HUKUM MENIKAHI DAN MENIKAHKAN WANITA HAMIL DI LUAR NIKAH
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman, M.A.
Soalan:
Apakah hukum menikahi dan menikahkan wanita yang hamil di luar nikah?
Jawapan:
Berkahwin dengan wanita hamil ada dua kemungkinan. Pertama, wanita itu adalah pasangan zina lelaki yang ingin mengahwininya. Kedua, wanita itu bukan pasangannya, atau hamil kerana bersetubuh dengan orang lain.
Bagi wanita yang hamil kerana zina, sama ada zina dengan pasangan yang ingin dinikahinya, atau zina dengan orang lain, maka ada tiga pendapat mengenai hukum mengahwininya.
Pertama, haram berkahwin. Ini adalah pendapat mazhab Maliki, Abu Yusuf dan Zafar dari mazhab Hanafi; termasuk Ibn Taimiyah dan muridnya, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah.
Kedua, boleh berkahwin tanpa syarat. Ini adalah pendapat Abu Hanifah dan Muhammad dari mazhab Hanafi dan Syafie.
Ketiga, boleh berkahwin dengan syarat: (1) telah tamat kehamilan atau telah tamat tempoh ‘iddah; (2) bertaubat dengan keikhlasan. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali.
- Dalil Kelompok Pertama
Pertama, firman Allah SWT:
الزَّانِي لا يَنْكِحُ إلا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
“Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.” [TMQ an-Nuur (24): 3]
Syaikhul Islam, Ibn Taimiyah berkata, “Mengenai larangan (berkahwin) wanita yang telah berzina, sudah dibincangkan oleh para fuqaha’, baik dari kalangan pengikut Imam Ahmad mahupun yang lain. Dalam hal ini, terdapat riwayat dari generasi terdahulu. Walaupun para fuqaha’ berselisih pendapat mengenainya, bagi yang membenarkannya, tidak ada satu pun yang boleh dijadikan sandaran.”
Ibn al-Qayyim al-Jauziyah berkata, “Hukum menikahi wanita penzina telah dinyatakan keharamannya oleh Allah dengan tegas dalam surah an-Nuur. Allah memberitahukan, bahawa siapa saja yang menikahinya, boleh jadi sama-sama penzina atau musyrik. Kadangkala manusia terikat dengan hukum-Nya serta mengimani kewajipan-Nya kepada dirinya atau tidak. Jika tidak terikat dan tidak mengimaninya, maka dia musyrik. Jika terikat dan mengimani kewajipan-Nya, tetapi menyalahinya, maka dia disebut penzina. Kemudian Allah dengan tegas menyatakan keharamannya: Yang demikian diharamkan atas orang-orang Mukmin [TMQ an-Nuur (24): 3].”
Kedua, Hadis Nabi SAW yang menyatakan:
لاَ تُوْطَأُ حَامِلٌ حَتَّى تَضَعَ
“Wanita hamil tidak boleh disetubuhi sehingga dia melahirkan (bayinya)” (HR Abu Dawud dan al-Hakim. Hadis ini disahihkan oleh al-Hakim).”
Ketiga, riwayat Said bin al-Musayyib yang menyatakan bahawa: pernah ada seorang lelaki yang menikahi seorang wanita. Ketika dia menjumpai wanita itu, dia telah hamil maka dia mengadukannya kepada Nabi SAW. Baginda pun menceraikan keduanya.”
Keempat, sabda Nabi SAW yang menyatakan:
لاَ يَحِلُّ لاِمْرِئٍ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ يُسْقِيَ مَاءَهُ زَرْع
غَيْرِهِ
“Tidaklah halal bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir untuk menumpahkan air maninya ke dalam tanaman (air mani) orang lain.” (HR Abu Dawud).
Selain itu, kelompok ini berpendapat bahawa pernikahan itu merupakan perkara suci. Di antara kesuciannya adalah agar kesucian tersebut tidak dituangkan ke dalam ma’ saffah (air zina) sehingga bercampur yang halal dengan haram. Dengan begitu, air kehinaan bercampur aduk dengan air kemuliaan.
