“New Gaza”, Hegemoni AS-Israel Menentukan Wujudnya Kekuatan Politik Islam Ideologi Satu Kemestian
Penulis: Besse Megawati
Gaza bukan sekadar wilayah konflik, malah merupakan simpul sejarah, politik, dan peradaban. Sejak zaman pertengahan sehinggalah era moden, wilayah Palestin (termasuk Gaza) berulang kali menjadi medan perebutan kuasa global. Begitu juga dengan usaha genosid di Gaza yang terus berlaku dan berulang kembali sepanjang tempoh lebih dua tahun kebelakangan ini.
Beberapa orang pegawai Israel secara terbuka menyeru penghancuran Gaza dan pemindahan paksa penduduknya, yang sememangnya bercanggah dengan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) terlibat secara aktif dalam wacana dan perancangan pembangunan semula Gaza pasca-perang menerusi pendekatan kestabilan dan keselamatan mengikut versi kepentingan mereka yang dinamakan sebagai “Gaza Baharu” (New Gaza).
Adapun gambaran umum rancangan “New Gaza” yang dirangka oleh AS dan sekutunya—berdasarkan pelbagai laporan antarabangsa terkini mengenai perancangan dan usaha pentadbiran AS untuk Gaza pasca-perang di luar konteks ketenteraan—adalah dalam bentuk pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam moden, insentif ekonomi dan teknologi bandar pintar, pemerintahan sementara antarabangsa, sehinggalah kepada penyusunan semula keselamatan dan pelucutan senjata (disarmament).
“New Gaza” dan Ambisi Politik AS
Rancangan pembangunan “New Gaza” tidak boleh dipisahkan daripada ambisi politik AS dan Israel. Pembangunan ini bukan sekadar projek kemanusiaan, malah berpotensi menjadi kaedah baharu untuk menguasai Gaza selepas kemusnahan besar yang berlaku. Bukannya membincangkan jenayah perang, genosid, dan tanggungjawab undang-undang, dunia sebaliknya dihalakan untuk memberikan tumpuan kepada pembinaan semula dan masa hadapan.
Walhasil, jenayah masa lalu berisiko ditutup oleh narasi pembangunan dan para pelaku terlepas daripada pertanggungjawapan. Inilah yang dinamakan sebagai impuniti. Apabila keselamatan, dana, dan tatakelola Gaza dikendalikan oleh pihak luar, maka Gaza tidak lagi diduduki dengan kekuatan ketenteraan semata-mata, sebaliknya dikuasai melalui projek pembangunan dan institusi antarabangsa. Bentuk penjajahan berubah, namun hakikatnya tetap sama.
Hal ini tidak terlepas daripada kepentingan strategik AS yang begitu kuat di Gaza dan Timur Tengah. Antaranya, pertama, kepentingan geopolitik. Rantau Timur Tengah merupakan kawasan strategik global kerana menjadi simpanan tenaga dunia, jalur perdagangan antarabangsa, dan kedudukan geopolitik merentas benua. Kawalan ke atas rantau ini membolehkan AS mengekalkan statusnya sebagai kuasa global yang dominan.
Kedua, kestabilan sebagai instrumen hegemoni yang dibawa oleh AS bukannya keadilan substantif, melainkan sekadar kawalan konflik, jaminan keselamatan terhadap kepentingan sekutu, dan kepatuhan aktor tempatan terhadap tatanan global sedia ada. “New Gaza” berpotensi menjadi alat penstabilan politik pascakonflik yang mengukuhkan hasil pencerobohan tanpa menyelesaikan akar kezaliman.
Ketiga, pencegahan kebangkitan kuasa alternatif yang mana AS secara konsisten berupaya untuk menghalang kemunculan kuasa serantau yang bebas, penyatuan politik yang berpotensi mencabar hegemoni global, serta sistem nilai alternatif terhadap liberal-kapitalisme.
