Seruan kepada Ulama Muslim: Menuju Tajul Furudh, Mahkota Segala Kewajipan
Penulis: Syeikh Adnan Mazyan
Telah terbukti dalam ajaran Islam bahawa semua umat Islam—dengan akidah lurus dan syariat yang bersumber dari Allah SWT—adalah umat yang berbeza daripada umat lain. Kesatuan mereka sebagai satu umat tetap terpelihara selagi berpegang kepada Islam, baik dalam aspek akidah mahupun syariat.
Namun, kesatuan umat dalam akidah dan syariah hendaklah disertai dengan kesatuan politik. Dalam istilah Islam, ini dikenali sebagai “al-jamā‘ah”, iaitu keadaan di mana umat Islam adalah satu kelompok di bawah pimpinan seorang khalifah. Konsep ini ditegaskan oleh pelbagai dalil dari Al-Quran, Sunnah Nabi ﷺ, dan Ijmak para Sahabat, dan termasuk dalam prinsip umum Islam.
Para ulama muslim terdahulu telah menyedari betapa besar dan pentingnya kewajipan menegakkan sistem pemerintahan Islam (Khilafah). Mereka memahami peranannya yang sangat penting dalam kehidupan umat. Namun, kewajipan ini hilang dari kehidupan masyarakat apabila institusi Khilafah runtuh di tangan penjajah British dan sekutu-sekutu mereka. Kejatuhan ini telah membawa kepada kemerosotan umat Islam yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
Berikut adalah kenyataan ringkas ulama berkenaan kewajipan menegakkan Khilafah dan bersatu di bawah satu pemimpin.
Al-Mawardi dalam Al-Ahkam As-Sultaniyyah menyatakan, “Khilafah (imamah) telah didirikan sebagai pengganti kenabian dalam menjaga agama dan mengatur urusan dunia. Melantik seseorang yang menjalankan fungsi ini di kalangan umat hukumnya adalah wajib mengikut ijmak (kesepakatan ulama).”
Perkara yang sama disampaikan An-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim, “Para ulama telah bersepakat bahawa kaum muslim wajib mengangkat seorang khalifah.”
Imam Al-Qurthubi dalam tafsirnya atas firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’” [TMQ Al-Baqarah (2): 30] menjelaskan, “Ayat ini merupakan dasar atas kewajipan mengangkat seorang imam atau khalifah yang didengari dan ditaati supaya umat bersatu di bawah kepimpinannya dan hukum-hukum Islam dapat ditegakkan. Tidak ada perbezaan pendapat mengenai kewajipan ini di kalangan umat mahupun para ulama, kecuali riwayat yang dinukilkan dari Al-Asham, yang memang tuli terhadap syariat.”
Ibnu Taimiyyah dalam As-Siyasah asy-Syar‘iyyah menyatakan, “Perlu diketahui bahawa kepimpinan dalam urusan manusia adalah perkara yang paling besar dalam agama. Bahkan, agama tidak akan tegak kecuali dengannya. Sebab, Bani Adam tidak dapat mencapai kesempurnaan kebajikan melainkan dengan bersatu kerana mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam kebersamaan itu, mereka perlu memiliki pemimpin. Bahkan Nabi ﷺ bersabda, ‘Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah satu dari mereka sebagai pemimpin.’ (HR Abu Dawud, dari Abu Sa‘id dan Abu Hurairah).” Tambahnya lagi, “Kerana Allah SWT menghendaki amar makruf nahi mungkar, dan ini tidak dapat dicapai melainkan dengan kekuatan dan kepimpinan.”
Dalam Asy-Shawa‘iq al-Muhriqah, Ibn Hajar Al-Haitsami menyebut, “Ketahuilah juga bahawa para sahabat RA telah bersepakat bahawa melantik pemimpin selepas kewafatan Rasulullah ﷺ adalah wajib. Malah, mereka menganggapnya sebagai kewajipan yang paling utama, sehingga mereka mengutamakannya daripada mengurus jenazah Rasulullah ﷺ.”
Jalaluddin Al-Ghaznawi dalam Usul ad-Din berkata, “Umat Islam mesti mempunyai imam yang menjaga kemaslahatan mereka: menegakkan hukum mereka, melaksanakan hudud, menyediakan tentera, dan memungut zakat serta mengagihkannya kepada yang berhak. Kerana jika mereka tidak mempunyai imam, ia akan menyebabkan kerosakan di muka bumi.”
Sementara itu, Ibnu Khaldun dalam Al-Muqaddimah menulis, “Sesungguhnya mengangkat seorang imam adalah kewajipan yang diketahui akan kewajipannnya dalam syariat berdasarkan ijmak sahabat dan tabiin. Ini kerana ketika Rasulullah ﷺ wafat, para sahabat segera membaiat Abu Bakar RA dan menyerahkan urusan mereka kepadanya. Demikian juga yang terjadi pada setiap masa setelahnya; umat tidak pernah dibiarkan hidup tanpa pemimpin di suatu zaman pun. Hal ini telah menjadi ijmak yang menunjukkan kewajipan mengangkat seorang imam.”
Senada dengan itu, Ibnu Hazm al-Andalusi dalam Al-Fasl fī Al-Milal wa Al-Ahwa’ wa An-Nihal menyatakan, “Seluruh Ahlusunah, Murji’ah, Syiah, dan Khawarij telah bersepakat atas kewajipan adanya imamah (kepimpinan). Mereka juga bersepakat bahawa umat wajib tunduk kepada seorang imam yang adil, yang menegakkan hukum-hukum Allah di tengah mereka, serta mengatur urusan mereka dengan syariat (Islam).”
