Membentuk Generasi Pemimpin Berwibawa Melalui Pengukuhan Tsaqafah Islam (Bahagian 3)
Penulis : Asma
Tsaqafah Islam sebagai Asas Kepimpinan Berwibawa
Kepimpinan dalam Islam bukan sekadar kedudukan atau kuasa, sebaliknya merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Justeru, bagi melahirkan pemimpin yang benar-benar berwibawa, penguasaan terhadap tsaqafah Islam menjadi satu keperluan asas yang tidak boleh diketepikan. Tanpa pemahaman yang mendalam mengenai ajaran Islam, seseorang pemimpin mudah terpengaruh dengan ideologi asing yang bertentangan dengan nilai-nilai syarak. Sejarah telah membuktikan bahawa ketiadaan tsaqafah Islam dalam kepimpinan boleh mengundang pelbagai keburukan seperti penyalahgunaan kuasa, kehilangan integriti, dan kegagalan menegakkan keadilan dalam masyarakat.
Salah satu elemen utama dalam tsaqafah Islam ialah akidah, yang menjadi asas keimanan dan keyakinan seseorang terhadap Allah SWT. Seorang pemimpin yang memiliki akidah yang kukuh akan menjadikan Islam sebagai landasan utama dalam setiap keputusan yang dibuat, dengan mengutamakan keadilan dan kesejahteraan rakyat melebihi kepentingan peribadi. Selain itu, pemimpin juga perlu berpegang teguh kepada syariat Islam bagi memastikan setiap dasar dan tindakan yang diambil adalah selaras dengan hukum Allah SWT. Kefahaman yang mendalam tentang syariat membolehkan pemimpin membuat keputusan yang benar dalam pelbagai aspek pemerintahan, termasuk ekonomi dan perundangan.
Di samping itu, penguasaan terhadap sirah Rasulullah SAW dan sejarah kepimpinan Islam merupakan satu aspek penting dalam membentuk kepimpinan berwibawa. Rasulullah SAW merupakan contoh teladan yang sempurna dalam segenap aspek, termasuk dalam memimpin sebuah negara. Dengan mempelajari kejayaan dan kegagalan kepimpinan dalam sejarah Islam, para pemimpin dapat mengambil iktibar dan mengelakkan kesilapan yang berulang.
Kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz RA, yang dikenali dengan keadilan dan kebijaksanaan dalam pemerintahannya, membuktikan bahawa pemimpin yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam mampu membawa perubahan besar dalam masyarakat. Sebaliknya, sejarah juga menunjukkan bahawa kejatuhan sesebuah peradaban sering berpunca daripada kelemahan dalam kepimpinan, ketamakan, serta pengabaian terhadap hukum syarak.
Selain daripada aspek politik dan pemerintahan, ilmu ekonomi Islam juga merupakan komponen penting dalam tsaqafah Islam yang wajib dikuasai oleh seorang pemimpin. Sistem ekonomi Islam menekankan prinsip keadilan, pengagihan kekayaan yang saksama, serta penolakan terhadap eksploitasi seperti riba dan monopoli yang menindas masyarakat. Kefahaman tentang prinsip-prinsip ekonomi Islam dapat membantu pemimpin dalam merangka dasar kewangan yang adil, mampan dan berkat demi kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks keselamatan dan pertahanan negara, kemahiran strategik dan ketenteraan juga merupakan sebahagian daripada tsaqafah Islam yang tidak boleh diabaikan oleh pemimpin. Sejarah membuktikan bahawa tokoh-tokoh Islam yang berjaya menegakkan keadilan serta mempertahankan umat bukan sahaja memiliki keimanan yang teguh, tetapi juga kemahiran dalam bidang strategi dan ketenteraan. Kepimpinan yang bersedia dari sudut ketenteraan mampu menjamin keselamatan rakyat, mempertahankan kedaulatan negara, dan mengelakkan kebergantungan kepada kuasa asing.
(Bersambung)