Alpha Woman, Tipu Daya “Wanita Tangguh” ala Kapitalisme
Penulis: Dra. Irianti Aminatun
Fenomena alpha woman atau alpha female muncul pada era moden ini. Alpha woman (wanita kuat) ialah istilah untuk menggambarkan wanita yang berkarakter kuat, berani, dan penuh keyakinan diri. Alpha woman ditandai dengan beberapa ciri khas seperti ketegasan, kemampuan komunikasi yang baik, serta keyakinan diri yang tinggi. Mereka tidak takut bersuara, bercita-cita tinggi, tidak takut mengambil risiko, dan memperjuangkan apa yang diyakini benar. Mereka juga memiliki tahap berdikari yang tinggi. Daripada bergantung kepada orang lain, alpha woman terbiasa mengandalkan kemampuan diri sendiri untuk menghadapi cabaran.
Kehadiran alpha woman seolah-olah menjadi bukti bahawa wanita boleh berada di barisan hadapan, baik dalam dunia profesional, sosial, mahupun kehidupan peribadi. Keberanian mereka digambarkan berjaya menembusi batasan dan menjadi inspirasi bahawa wanita memiliki kapasiti yang sama dengan lelaki dalam perkara kepimpinan dan pencapaian.
Dalam dunia nyata, tokoh seperti Najwa Shihab dan Alanda Kariza sering direpresentasikan sebagai model dari alpha woman ini. Manakala dalam dunia fiksyen pula, terdapat Wulan di filem Gundala, Alana dalam filem Sri Asih, Kinan dalam siri Layangan Putus.
Sepintas lalu, kehadiran alpha woman menjadi harapan bagi para wanita—khususnya wanita muda—sebagai role model kejayaan hidup. Namun, benarkah demikian?
Munculnya Alpha Woman Mendukung Kesetaraan Gender
Istilah alpha woman atau alpha female hanyalah mata rantai daripada kesetaraan gender yang dibawa oleh Barat penganut kapitalisme. Kapitalisme memandang bahawa diskriminasi gender merupakan masalah serius sejak dahulu lagi. Oleh itu, pada tahun 1946, PBB membentuk Commission on the Status of Women (CSW) untuk mempromosikan hak-hak wanita. Pada tahun 1979, Majlis Umum PBB mengadaptasi Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) yang sering disebut sebagai piagam hak asasi wanita antarabangsa.
PBB juga telah menganjurkan pelbagai persidangan dunia berkaitan kesetaraan gender. Persidangan pertama di Mexico City pada tahun 1975 menghasilkan Pelan Tindakan Sedunia (World Plan of Action) yang bertujuan untuk mengintegrasikan wanita ke dalam pembangunan ekonomi dan sosial.
Persidangan kedua pada tahun 1980 di Copenhagen menekankan tiga bidang utama, iaitu kesetaraan dalam akses pendidikan, peluang pekerjaan, dan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi. Persidangan ketiga mengenai wanita di Nairobi pada tahun 1985 menghasilkan Nairobi Forward-Looking Strategies for the Advancement of Women yang menetapkan langkah-langkah untuk mencapai kesetaraan menjelang tahun 2000. Seterusnya persidangan keempat mengenai wanita di Beijing pada tahun 1995 dianggap sebagai persidangan terbesar dan paling berpengaruh dengan menghasilkan Beijing Declaration and Platform for Action yang memfokuskan kepada 12 bidang utama yang menjadi perhatian untuk memastikan kesetaraan gender dan pemerkasaan wanita.
PBB secara berkala melakukan sesi semakan dan penilaian terhadap Platform Tindakan Beijing setiap lima tahun sekali. Yang terbaru ialah Beijing+25 pada tahun 2020 untuk menilai kemajuan dan menangani cabaran baharu dalam kesetaraan gender. Konsep kesetaraan ini menuntut agar posisi, status, tahap sosial antara lelaki dan wanita mesti seimbang, terutama dalam kepimpinan dan peluang untuk mengembangkan diri.
Tipu Daya Kapitalisme
Daripada rentetan panjang “perjuangan” kesetaraan gender, profil alpha woman sengaja ditampilkan untuk mendorong wanita mengenal pasti diri sebagaimana diinginkan oleh kapitalisme, iaitu wanita yang mahu terlibat dalam roda ekonomi, serta memiliki pedapatan dan kebebasan dalam menentukan pembelanjaan.
