Hati-Hati Dengan Darah, Harta dan Kehormatan Seorang Muslim
Media massa telah melaporkan kejahatan-kejahatan mengerikan yang berlaku di bandar Al-Fashir, Sudan. Telah berlaku di sana pembunuhan, rogol dan pengusiran yang menyebabkan ribuan keluarga terpaksa hidup dalam pelarian.
Persoalannya: Bagaimana mungkin seorang Muslim yang mengucap syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, serta beriman pada Hari Kiamat boleh begitu mudah menumpahkan darah saudaranya sesama Muslim, merampas hartanya, atau menodai kehormatannya? Bagaimana pula boleh dia menakut-nakutkan saudaranya? Sedangkan Rasulullah SAW bersabda:
«لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا»
“Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakut-nakuti sesama Muslim.” (HR Abu Dawud).
Peristiwa serupa telah berlaku sebelum ini di beberapa negeri umat Islam: di Syria, Mesir, Yaman, Libya, Iraq, dan lain-lain. Adakah umat Islam telah lupa akan kehormatan darah di antara mereka?
Telah diketahui dengan pasti dalam Islam bahawa membunuh seorang Muslim dengan sengaja adalah dosa besar berdasarkan nas al-Quran yang tegas. Allah SWT berfirman:
﴿وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا﴾
“Dan barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahanam. Dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 93).
Adakah ancaman yang lebih berat daripada ini bagi pelaku pembunuhan secara sengaja? Rasulullah SAW juga bersabda:
«كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ؛ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ»
“Seluruh diri seorang Muslim haram (dicederai) oleh Muslim lainnya; darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (HR Muslim).
Bahkan dalam khutbah perpisahan (Haji Wada’), salah satu wasiat terakhir Rasulullah SAW adalah larangan keras menumpahkan darah, merampas harta, atau menodai kehormatan sesama Muslim.
Wahai Kaum Muslim!
Bagaimana mungkin seorang Muslim berani melanggar kehormatan saudaranya hanya kerana dia memiliki senjata? Adakah semudah itu para penjajah kafir menguasai sebahagian kaum Muslim, lalu mempersenjatai mereka agar menzalimi saudara-saudaranya? Bagaimana seorang polis atau tentera Muslim tega mengacukan senjata kepada penduduk yang tidak bersalah? Adakah mereka merasakan bahawa alasan “saya hanya melaksanakan perintah” akan berguna di hadapan Allah?
Wahai Kaum Muslim!
Ketahuilah, betapa beratnya dosa ini di sisi Allah. Seorang pembunuh Muslim berhak atas murka dan laknat Allah, serta dijauhkan daripada rahmat-Nya dan kekal di neraka. Rasulullah SAW bersabda:
«لَا يَزَالُ الْعَبْدُ فِي فُسْحَةٍ مِنْ دِينِهِ مَا لَمْ يُصِبْ دَمًا حَرَامًا»
“Seorang hamba masih berada dalam kelapangan agamanya selama dia tidak menumpahkan darah yang haram.” (HR al-Bukhari).
