Keyakinan Kepada Allah Sebagai Asas Pembentukan Pemikiran
Penulis: Rahmah
Pakar Perubatan Keluarga & Kaunselor, Dr. Ruziah Ibrahim menyatakan pemikiran anak perlu dibentuk berdasarkan keyakinan kepada Allah dan rukun iman sebagai asas.
“Pemikiran ni mestilah disandarkan tadi kepada keimanan dia, betul tak? Kepada kepercayaan dia, kepada rukun iman, dan mesti kenal pasti. Dan pemikiran tadi tu disandarkan kepada kepercayaan dia kepada Allah SWT,” ujarnya dalam slot kedua Forum Muslimah Ideal bertajuk Seni Membentuk Generasi Pemimpin, Putrajaya, Ahad (27/4/2025).
Beliau turut mengaitkan bagaimana peranan pemikiran, emosi dan tingkahlaku yang dikenali dengan segitiga kognitif dapat membentuk karakter seseorang anak atau individu.
Dengan analogi sederhana, beliau mencontohkan jika berlakunya situasi tertentu, maka pemikiran yang sihat akan memandu emosi dan seterusnya tingkah laku.
“Kita kena harmonikan ketiga komponen ini iaitu pemikiran, emosi dan tingkah laku yang dalam psikologi disebut segitiga kognitif. Jadi saya nak bagi contohlah jika ada situasi berlaku seperti anak tumpahkan minuman di atas baju raya. Jadi pemikiran ni yang kena pergi dulu bukan emosi bukan tingkah laku dulu. Jika pemikiran kita adalah ‘Allah sedang uji, maka emosi terkawal dan tingkah laku kita menjadi tenang dan rasional,” tuturnya.
Dalam membentuk kepimpinan, beliau menjelaskan tidak cukup hanya dengan berjiwa pemimpin tanpa sahsiah (karakter) yang kukuh. Ini kerana kepimpinan memerlukan keseimbangan antara jiwa dan tindakan (amal).
“Sebenarnya kita tak nak berjiwa sahaja sebab kalau jiwa je memimpin, amaliah dia tak ada. Kita tak nak macam tu. Kita nak dia ada karakter, dia ada sahsiah kepimpinan,” katanya.
Tambahnya lagi, pembinaan jati diri dan kepimpinan dalam diri anak-anak dapat dibentuk melalui kesinambungan beberapa aspek.
Antaranya adalah peranan nature dan nurture (keturunan dan lingkungan). Beliau menerangkan pembentukan anak perlu kepada gabungan keturunan dan lingkungan.
“Nak membentuk anak tu dia ada nature dan nurture. Itu bahasa psikologi tapi bahasa mak bapak kita, dia ada keturunan dan lingkungan. Jadi anak-anak membesar dia kena ada dua aspek ini,” katanya.
Beliau menekankan pentingnya aspek keturunan yang dapat menghasilkan potensi. Seterusnya lingkungan dan biah yang kondusif juga penting namun yang lebih penting adalah bagaimana seorang anak dapat membawa suasana yang kondusif, sihat, dan berpandukan syariat dalam dirinya.
“Kalau anak-anak pandai, kepandaiannya memang boleh diturunkan secara genetik atau keturunan. Kalau kita nak sebut pasal lingkungan yang kondusif, macam mana kita nak memastikan anak kita ni, lingkungan yang kondusif tu dia bawa dalam diri dia dimana pun dia diletak. Memang kita faham sahabat, biah tu penting. Yang lebih penting kita nak anak kita bawa suasana kondusif, suasana yang sihat, yang syariat tu di dalam diri dia,” tutupnya. []