Adapun hubungan politik AS-Israel merupakan satu perikatan strategik simbiotik, bukannya hubungan yang neutral. Hal ini kerana Israel bertindak sebagai aset strategik yang berfungsi sebagai rakan ketenteraan dan perisikan, penjaga kepentingan Barat di Timur Tengah, serta pengimbang kepada kuasa serantau yang tidak sehaluan. Perlindungan politik dan impuniti daripada AS secara konsisten melindungi Israel di forum antarabangsa, melemahkan mekanisme undang-undang global, sehinggalah kepada mengutamakan kepentingan strategik mengatasi keadilan sejagat.
Hubungan ini kemudiannya menjadikan Palestin bukan sebagai subjek kedaulatan, sebaliknya sekadar objek pengurusan konflik. AS dan Israel mempunyai beberapa kepentingan strategik terhadap “New Gaza”, iaitu sebagai legitimasi politik pascakonflik. Pembangunan digunakan untuk menormalisasikan keadaan selepas berlakunya keganasan tanpa sebarang akauntabiliti undang-undang. Di bawah pengendalian “kedaulatan tidak langsung” melalui mekanisme antarabangsa dan dewan khas, Gaza berpotensi diuruskan tanpa pendudukan formal, mengakibatkan penghapusan naratif sejarah perjuangan, sehinggalah kepada pembinaan semula fizikal yang tidak disertai keadilan yang berisiko mengubur memori kolektif terhadap penindasan.
Untuk memperkukuh kedudukan kawalan politik antarabangsa, AS turut membentuk Lembaga Keamanan (Board of Peace – BoP) dengan melibatkan aktor antarabangsa dan merangkul sebahagian negara Islam. Semua itu dilakukan sebagai muslihat untuk menguasai dan mengendalikan Gaza secara menyeluruh. BoP menjadi instrumen kawalan politik antarabangsa AS ke atas rantau tersebut.
Berdasarkan logik “merangkul negara-negara Islam” dalam politik antarabangsa, AS jarang bertindak sendirian secara terang-terangan. Pola yang sering digunakan adalah melalui multilateralisasi konflik (menjadikannya seolah-olah urusan bersama), melibatkan aktor serantau agar dominasi tidak kelihatan kasar, serta memberikan wajah legitimasi moral terhadap dasar yang hakikatnya bersifat strategik.
“Rangkulan” ini hakikatnya merupakan usaha untuk meredam penentangan (resistance) umat Islam global, sekali gus mewujudkan tanggapan bahawa pengurusan Gaza dipersetujui oleh dunia Islam, selain memecahbelahkan solidariti politik umat kepada kepentingan nasional masing-masing. Ini bukanlah perkara baharu. Dalam sejarah kolonial moden, kuasa-kuasa besar sentiasa menggunakan elit tempatan dan sekutu serantau untuk mengurus wilayah konflik.
Secara struktural, lembaga seperti BoP ini berpotensi untuk tidak dipilih oleh rakyat Gaza, tidak bertanggungjawab kepada rakyat Palestin, serta tunduk kepada seni bina politik dan pendanaan AS serta sekutunya.
Ini bermakna, kawalan politik dijalankan tanpa pendudukan langsung (pemerintahan tidak langsung/indirect rule atau tatakelola neokolonial). Dalam istilah politik, Gaza tidak dikuasai secara ketenteraan sepenuhnya, sebaliknya “dikunci” dari segi pentadbiran, ekonomi mahupun keselamatan.
Mengapakah AS memerlukan “wajah Muslim”? Sekurang-kurangnya terdapat tiga kepentingan utama. Pertama, legitimasi antarabangsa dengan melibatkan negara Islam. AS boleh mendakwa, “Ini bukan agenda Barat atau Israel, tetapi kesepakatan antarabangsa.”
Kedua, peneutralan naratif penindasan. Jika negara Islam turut menganggotai lembaga tersebut, sebarang kritikan akan dianggap sebagai “ekstrem” atau “tidak konstruktif”, malah perjuangan Palestin boleh disempitkan menjadi isu keselamatan semata-mata.
