Sudan Pasca RSF Menguasai Bandar Al-Fashir
Soalan:
Massad Boulos, Penasihat Kanan Presiden AS Donald Trump untuk Hal Ehwal Timur Tengah, menegaskan bahawa tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah bersetuju untuk gencatan senjata selama tiga bulan, berdasarkan rancangan “The Quartet” yang merangkumi UAE, AS, Arab Saudi dan Mesir, yang diumumkan pada 12 September 2025 (Sky News Arabia, 3/11/2025).
Persetujuan kedua-dua pihak Sudan—rejim (tentera) dan RSF—terhadap rancangan Amerika ini datang selepas RSF berjaya menguasai bandar Al-Fashir di Sudan. Dari sini timbul persoalan:
Apa di sebalik persetujuan terhadap rancangan Amerika ini? Bagaimana pula pasukan RSF boleh menguasai Al-Fashir, ibu kota wilayah Darfur, sedangkan bandar itu besar, kuat dan telah dipertahankan dengan gigih oleh tentera Sudan dalam jangka masa yang lama? Bagaimana bandar itu akhirnya jatuh? Apa kesan serta akibatnya?
Jawapan:
Supaya jawapannya jelas, mari kita teliti perkara-perkara berikut ini.
Pertama: Al-Jazeera melaporkan di laman webnya pada 28/10/2025: “Pasukan Sokongan Pantas pada pagi Ahad mengumumkan penguasaan ke atas bandar Al-Fashir, selepas pengepungan lebih daripada setahun. Ini bermakna kekuatan RSF kini merangkumi kesemua lima negeri Darfur. Dengan demikian Sudan terbahagi dua: bahagian timur di bawah kawalan tentera dan bahagian barat di bawah kawalan RSF.”
Daripada ringkasan ini jelas bahawa penguasaan RSF ke atas Al-Fashir bukan sekadar kemenangan dalam satu pertempuran bandar, tetapi penguasaan ke atas seluruh wilayah Darfur sepenuhnya. Sedangkan RSF sejak setahun lalu mengepung bandar itu tanpa memiliki persenjataan besar yang mampu menakluk pasukan awam yang mempertahankan bandar tersebut dengan baik selama setahun penuh. Namun, tiba-tiba kerajaan al-Burhan menyerahkan bandar itu kepada pemberontak pemisah Hamdan Dagalo (Hemedti) secara terang-terangan tanpa berselindung. Al-Burhan berkata, “Rakyat Sudan dan tentera akan menang. Keputusan pimpinan di Al-Fashir adalah meninggalkan bandar kerana telah mengalami kemusnahan sistematik.” (Al-Jazeera.net, 27/10/2025).
Dia lalu menambahkan janji kosong, “Pasukan kami mampu membalikkan keadaan dan merebut kembali wilayah yang hilang.”
Sumber tentera Sudan menyatakan kepada Al-Jazeera, “Tentera Sudan mengosongkan markas divisyen di Al-Fashir atas alasan taktikal.” (Al-Jazeera.net, 27/10/2025).
Kedua pernyataan ini secara terang-terangan menyatakan bahawa tentera sendiri yang meninggalkan Al-Fashir, menyerahkan bandar itu kepada RSF.
Kedua: Kerajaan al-Burhan tidak memberikan sokongan tentera dan logistik kepada pasukannya yang terperangkap di Al-Fashir sepanjang setahun penuh. Sedangkan markas utama mereka mampu melakukannya.
Ini menunjukkan bahawa rancangan untuk menyerahkan bandar itu memang disengajakan supaya sektor pasukan di sana runtuh dengan sendirinya.
Ketiga: Penyerahan bandar ini bertepatan dengan pertemuan di Washington yang diatur Amerika antara kedua-dua fraksi Sudan untuk membincangkan gencatan senjata.
Dipetik oleh Al-Arabiya (24/10/2025): “Menteri Luar Negeri Sudan, Mohyiddin Salem, tiba di AS untuk membincangkan usaha menghentikan perang Sudan yang telah berlangsung dua tahun.” Maksudnya, Amerika telah mempertemukan dua ejennya—al-Burhan dan Hemedti—di Washington.
Penolakan Dewan Kedaulatan Sudan terhadap berita rundingan hanyalah bukti sebaliknya, kerana hasilnya terus kelihatan: dua-tiga hari selepas itu Bandar Al-Fashir diserahkan!
Selain itu, negara-negara “The Quartet” (AS, Arab Saudi, UAE, dan Mesir) juga mengadakan mesyuarat di Washington dengan wakil kedua-dua pihak untuk menekan mereka agar bersetuju dengan gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan.