Selama dia belum membunuh dengan sengaja, masih ada kesempatan untuk bertaubat. Namun, jika dia menumpahkan darah yang haram, maka tertutuplah pintu itu bagi dirinya. Dia mendapat murka Allah. Tak ada alasan yang dapat menyelamatkan dirinya. Bahkan jika dia berhadapan dengan saudaranya yang juga mengangkat senjata. Rasulullah SAW bersabda:
«إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّار.ِ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ»
“Jika dua orang Muslim saling berhadapan dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang terbunuh sama-sama di neraka.” Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, pembunuh layak di neraka. Akan tetapi, mengapa yang terbunuh juga?” Beliau menjawab, “Kerana dia juga berkeinginan membunuh saudaranya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Bagi yang bertanya: Apa yang perlu dilakukan saat terjadi fitnah dan pertumpahan darah? Rasulullah SAW telah menjawab dalam sabdanya:
«إِنَّ بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا، وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ، وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي، فَاكْسِرُوا قِسِيَّكُمْ، وَقَطِّعُوا أَوْتَارَكُمْ، وَاضْرِبُوا سُيُوفَكُمْ بِالْحِجَارَةِ، فَإِنْ دُخِلَ عَلَى أَحَدِكُمْ فَلْيَكُنْ كَخَيْرِ ابْنَيْ آدَمَ»
“Akan berlaku menjelang Kiamat fitnah-fitnah seperti potongan malam yang gelap gelita. Seseorang pada pagi hari beriman dan pada petang hari menjadi kafir, atau sebaliknya. Yang duduk pada masa itu lebih baik daripada yang berdiri. Yang berjalan lebih baik daripada yang berlari. Oleh kerana itu patahkanlah busur-busur kalian, potonglah tali-tali panah kalian dan tumpulkan pedang-pedang kalian dengan batu. Jika seseorang diserang, hendaklah dia seperti anak Adam yang terbaik (yakni tidak melawan dengan kekerasan).” (HR Abu Dawud dan Ibnu Majah).
Wahai Setiap Muslim! Wahai Setiap Perwira, Tentera dan Polis, serta Siapa Sahaja yang Memegang Senjata!
Allah SWT telah menganugerahkan akal agar manusia berfikir dan menggunakan akalnya itu dengan benar. Seorang Muslim tidak boleh bertindak atau berbicara tanpa mengetahui hukum syariahnya. Untuk mengetahui hukum itu, dia perlu memahami realiti yang sedang dihadapi. Maka dengan itu seorang Muslim wajib memiliki kesedaran politik. Tentu agar tidak mudah terjebak dalam senario para penjajah kafir yang ingin memecah belah umat, menguasai negeri-negeri Islam dan merampas kekayaan mereka.
Bagaimana mungkin seorang Muslim rela menjadi alat di tangan para penjajah atau pelaksana perintah para penguasa yang menjadi sekutu mereka? Adakah layak dia menukar akhiratnya demi kenikmatan dunia yang fana, lalu menjadi penghuni neraka, terkutuk dan terusir daripada rahmat Allah?
Allah SWT berfirman:
﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ﴾
“Dan sesungguhnya, akan Kami isi neraka Jahanam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Dan mereka mempunyai mata, tetapi tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka mempunyai telinga, tetapi tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (TMQ al-A‘raf [7]: 179).
Wahai Kaum Muslim!
Hizbut Tahrir memperingatkan setiap Muslim agar tidak menyakiti saudaranya—baik darahnya, hartanya, mahupun kehormatannya—serta menakut-nakuti kamu dengan kemurkaan dan azab Allah yang berat. Sungguh, perkara ini sangat serius, bukan main-main. Janganlah kamu termasuk orang-orang lalai, yang baru sedar ketika ajal menjemput, ketika penyesalan tidak lagi berguna.
Janganlah kamu tertipu oleh kenikmatan dunia yang sedikit, kerana ia pasti sirna, sementara maut lebih dekat kepada kita daripada tali sandal kita. Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali seseorang menzalimi saudaranya tanpa haq.
Hizbut Tahrir menyeru kalian untuk meningkatkan kesedaran politik, berpegang teguh pada hukum Allah, dan bekerja bersama kami untuk menegakkan pemerintahan berdasarkan wahyu yang telah Allah turunkan. Di antaranya agar tangan para penjajah dan sekutu-sekutu mereka terangkat dari negeri-negeri kita dan rencana mereka untuk memecah-belah umat ini digagalkan.
Allah SWT berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ * وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberikan kehidupan kepadamu. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan. Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang zalim sahaja di antara kamu. Ketahuilah bahawa Allah sangat kuat seksaan-Nya.” (TMQ al-Anfal [8]: 24–25).
Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
[Sumber: Https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/pressreleases/markazy/cmo/105817.html]
#muhasabah #kezaliman #HakMuslim #DarahUmatIslam #SaveSudan