Mungkinkah Hegemoni AS Runtuh di Timur Tengah?
Oleh: Prof. Muhammad Malkawi
Sejak berakhirnya Perang Dingin, Amerika Syarikat nampaknya berada di puncak keunggulan globalnya. Runtuhnya Kesatuan Soviet, kehancuran sistem-sistem sosialis, serta munculnya naratif “akhir sejarah” yang dipopularkan Francis Fukuyama, menjadikan sistem liberal Amerika dianggap sebagai satu-satunya kerangka yang sah mengatur dunia. Namun, sebaliknya kawasan Timur Tengah –yang selama ini menjadi asas utama pembinaan hegemoni tersebut– kini memperlihatkan tanda-tanda keretakan yang serius.
Dua dekad terakhir abad ke-21 menyingkap sebuah transformasi mendasar: kemunduran Amerika yang berlangsung cepat, disertai dengan runtuhnya tatanan serantau yang selama tujuh puluh tahun menopang dominasi Barat. Dalam buku Namudzaj asy-Syarq al-Ausath: Sab‘ūna ‘Āman min al-Haimana al-Amrīkiyyah wa Shirā‘ ar-Ru’ā (kemudiannya disebut “buku kami”) fenomena ini digambarkan sebagai “munculnya kekosongan geopolitik di Timur Tengah.” Kekosongan tersebut bukan bermaksud kosongnya kekuatan, melainkan hilangnya kapasiti tunggal mengendalikan dinamika kawasan, serta tergoncangnya struktur pengaruh yang sebelum ini kelihatan kukuh dan stabil.
Dari Puncak Menuju Kemunduran
Pada dekad 1990-an, Washington bertindak seolah-olah sebagai penguasa tunggal sistem antarabangsa. Menentukan perang dan perdamaian, menjatuhkan hukuman, menggulingkan rejim, serta membangunkan kembali negara. Namun, rangkaian perang yang kemudian dijalankan –dari Afghanistan hingga Iraq, serta “Perang Melawan Keganasan”– berubah daripada instrumen hegemoni menjadi sumber krisis. Amerika keluar daripada konflik-konflik tersebut dalam keadaan lelah, tidak mampu lagi memaksakan perintah, kehilangan kepercayaan, serta terbeban dengan kos ekonomi dan moral yang besar.
Penulis membuat hipotesis bahawa “pengakhiran empayar tidak dimulakan daripada serangan luar, melainkan daripada saat kebergantungan pada kekuatan.” Washington terjebak dalam penyakit ini ketika beranggapan bahawa dominasi dapat berlangsung selamanya, dan bahawa wang, media, serta senjata mampu membekukan sejarah. Namun, berbagai peristiwa penting –bermula daripada jatuhnya Kabul, hingga melemahnya pengaruh Amerika di Iraq, Syria dan Yaman– menunjukkan bahawa kekuatan, ketika digunakan tanpa agenda yang bermoral, akan berubah menjadi beban berat bagi pemilik kekuatan itu.
Runtuhnya “Model Timur Tengah Amerika”
Buku kami menjelaskan bahawa pilar utama hegemoni Amerika adalah apa yang dikenali sebagai “Model Timur Tengah (4+2)”, iaitu pengelolaan kawasan melalui empat kekuatan serantau (Iran, Turki, Arab Saudi dan Israel) di bawah pengawasan dua kekuatan global (AS dan Rusia). Formula ini memungkinkan Washington mengendalikan aliran tenaga, mencegah terbentuknya pakatan merentasi kawasan, serta menjaga konflik agar tetap berada dalam “had yang dapat dikawal.”
Namun, binaan tersebut mula runtuh daripada dalam:
(1) Turki secara beransur-ansur beralih daripada paksi Atlantik ke arah kedudukan yang lebih bebas, dengan orientasinya berayun antara Moscow dan Beijing.
(2) Iran berjaya bertahan daripada tekanan sekatan dan memperluaskan pengaruhnya di Iraq, Syria, Lubnan dan Yaman.
(3) Arab Saudi mula mempelbagaikan pakatannya setelah kehilangan kepercayaan terhadap jaminan keselamatan Amerika.
(4) Israel terjebak dalam konflik dalaman dan menghadapi konflik terbuka di Gaza, Lubnan, serta Tebing Barat, yang memperlihatkan had kemampuan ketenteraannya.
(5) Rusia, pasca campur tangan ketenteraan di Syria pada tahun 2015, tidak lagi sekadar “penjamin sekunder,” tetapi muncul sebagai saingan politik dan ketenteraan langsung kepada Washington di jantung kawasan.
Dengan demikian, asas sistem Amerika terkikis daripada dalam, hingga Washington tidak lagi mampu memaksakan kehendaknya, bahkan terhadap sekutu-sekutunya sendiri, apatah lagi terhadap lawan-lawannya.