Kesesuaian waktu antara jatuhnya Al-Fashir dan mesyuarat Washington membuktikan bahawa keputusan untuk menyerahkan bandar itu diambil di Washington, dan pelaksanaannya berlaku serta-merta di lapangan.
Keempat: Pertemuan “The Quartet” ini sebenarnya adalah langkah kedua selepas Amerika mengumpulkan sekutunya untuk melaksanakan rancangan menghentikan peperangan di Sudan.
Pernyataan bersama pada 12/9/2025 menegaskan: “Masa depan pentadbiran Sudan akan ditentukan melalui proses peralihan yang inklusif dan telus, tidak dikuasai oleh mana-mana pihak.”
Namun, isinya juga mengiktiraf kedua-dua pihak secara setara, termasuk RSF yang jelas-jelas pemberontak. Ini bermakna Amerika mengiktiraf kewujudan RSF sebagai pihak sah dalam konflik, bukan sebagai kumpulan pemisah.
Kelima: Setelah RSF menguasai Al-Fashir, bermakna mereka menguasai seluruh Darfur. Gencatan senjata tiga bulan yang dicadangkan Amerika adalah pengiktirafan politik terhadap kuasa RSF ke atas wilayah itu.
Amerika kini membuka jalan bagi kerajaan pemisah Hemedti yang sebelum ini diumumkan di Nairobi pada Februari 2025 untuk memindahkan ibu pejabatnya secara rasmi ke Al-Fashir.
Keenam: Sikap Amerika sangat jelas: tidak mengecam perebutan Al-Fashir. AS malah mendorong langkah berikutnya, iaitu pelaksanaan gencatan senjata, supaya tentera tidak boleh merebut kembali bandar itu.
Musad Boulos menyatakan (Al-Jazeera, 27/10/2025), “Kami menyeru kedua pihak untuk bersetuju gencatan senjata kemanusiaan tiga bulan. Cadangan ini disambut baik oleh kedua pihak.”
Sky News (3/11/2025) menambah bahawa kedua pihak kini sudah berada di Washington untuk menyusun butiran perjanjian itu. Semua ini mengukuhkan fakta bahawa Washington mengarahkan seluruh prosesnya.
Ketujuh: Di bawah slogan “Trump si pendamai”, Amerika Syarikat sebenarnya mempercepatkan langkah pemisahan Sudan kali ini dengan memisahkan Darfur, sama seperti mereka dahulu membahagikan Sudan Selatan.
Kami (Hizbut Tahrir) telah lama memberi amaran tentang perkara ini. Dalam jawapan pada 21/5/2025 kami berkata: “Amerika mengarahkan konflik untuk menjauhkan tentera dari Darfur, manakala RSF mengukuhkan kawalannya di sana — untuk bersedia untuk pemisahan wilayah seperti dahulu di Selatan.”
Pada 6/2/2025 kami menulis: “Trump sedang mempercepat pembentukan dua entiti: timur di bawah al-Burhan, barat di bawah Hemedti. Tujuannya: membahagikan Sudan lagi demi kepentingan Amerika.”
Kelapan: Hizbut Tahrir sejak 2023 telah memberi amaran bahawa perang ini dibuat oleh Amerika melalui dua ejennya—al-Burhan dan Hemedti—untuk melayani kepentingan Washington. Sekarang rancangan itu hampir selesai. Sudan berada di ambang perpecahan semula. Darfur sedang menuju ke arah pemisahan seperti Sudan Selatan dahulu.
Kemudian, apakah tiada sesiapa pun dalam barisan tentera yang berfikir dengan jelas, memutuskan untuk bersikap ikhlas kepada Allah dan negaranya, dan kemudiannya menghentikan projek jahat ini?
Apakah tidak ada seorang pemimpin pun yang berani menyerahkan nusrah (dukungan kekuasaan) kepada Hizbut Tahrir agar Islam ditegakkan dan Khilafah ‘alâ Minhâj an-Nubuwwah lahir dari bumi Sudan?
Sungguh beruntunglah orang yang Allah pilih untuk menunaikan janji Nabi SAW:
“…Kemudian akan ada masa kekuasaan yang memaksa (mulk[an] jabriyy[an]), yang berlangsung sebagaimana Allah kehendaki. Setelah itu Allah akan mengangkat masa itu. Lalu akan ada Khilafah atas manhaj Kenabian. Kemudian beliau diam.” (HR Ahmad).
[12 Jamadil Awal 1447 H / 3 November 2025 M/Disarikan dari: Https:// hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/political-questions/105767.html]
#KonflikSudan #SudanCrisis #KrisisSudan