Wanita bekerja didefinisikan sebagai simbol kemerdekaan, pemerkasaan, dan harga diri ekonomi. Targetnya jelas, iaitu pertumbuhan ekonomi. Bank Dunia meramalkan penyertaan wanita dapat menambah KDNK Indonesia sehingga 9% menjelang 2030. Kapitalisme tidak peduli keluarga terabai, asalkan mesin KDNK terus berputar.
Dalam bidang politik dan kepimpinan, Barat sering menggambarkan bahawa semakin ramai ahli parlimen atau penguasa wanita, semakin banyak peraturan yang memihak kepada wanita dapat dihasilkan sehingga mampu menyelesaikan pelbagai masalah mereka. Untuk tujuan itu, ditetapkan kuota 30% wanita dalam keanggotaan parlimen sebagai syarat verifikasi parti politik.
Wanita juga didorong maju menjadi penguasa atau ketua daerah hingga ketua negara demi merealisasikan kesetaraan politik, serta melahirkan peraturan dan anggaran responsif gender.
Padahal hakikatnya, penerapan kapitalisme telah menciptakan kemiskinan global, pelbagai ketidakseimbangan, dan ketidakadilan. Kemiskinan inilah yang mendorong wanita keluar rumah dan membina kerjaya demi membantu menopang ekonomi keluarga. Kapitalisme juga tidak kehabisan akal melakukan tipu daya bagi menghilangkan jejak kerosakan yang diciptakannya. Sistem ini menjadikan isu kesetaraan gender sebagai bahan bakar untuk terus mengeksploitasi wanita melalui slogan pemerkasaan.
Kapitalisme mencipta pelbagai “alibi” agar dapat mencuci tangan daripada pelbagai kerosakan yang ia ciptakan. Wanita lalu diumpan dengan slogan kebebasan menentukan hak sendiri agar teralihkan daripada mengkritik sistem rosak ini. Dengan isu ini, wanita seolah-olah mendapat legitimasi untuk berdikari secara ekonomi, mengembangkan diri dalam kepimpinan, dan penyertaan sosial, sebagaimana konsep alpha woman sambil membiarkan fitrah mereka sebagai ibu dan isteri tercabut. Kesetaraan gender menjadi isu utama agar wanita di seluruh dunia berada dalam semangat perjuangan yang sama.
Tidak Ada Sebarang Kebaikan
Konsep kesetaraan gender—termasuk konsep alpha woman—tidak akan memberikan sebarang solusi, selain hanya menambah panjang masalah wanita. Kesetaraan gender telah menjadikan wanita berlumba-lumba memperkasakan diri dalam dunia pekerjaan, berdikari secara ekonomi, tidak bergantung kepada lelaki, tidak perlu membina keluarga, malah memilih childfree.
Padahal faktanya, wanita dieksploitasi dengan gaji murah dan menghadapi risiko keganasan fizikal mahupun seksual di tempat kerja. Institusi keluarga menjadi rapuh dan anak-anak terabai sehingga terjebak dalam pelbagai masalah. Budaya childfree juga akan menyebabkan depopulasi global. Ini sudah dirasai di negara seperti Jepun, China, dan Korea Selatan.
Di sisi lain, wanita juga dijadikan sumber keuntungan bagi korporat melalui pelbagai produk barangan dan perkhidmatan yang digunakan. Daripada hidup sejahtera, wanita akhirnya menjadi mangsa konsumerisme. Gaya hidup hedonistik pula menjajah wanita kerana dianggap dapat mengangkat status sosial mereka. Inilah kesan apabila material menjadi ukuran utama dalam kehidupan. Para wanita perlu bertungkus-lumus dari pagi hingga petang, malah malam, atau dari malam hingga pagi semula, demi sebuah kemandirian dan kebebasan atas nama “kesetaraan”.
Apa yang akhirnya diperoleh? Tenaga pun kehabisan, keletihan luar biasa, sedangkan anak di rumah yang menunggu senyuman dan belaian lembut tangan ibunya, akhirnya terpaksa kecewa. Ini kerana, ketika ibunya pulang, dia sudah tertidur keletihan menunggu ibu tercinta.