Ketiga, pencegahan konsolidasi politik umat. Penyatuan umat Islam secara politik merupakan pemboleh ubah yang paling ditakuti dalam geopolitik global. Lembaga seumpama ini sebenarnya memecahbelahkan pendirian umat, mengalihkan fokus daripada keadilan kepada kestabilan, serta menjinakkan potensi penentangan politik kolektif.
Pembebasan Gaza Memerlukan Kekuatan Politik Islam
Wilayah Gaza dan Palestin pada hakikatnya adalah tanah milik umat Islam yang dirampas oleh Israel. Dalam sejarah awal Islam, Palestin (Gaza), Al-Quds (Jerusalem/Baitulmuqaddis), dan wilayah sekitarnya, berada di bawah kekuasaan Islam pada abad ke-7 Masihi. Pada tahun 636–638 M, wilayah Syam (termasuk Palestin) telah dibuka oleh kekhalifahan Islam pada zaman Umar bin al-Khattab. Pembukaan ini bukan sekadar tindakan ketenteraan, malah diikuti dengan pemerintahan Islam yang sah, pentadbiran negara, hukum Islam, serta pengurusan tanah jangka panjang. Sejak itu, Palestin menjadi sebahagian daripada wilayah politik Islam selama lebih 1,300 tahun—dengan selang masa yang singkat semasa Perang Salib.
Seterusnya, Palestin berada di bawah naungan Kekhalifahan Uthmaniyyah sehingga Perang Dunia Pertama. Tanah Palestin tercatat dalam Hukum Tanah Uthmaniyyah, diuruskan sebagai wilayah Islam, dan tidak pernah menjadi tanah kosong (terra nullius). Palestin bukannya tanah tanpa pemilik ketika Zionis datang.
Terputusnya kekuasaan Islam di sana berlaku disebabkan oleh kolonialisme. Pasca-Perang Dunia Pertama, Kekhalifahan telah runtuh. British kemudian menguasai Palestin melalui mandat British, bukannya melalui persetujuan rakyat Palestin. Seterusnya, berlaku Deklarasi Balfour, penghijrahan Zionis secara besar-besaran, serta pemindahan milik tanah melalui tekanan, undang-undang kolonial, dan kekerasan. Ini bermakna, umat Islam tidak pernah menyerahkan Palestin, tetapi kehilangan kawalan politiknya akibat kolonialisme. Dalam hukum Islam, perampasan secara paksa tidak menghapuskan hak pemilikan.
Sesungguhnya, Allah SWT melarang umat Islam daripada tunduk patuh dan memberikan kesetiaan (loyaliti) kepada negara kafir; umat dan penguasa dunia Islam wajib menentang segala makar (tipu daya) yang bertujuan untuk menguasai umat Islam, termasuk di Gaza. Dalam Islam, kesetiaan politik dan strategik bukan sekadar mengenai pergaulan biasa, malah melibatkan siapa yang ditaati, siapa yang dijadikan pelindung, dan siapa yang menentukan hala tuju umat.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 51:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوْلِيَآءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُۥ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّٰلِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat (pelindung/pemimpin); kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain. Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”
Berdasarkan penjelasan ulama, awliyā’ bukan sekadar teman, tetapi pelindung politik, penentu dasar, serta pihak yang ditaati dan disandarkan harapan. Larangan ini bersifat politik-strategik, bukannya perhubungan sosial seharian. Maknanya, Islam melarang umat daripada menjadikan kekuatan kafir yang memusuhi Islam sebagai penentu hala tuju politik umat.
Terkait larangan tunduk kepada kekuasaan yang menindas, Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 144:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلْكَٰفِرِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat (pelindung) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.”