Kekosongan Geopolitik: Ketika Tangan Pengendali Menghilang
Apa yang disebut penulis sebagai “kekosongan geopolitik” bukanlah ketiadaan kekuatan secara material, melainkan ketiadaan kemampuan mengendalikan keseimbangannya. Kekuatan AS masih sangat besar, namun tidak lagi mampu menentukan arah peristiwa. Washington telah kehilangan unsur terpentingnya: hegemoni naratif.
Dahulu, setiap krisis dibaca melalui kacamata naratif Amerika, bermula daripada perang-perang Teluk hingga apa yang disebut sebagai “Arab Spring.” Kini, monopoli naratif dan media tersebut telah runtuh; masyarakat memiliki platformnya sendiri, dan dunia menyaksikan perang di Gaza, Ukraine atau Sudan daripada berbagai sudut pandang, bukan semata-mata melalui lensa Rumah Putih.
Kekosongan ini tidak serta-merta diisi kekuatan baru, tetapi sebaliknya boleh menjadikan kawasan ini sebagai pentas persaingan terbuka antara berbagai pelakon: Rusia dan China di satu sisi, Iran dan Turki di sisi lain, serta pelakon non-negara yang semakin berperanan. Namun, penulis melihat keadaan ini sebagai sebuah peluang sejarah yang jarang berlaku, sebab surutnya hegemoni Amerika membuka ruang bagi pentakrifan semula sistem serantau dengan asas yang baru.
Timur Tengah dalam Dunia yang Berubah
Dalam dunia pasca polarisasi, Timur Tengah tidak lagi sekadar menjadi arena sampingan, melainkan telah menjelma menjadi pentas utama bagi proses pembentukan kembali susunan antarabangsa. Perang tenaga, laluan maritim, teknologi dan infrastruktur semuanya berkait rapat dengan kawasan ini.
Perbezaannya terletak pada kenyataan bahawa negara-negara serantau–setelah beberapa dekad berada dalam posisi kebergantungan– mula menumbuhkan kesedaran geopolitik dan mencari kemandirian dalam pengambilan keputusan.
Penulis berhipotesis bahawa “generasi baru para pemimpin di kawasan ini tidak lagi memandang Washington sebagai satu satunya rujukan keselamatan, melainkan sebagai salah satu sumber ancaman.” Daripada sinilah muncul fenomena pakatan yang bersifat fleksibel:
(1) Keakraban Saudi-Iran yang difasilitasi oleh China.
(2) Keterbukaan Turki-Mesir yang berlangsung secara bertahap.
(3) Keterlibatan India, China, Uni Emirat Arab, dan Rusia dalam blok ekonomi baru (seperti BRICS).
Seluruh dinamika ini mengubah peta mental kawasan; “kesetiaan” tidak lagi bersifat tetap, dan “paksi” tidak lagi tertutup. Untuk pertama kalinya sejak satu abad terakhir, Timur Tengah mula berfikir di luar kerangka Sykes-Picot, dan berusaha merumuskan keseimbangan yang dibentuk oleh dirinya sendiri.
Ilusi Kekuasaan: Ketika Empayar Tak Mampu Mundur
Paradoks yang ditangkap penulis dengan tajam adalah bahawa Amerika Syarikat menyedari kemundurannya, namun tidak mengetahui bagaimana cara untuk mundur. Empayar besar tidak mati ketika dikalahkan, melainkan ketika berkeras untuk bertahan sebagaimana adanya. Daripada sinilah lahir polisi-polisi Washington yang jelas kelihatan:
(1) Pengunduran diri dari Afghanistan tanpa strategi yang jelas.
(2) Sekatan berulang yang kehilangan kesan.
(3) Sokongan tanpa syarat terhadap Israel walaupun terdapat kos moral dan politik yang tinggi.
(4) Usahaa merebut kembali pengaruh melalui pakatan pragmatik jangka pendek.
Namun, polisi seperti ini tidak lagi menghasilkan hegemoni, melainkan memperdalamkan kesedaran global akan perlunya alternatif. Dengan demikian, setiap langkah defensif Amerika menjadi satu langkah tambahan menuju keretakan pengaruhnya sendiri.
Bangkitnya Kekosongan atau Awal Sistem Baru?
Penulis mengajukan pertanyaan penting: adakah kita betul-betul berada di hadapan sebuah kekosongan geopolitik, atau sebaliknya sedang menyaksikan proses kelahiran sistem baru yang bersifat multipolar?