Mazhab Maliki juga berhujah dengan pendapat Ibn Mas’ud ra. yang menyatakan, “Jika seorang lelaki berzina dengan seorang wanita, kemudian setelah itu dia menikahinya, maka keduanya telah berzina selama-lamanya.”
- Dalil Kelompok Kedua
Pertama,
Firman Allah SWT:
وَأُحِلَّ لَكُمْ مَا وَرَاءَ ذَلِكُمْ أَنْ تَبْتَغُوا بِأَمْوَالِكُمْ مُحْصِنِينَ
“Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina” [TMQ an-Nisaa’ (4): 24]
Kedua, hadis penuturan Aisyah ra. yang menyatakan:
لاَ يُحَرِّمُ الْحَرَامُ الْحَلاَلَ
“Perkara yang haram tidak boleh mengharamkan yang halal.”
Ketiga: Ijmak Sahabat. Telah diriwayatkan dari Abu Bakar, Umar bin al-Khattab, Ibn Umar, Ibn ‘Abbas dan Jabir ra., bahawa Abu Bakar berkata, “Jika seorang lelaki berzina dengan wanita, maka tidak haram bagi dirinya untuk menikahinya.”
Demikian juga telah diriwayatkan dari Umar, “Seorang lelaki telah menikahi seorang wanita. Wanita itu mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang mempunyai bapa yang berbeza. Anak lelakinya melakukan kemaksiatan dengan anak perempuannya, kemudian dia kelihatan hamil. Apabila Umar datang ke Mekah, perkara itu telah disampaikan kepadanya. Umar bertanya kepada mereka berdua, dan keduanya mengakuinya. Umar menyebat mereka berdua dengan cambuk, lalu menawarkan mereka untuk hidup bersama, tetapi anak lelaki itu menolaknya.”
- Dalil Kelompok Ketiga
Pertama,
firman Allah SWT:
الزَّانِي لا يَنْكِحُ إلا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لا يَنْكِحُهَا إِلا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ وَحُرِّمَ ذَلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
“Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.” [TMQ an-Nuur (24): 3]
Sebabnya, larangan mengahwini wanita yang telah berzina dalam ayat tersebut berlaku bagi orang yang belum bertaubat, tetapi setelah bertaubat hilanglah larangan tersebut. Sebabn, ada hadis Rasulullah SAW yang berbunyi:
التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَ ذَنْبَ لَه
“Orang yang bertaubat dari dosa statusnya sama dengan orang yang tidak mempunyai dosa.” (Dikeluarkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya, Al-Mughni).[8]
Kedua: Hadis penuturan Abi Said al-Khudri yang statusnya marfu’. Dalam hadis tersebut dinyatakan:
لاَ تُوْطَأُ حَامِلٌ حَتَّى تَضَعَ
“Wanita hamil tidak boleh disetubuhi sehingga dia melahirkan (bayinya).” (HR Abu Dawud dan al-Hakim. Hadis ini disahihkan oleh al-Hakim).
Daripada ketiga-tiga pendapat di atas, pada pendapat kami, pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang dikemukakan oleh mazhab Hanbali, yang menyatakan hukum mengahwini wanita hamil dibenarkan dengan syarat-syarat berikut:
Pertama, kehamilannya telah tamat, atau tempoh ‘iddahnya telah tamat.
Kedua, bertaubat dengan taubat nasuha.
Adapun yang mengahwininya, boleh jadi pasangan zinanya atau tidak. Sudah tentu selepas wanita itu bertaubat, kerana keinsafannya telah memadamkan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan catatan bahawa taubat itu dilakukan dengan taubat nasuha. Kerana perkahwinan adalah ikatan suci yang membawa kesan:
Pertama, keturunan. Jika seseorang mengahwini seorang perempuan kemudian lahir dari perempuan itu seorang anak, maka perkahwinan yang sah itu menjamin kesahihan nasab mereka.
Kedua, perwalian. Anak mempunyai hak perwalian, baik terhadap harta mahupun dirinya.
Ketiga, waris. Dengan adanya nasab, status hukum waris menjadi jelas. Kerana itu, syarat istibra’ (bersihnya rahim wanita) setelah masa ‘iddah, merupakan kunci. Jika tidak, maka status janin yang ada di dalamnya tidak akan diketahui.
WalLahu a’lam.