Sesungguhnya, selama standard yang digunakan ialah sistem sekular kapitalisme yang melahirkan kesetaraan gender, tidak akan ada sebarang kebaikan bagi wanita, keluarga, dan masyarakat. Lebih-lebih lagi, kesetaraan gender juga bertentangan dengan Islam. Kesetaraan gender yang mengalihkan kepimpinan lelaki kepada wanita dalam rumah tangga, hilangnya kewajipan mencari nafkah daripada bahu suami, terhapusnya ketaatan kepada suami dan hukum nusyuz (kerana dianggap sebagai keganasan terhadap wanita) sesungguhnya bertentangan dengan hukum Allah dalam Surah An-Nisa ayat 34. Oleh itu, setiap Muslim mahupun Muslimah tidak boleh mengambil, apatah lagi memperjuangkan idea kesetaraan gender beserta cabang-cabang ideanya seperti alpha woman atau alpha female.
Kembali kepada Islam
Islam sebagai ideologi memiliki karakter ideal yang jelas bagi Muslim mahupun Muslimah. Muhammad Ismail dalam kitab Fikrul Islam menjelaskan bahawa Islam telah memperbaiki diri manusia secara sempurna untuk mewujudkan suatu sahsiah (keperibadian) tertentu yang khas dan berbeza dengan yang lain.
Islam telah memperbaiki pemikiran (aqliah) dengan akidah Islam, iaitu menjadikan akidah sebagai landasan berfikir yang menjadi asas pemikiran manusia yang membentuk pemahaman-pemahamannya sehingga mampu membezakan antara pemikiran yang benar dan yang salah ketika melakukan standardisasi suatu pemikiran dengan akidah Islam. Dengan demikian, manusia akan selamat daripada tergelincir, kesalahan, dan kerosakan berfikir. Mereka akan tetap benar dalam berfikir dan tepat dalam memahami segala sesuatu.
Demikian juga dengan nafsiah Islam, iaitu menjadikan seluruh kecenderungannya berdasarkan akidah Islam. Maksudnya, seseorang menjadikan akidah Islam sebagai satu-satunya standard umum dalam aktiviti memenuhi keperluan (jasmani dan naluri).
Islam telah menanamkan dalam diri manusia suatu kaedah berfikir yang pasti, yang berfungsi sebagai tolok ukur yang tetap bagi pelbagai pemahaman serta kecenderungan mereka pada masa yang sama. Ini akan menghasilkan suatu keperibadian khas yang berbeza daripada keperibadian yang lain.
Dengan demikian, Muslimah wajib membangunkan keperibadiannya dengan keperibadian Islam, baik akliah mahupun nafsiah wajib berlandaskan pada akidah Islam. Muslimah wajib mengenal pasti dirinya sesuai dengan akidah ini.
Kedudukan Lelaki dan Wanita dalam Islam
Islam memandang lelaki dan wanita sama dari sudut kemanusiaan, iaitu sebagai makhluk Allah. Mereka sama-sama mempunyai akal, perasaan, ingin dihormati, dan sebagainya. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya, Nizham al-Ijtimaiy fil Islam, menjelaskan bahawa satu-satunya sistem yang mampu menjamin ketenteraman hidup dan mampu mengatur hubungan antara lelaki dan wanita secara fitrah hanyalah sistem pergaulan lelaki dan wanita dalam Islam. Sistem ini membolehkan manusia menikmati kehidupan, meraih prestasi, dan kedudukan secara optimum dengan mengikuti hukum yang telah ditetapkan.
Islam juga telah menetapkan pelbagai hukum untuk manusia berdasarkan sifat mereka sebagai manusia. Dengan meneliti seluruh nas, terdapat hak dan kewajipan yang sama bagi wanita dan lelaki seperti solat, puasa, zakat dan haji. Terdapat juga hak dan kewajipan yang berbeza antara lelaki dan wanita, seperti batas aurat, peranan dalam keluarga, hukum bekerja, kewajipan nafkah, kepimpinan, pemerintahan, persaksian, imam solat, dan lain-lain.
Perbezaan hukum ini tidak menjadikan wanita hina, sebab dalam Islam, kemuliaan manusia terletak pada ketakwaannya kepada Sang Pencipta. Allah Taala berfirman, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (TMQ al-Hujurat [49]: 13).
Demikian juga dengan peranan wanita di sektor publik. Peranan ini hakikatnya sama seperti hak yang Allah berikan kepada lelaki. Keterlibatan lelaki dan wanita di sektor awam secara automatik membuka peluang kepada kedua-duanya untuk melakukan aktiviti politik. Syeikh Abdul Qadim Zallum dalam kitab al-Afkaru Siyasi mendefinisikan bahawa politik adalah mengatur urusan umat.