Ath-Thabari dalam tafsirnya atas Surah An-Nisa’ ayat 59 menyebutkan, dari Abu Hurairah RA, “Yang dimaksud dengan ulul amri adalah para pemimpin.” Beliau menjelaskan, “Pendapat yang paling tepat tentang ayat ini adalah pendapat yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ululamri adalah para pemimpin dan para penguasa, dalam perkara yang merupakan ketaatan kepada Allah dan membawa maslahat bagi kaum muslim.”
Adapun asas pengambilan dalil (wajh al-istidlal) atas kewajipan mengangkat seorang imam adalah bahawa perintah untuk mentaati imam menunjukkan kewajipan untuk mengangkatnya. Ini kerana Allah tidak memerintahkan untuk mentaati sesuatu yang tidak ada. Perintah taat kepada imam bertujuan untuk memastikan sesuatu perkara terkait syariat dapat dilaksanakan, dan ini tidak mungkin dicapai tanpa kepimpinan. Jika perintah mentaati imam telah ditetapkan, sedangkan imam itu sendiri tidak ada, maka bagaimana mungkin perintah tersebut dapat dilaksanakan? Oleh kerana itu, perintah untuk mentaati imam secara automatik mengandungi makna kewajipan untuk mengangkatnya.
Al-Ustaz Abdul Qadir ‘Audah dalam Al-Islam wa Awdha‘una as-Siyasiyyah menyebutkan, “Rasul ﷺ telah membangun kesatuan politik bagi kaum muslim dan menyatukan mereka dalam satu negara, yang mana beliau sendiri menjadi ketua negaranya dan pemimpin teragung mereka. Beliau memiliki dua tugas.
Pertama, menyampaikan wahyu dari Allah. Kedua, melaksanakan perintah Allah dan mengarahkan polisi negara sesuai dengan hukum Islam. Bahkan, meneladani Rasul ﷺ dan mengikuti sunahnya memerlukan seluruh kaum muslim untuk membangun kesatuan politik, serta mengangkat di antara mereka seorang pemimpin yang menggantikan Rasul ﷺ dalam menegakkan agama dan mengarahkan polisi negara pada ajaran Islam yang murni.”
Senada dengan itu, Dr. Abdullah bin Omar Al-Dumaiji menegaskan kembali pentingnya institusi kepimpinan dalam Islam, mengutip perkataan Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam Al-Iqtishad fī al-I‘tiqad, “Sesungguhnya urusan dunia, keselamatan atas jiwa dan harta, tidak akan diatur kecuali dengan adanya penguasa yang ditaati. Jelaslah bahawa kekuasaan adalah perkara yang penting dalam menata urusan agama dan dunia. Urusan dunia itu penting untuk urusan agama, dan urusan agama itu penting untuk meraih kebahagiaan akhirat—yang sudah pasti merupakan tujuan para nabi. Oleh kerana itu, keberadaan seorang imam (pemimpin) adalah bahagian dari keperluan syariat yang tidak boleh ditinggalkan. Ketahuilah hal itu!”
Menjawab kenyataan ini, Dr Ad-Dumaiji mengulas, “Dan bukti yang paling nyata tentang ini adalah realiti pahit yang sedang dialami oleh umat Islam hari ini. Dalam realiti ini terdapat petunjuk yang jelas bahawa Islam tidak akan tertegak lagi, melainkan dengan kembali kepada Allah, kemudian berjuang untuk menegakkan Khilafah Islamiyyah. Ini kerana musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti menggigit tubuh Khilafah sehingga mereka berjaya meruntuhkannya, dan mereka dapat meraih apa yang mereka inginkan. Sejak Khilafah Islamiyyah dijatuhkan dan Islam tidak lagi memimpin umat, hukum-hukum syariat juga tidak diterapkan, kehormatan dan kesucian dilanggar, panji jihad dilipat, serta negeri-negeri kaum muslim dipecahkan menjadi negara-negara kecil yang saling memerangi satu sama lain. Dengan demikian, menyisihkan diri dari berjuang untuk melanjutkan kembali kehidupan Islam adalah dosa besar, dan termasuk di antara dosa terbesar.”
Oleh itu, melantik seorang khalifah bagi umat ini adalah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi melaksanakan syariat Islam ke atas umat Islam dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia.
Wahai para ulama umat!
Kami menyeru kalian untuk mengerahkan seluruh tenaga dan kemampuan dengan segenap kekuatan dalam perjuangan menegakkan Khilafah. Demi Allah, kebenaran telah nyata dan tidak ada lagi ruang bagi alasan dan dalih. Demi Allah, satu tebasan pedang dalam kemuliaan lebih baik daripada cambukan dalam kehinaan. Sungguh, kematian dalam ketaatan kepada Allah jauh lebih mulia daripada hidup dalam kemaksiatan kepada-Nya.
Allah pasti akan meminta pertanggungjawaban kalian atas ilmu dan amal kalian. Marilah kita berpimpin tangan, bekerja bersama-sama untuk menegakkan tajul furudh, mahkota dari segala kewajipan, iaitu Khilafah Rasyidah kedua, yang berjalan di atas manhaj kenabian.
Sumber: muslimahnews