Ayat ini menegaskan bahawa tindakan tunduk dan patuh kepada kekuatan yang memusuhi umat, mahupun menyerahkan urusan umat kepada mereka, bukanlah satu sikap neutral, sebaliknya merupakan pengkhianatan terhadap amanah umat. Manakala mengenai makar terhadap umat Islam, Al-Quran sangat realistik tentang politik antarabangsa. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat 30:
وَاِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا لِيُثْبِتُوْكَ اَوْ يَقْتُلُوْكَ اَوْ يُخْرِجُوْكَۗ وَيَمْكُرُوْنَ وَيَمْكُرُ اللّٰهُۗ وَاللّٰهُ خَيْرُ الْمٰكِرِيْنَ ٣٠
“Dan (ingatlah) ketika orang-orang kafir itu menjalankan tipu daya terhadapmu… dan Allah jua sebaik-baik yang membalas tipu daya.”
Ayat ini menunjukkan bahawa makar adalah satu kemestian politik. Umat tidak boleh naif; kesedaran politik adalah sebahagian daripada iman. Umat dan penguasa Muslim wajib melawan dengan cara yang sah dan bermartabat kerana Islam mewajibkan penolakan terhadap kezaliman.
Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 75:
وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُوْنَ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاۤءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَآ اَخْرِجْنَا مِنْ هٰذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ اَهْلُهَاۚ وَاجْعَلْ لَّنَا مِنْ لَّدُنْكَ وَلِيًّاۚ وَاجْعَلْ لَّنَا مِنْ لَّدُنْكَ نَصِيْرًا ٧٥
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk membela) orang-orang yang lemah dari kalangan lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang berdoa: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang penolong (yang membela kami)’.”
Dalam tafsir klasik, berjuang (jihad) merangkumi perjuangan politik, undang-undang, dakwah, dan perlindungan umat. Ia tidak semata-mata identik dengan perang fizikal, malah sentiasa terikat dengan syarat, autoriti yang sah, dan kemaslahatan. Kedudukan penguasa dunia Islam (mengikut fiqh siyasah) adalah sebagai wakil umat yang memikul amanah perlindungan, bukannya ketundukan kepada kuasa asing.
Nabi SAW bersabda: “Imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pelindung) dan dia akan dipertanggungjawabkan ke atas rakyatnya.” [HR Bukhari-Muslim].
Khatimah
Oleh itu, menyerahkan urusan Gaza kepada kekuatan penindas, mahupun turut serta mengukuhkan hasil kezaliman, jelas bercanggah dengan amanah syarie. Projek politik yang dikendalikan oleh AS-Israel melalui “Lembaga Keamanan” tanpa kedaulatan rakyat Gaza, yang bertujuan menormalisasikan hasil penindasan, juga bertentangan dengan prinsip wala’, keadilan, dan amanah umat.
Menolak semua itu bukanlah satu ekstremisme, sebaliknya merupakan konsistensi akidah dan etika politik Islam. Penindasan yang dilakukan ke atas Gaza bukan kerja individu, tetapi merupakan kerja negara dan sistem. Walhasil, kaum Muslimin tidak boleh menghadapinya secara individu; maka kewujudan institusi negara dan kekuatan politik adalah satu keperluan mutlak. Negara harus dilawan dengan negara, sistem harus dilawan dengan sistem.
Dalam pandangan Islam, membiarkan kezaliman dan penjajahan berterusan merupakan satu bentuk kegagalan dalam menunaikan amanah kepemimpinan. Oleh itu, perjuangan membela Palestin harus diletakkan sebagai keutamaan kolektif umat melalui penentangan politik dan mobilisasi pendapat umum (opini) global. Islam menuntut hadirnya kepimpinan politik umat yang mandiri, berdaulat, dan berpihak kepada keadilan, bukannya tunduk kepada hegemoni kuasa besar. Perjuangan ini mesti dilakukan secara terancang dan bermartabat. Begitu juga, usaha menegakkan Khilafah dan berjihad untuk membebaskan Palestin wajib menjadi keutamaan perjuangan umat bersama jemaah politik Islam yang ideologi.
Wallahualam.
#NewGaza #Gaza #Palestin #FreePalestine #ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza