kehidupan dalam kerangka negara Khilafah, ketiga-tiga jenis kesabaran tersebut wajib kita miliki:
Pertama, sabar ketika musibah (al-shabru ‘inda al-mushībah), iaitu kesabaran di jalan dakwah dalam rangka menegakkan Khilafah tersebut. Kita perlu sabar menghadapi musibah di jalan dakwah ini, contohnya: pemecatan pekerja kerajaan yang menjadi pengemban dakwah Islam kāffah, penganiayaan kepada kelompok pejuang Islam kāffah, penghapusan akaun Twitter mereka, penghapusan akaun Youtube mereka dan sebagainya.
Kedua, sabar dalam menjalankan ketaatan (al-shabru ‘alā al-thā’at), khususnya dalam hal ini sabar dalam terus menapaki perjuangan menegakkan Islam, bukan meninggalkan jalan ini ketika menghadapi kesulitan atau hambatan dari thāghūt dari kaum kafirin dan kaum fasiqin. Kita perlu sabar untuk terus menjalankan berbagai ketaatan di jalan ini, contohnya terus mengikuti halaqah, terus menjalinkan hubungan dengan para tokoh, terus melakukan muhāsabah lil hukkām (kritik kepada penguasa), terus melakukan perang pemikiran (al-shirā’ al-fikrī) dan sebagainya walaupun kita perlu menerima berbagai stigma buruk, contohnya dilabel radikal, atau tidak bertoleransi, ekstrem dan sebagainya.
Ketiga, sabar dalam menjauhi maksiat (al-shabru ‘an al-ma’shiyat) di jalan dakwah ini, kerana boleh jadi ada godaan menggiurkan yang dapat memalingkan kita dari kewajipan berdakwah menuju Islam kāffah. Contohnya, ada di antara manusia-manusia yang kerdil imannya dan miskin ilmunya, yang sanggup tunduk kepada thāghūt ketika mereka dijanjikan dana untuk kehidupan sehari-hari yang sangat lumayan, atau dijanjikan pembelajaran percuma, atau dijanjikan untuk diberi dana yang besar, jika mereka berani memburuk-burukkan Khilafah, atau kalau mereka dapat membuat karya ilmiah atau jurnal ilmiah yang memburukkan kelompok pejuang Islam kāffah, memburukkan Syariah Islam, memburukkan Khilafah dan sebagainya.
Menghadapi berbagai godaan duniawi tersebut, para pengemban dakwah wajib bersabar, iaitu dengan jenis kesabaran yang ketiga, berupa sikap sabar dalam menjauhi maksiat (al-shabru ‘an al-ma’shiyat). Rasulullah SAW sungguh telah menjanjikan pahala yang teramat agung, yang mengalahkan semua godaan duniawi yang hina, dan rendah seperti itu, bagi mereka yang sabar dalam menghadapi situasi yang teramat mencabar seperti saat ini. Rasulullah SAW telah bersabda:
إِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَياَّمَ الصَّبْرِ اَلصَّبْرُ فِيْهِنَّ مِثْلُ الْقَبْضِ عَلىَ الْجَمْرِ لِلْعاَمِلِ فِيْهِنَّ أَجْرُ خَمْسِيْنَ رَجُلاً يَعْمَلُوْنَ مِثْلَ عَمَلِهِ، قِيْلَ : أَجْرُ خَمْسِيْنَ رَجُلاً مِنْهُمْ؟ قاَلَ : بَلْ أَجْرُ خَمْسِيْنَ رَجُلاً مِنْكُمْ. رواه أبو داود بسند حسن
“Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari yang memerlukan kesabaran, kesabaran pada hari-hari itu, bagaikan menggenggam bara api, namun bagi orang yang teguh mengamalkan (Islam) pada hari-hari itu, akan mendapat pahala lima puluh orang yang mengamalkan amalan seperti itu.” Ada yang bertanya, “Apakah maksudnya pahala lima puluh orang dari kalangan mereka?” Rasulullah SAW bersabda, “Bahkan pahala lima puluh orang dari kalangan kalian (kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW).” (HR. Abu Dawud, dengan sanad hasan).
Wallāhu a’lam.