Dalam konteks tertentu, kekosongan tidak selalu identik dengan bahaya; ia boleh menjadi momen pendirian yang baru. Hegemoni Amerika selama ini telah membekukan sejarah kawasan dan mempertahankan keseimbangan yang bersifat palsu. Kini, dengan goyahnya dominasi tersebut, terbuka peluang bagi berbagai bangsa untuk kembali memainkan peranan autonomi, serta membuka jalan menuju sistem serantau yang lebih semula jadi, yang bertumpu pada pelbagai kekuatan, bukan pada kebergantungan.
Namun, kemungkinan ini –sebagaimana ditegaskan penulis– tetap bergantung pada kemampuan masyarakat untuk melahirkan projek peradaban yang mandiri, bukan sekadar melebur dalam orbit kekuatan baru. Jika Timur Tengah hanya berpindah daripada kebergantungan pada Washington menuju kebergantungan pada Beijing atau Moscow, maka kekosongan itu tidak akan terisi, melainkan hanya berganti bentuk.
Islam Politik dan Kembali ke Jati Diri
Di tengah arus perubahan ini, penulis berpendapat bahawa kekosongan terbesar bukanlah pada bahagian politik, melainkan pada bahagian gagasan pemikiran. Hilangnya hegemoni Amerika memang membuka ruang bagi kekuatan serantau, tetapi belum melahirkan sebuah projek peradaban yang utuh. Pertanyaan lama pun kembali hadir dalam bentuk baru: adakah umat Islam mampu menawarkan visi asli bagi dunia?
Gerakan Islam, meskipun menghadapi peminggiran, penindasan, dan penyelewengan, tetap menjadi takungan moral dan spiritual yang berpotensi untuk mengisi kekosongan tersebut. Namun, penulis menekankan bahawa kembali ke jati diri tidak bermaksud menutup diri atau terjebak dalam romantisme sejarah, melainkan mentransformasikan gagasan pemikiran Islam menjadi projek politik kontemporari yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, yang disebut sebagai model 1+0: sebuah sistem kesatuan mandiri yang tidak bergantung pada penjamin luar.
Akhir Hegemoni dan Awal Sejarah Baru
Dalam penutup buku kami, disajikan refleksi yang melampaui kawasan dan menyentuh keseluruhan sistem global: “Zaman empayar yang mengatur dunia daripada satu pusat telah berakhir. Dunia kini memasuki fasa tanpa kekutuban (polarity), di mana keseimbangan tercipta melalui interaksi, bukan pemaksaan.”
Momen runtuhnya hegemoni Amerika bukan sekadar peristiwa politik, melainkan titik perubahan peradaban yang mendefinisikan semula makna dan kekuatan. Pertanyaan yang tersisa bukan lagi: siapa yang akan mengisi kekosongan? Melainkan: gagasan apa yang akan memimpin dunia setelah surutnya ideologi liberal Barat?
Di sinilah penulis melihat peluang bersejarah bagi umat Islam untuk menawarkan model alternatif yang menyeimbangkan kerohanian, keadilan, dan rasionaliti, serta menyelamatkan umat manusia daripada lingkaran penggunaan dan pemecahan yang dihasilkan peradaban yang berorientasikan keuntungan.
Penutup: Kekosongan Bukan Akhir
Hegemoni Amerika ibarat langit langit rendah di atas banyak bangsa kawasan: melindungi daripada hujan badai, tetapi sekaligus menghalang kebangkitan. Kini, walau penuh kekacauan dan pertumpahan darah, langit-langit itu mulai retak.
Keruntuhannya –walau berisiko– boleh menjadi awal sejarah sejati bagi serantau. Kekosongan, kami anggap “bukanlah akhir daripada waktu, melainkan akhir daripada stagnasi.” Jika ruang ini tidak diisi agenda mandiri yang adil, ia akan diisi oleh projek pihak lain. Namun, saat ini Timur Tengah memiliki kesempatan –untuk pertama kalinya dalam satu abad– untuk merumuskan keseimbangannya sendiri, bukan sekadar kembali dibentuk daripada campur tangan luar.
Dengan demikian, berakhirnya hegemoni Amerika bukanlah tragedi bagi dunia, melainkan awal daripada sebuah sejarah baru. Sejarah yang kali ini mungkin ditulis oleh Timur, bukan sekadar sejarah yang menjelaskan Timur Tengah.
Sumber: Prof. M. Malkawi, Nihāyah al-Haimanah al-Amrīkīyyah wa Su‘ūd al-Farāgh al-Jiyūsīyāsī fī asy-Syarq al-Ausath, Qirā’ah fī at-Taḥawwul al-‘Ālamī min “Namūdzaj asy-Syarq al-Ausath al-Amrīkī” ilā ‘Ālam mā Ba‘d al-Quthbīyyah. Al-Wa’ie Arab edisi 473, tahun XXXIX, Jumada al-Akhirah 1447 H/ Disember 2025 M. Terjemahan asal: Yan S. Prasetiadi
#HagemoniAS #KeruntuhanAS #PeradabanBarat