Aktiviti politik bukan hanya untuk lelaki kerana wanita juga adalah sebahagian yang tidak terpisahkan daripada umat. Nas berkaitan kewajipan melakukan aktiviti politik ini banyak terdapat dalam dalil sama ada daripada al-Quran mahupun sunah Rasulullah. Allah SWT berfirman, “Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat, yang menyeru kebaikan (Islam), memerintahkan yang makruf dan mencegah kemungkaran…” (TMQ Ali Imran [3]: 104).
Apabila lelaki dan wanita mampu menjalankan peranan dan kedudukan masing-masing sesuai tuntunan Islam, maka kemuliaan dan kebahagiaan akan dapat diraih. Apabila wanita dapat menjalankan peranan utamanya sebagai ummun wa rabbatul bait secara maksimum dan melaksanakan kewajipan lainnya, maka kemuliaan dapat dicapai.
Dengan demikian, arah pemerkasaan wanita menurut perspektif Islam ialah usaha mencerdaskan wanita sehingga mampu berperanan menyempurnakan seluruh kewajipan yang datang daripada Allah Taala, sama ada sebagai ummun wa rabbatul bait mahupun sebagai sebahagian daripada masyarakat. Ke arah itulah aktiviti pemerkasaan wanita diarahkan.
Islam juga menetapkan negara sebagai pengatur urusan umat yang wajib memenuhi keperluan umat, lelaki mahupun wanita. Islam mempunyai mekanisme sempurna yang menjamin pemenuhan keperluan asas setiap individu rakyat sehingga peranan fitrah wanita sebagai isteri dan ibu generasi dapat dilaksanakan dengan baik.
Islam memiliki struktur jaminan nafkah berlapis bermula daripada suami atau ayah sebagai penanggungjawab mutlak nafkah wanita. Seterusnya, kerabat dekat (mahram), jika suami meninggal dunia atau tidak mampu, kewajipan automatik berpindah kepada bapa saudara, saudara lelaki, atau mahram lainnya. Jika saluran keluarga juga tidak mampu, negara akan menanggung nafkah wanita secara penuh, bukan sekadar bantuan ala kadar.
Struktur ini secara sistematik menghapuskan keperluan wanita untuk memikul beban sebagai pencari nafkah utama, sehingga peranan sebagai ummun wa rabbatul bait dan ummu ajyal dapat ditunaikan secara sempurna. Walaupun peranan ini dianggap tidak mendatangkan nilai ekonomi, Islam menganggap peranan wanita ini sangat mulia dan sangat strategik kerana berpengaruh terhadap pembentukan generasi dan terwujudnya peradaban mulia.
Bekerja bagi wanita hukumnya harus (mubah) sebagai satu pilihan, bukan keharusan bertahan hidup sehingga menyebabkan tugas utama terabai. Di sektor awam, wanita hadir mencurahkan ilmu sebagai subjek peradaban; sebagai guru, doktor, ilmuwan yang menyumbang kepada kemaslahatan umat, tanpa mengabaikan tugas utama; bukannya menjadi objek eksploitasi ekonomi seperti dalam sistem kapitalisme.
Kesimpulannya, keterlibatan wanita di luar rumah bukan untuk mengejar gelaran “independen”, tetapi kerana dorongan ketakwaan kepada Allah dan mendedikasikan ilmunya demi kemaslahatan umat. Wanita terjun dalam dunia politik bukan demi kesetaraan gender, tetapi untuk melaksanakan perintah Allah, iaitu melakukan muhasabah dan amar makruf nahi mungkar sebagaimana termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 110.
Demikianlah kesempurnaan sistem kehidupan Islam, sistem yang datang langsung daripada Zat Yang Maha Sempurna. Islam memuliakan wanita, membebaskan mereka daripada himpitan tekanan ekonomi, melindungi daripada eksploitasi, dan memelihara mereka sebagai tiang peradaban.
Sudah tiba masanya para Muslimah kembali kepada aturan yang datang daripada Allah Taala. Hanya aturan yang datang daripada Sang Maha Pencipta dan Maha Pengatur yang mampu menyelesaikan masalah manusia, sama ada lelaki atau wanita, dan akan memberikan ketenteraman pada bila-bila masa dan di mana sahaja berada. Allah Taala mengingatkan, “Maka jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku, lalu barang siapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka.” (TMQ Thaha [20]: 123).
***Sumber asal dengan sedikit suntingan: https://muslimahnews.net/2026/03/29/41499/
#feminisme #alphawoman #kesetaraangender