AKIDAH RUHIYAH DAN AKIDAH SIYASIYAH
Oleh: M. Taufik NT
Mengapa banyak kajian tentang akidah, termasuk perbahasannya, tidak memberi kesan nyata kepada kemajuan kehidupan umat Islam di dunia saat ini. Padahal dahulu Nabi SAW dan para sahabat RA, dengan akidah Islam, mampu bangkit dan membawa umat kepada ketinggian akhlak dan peradaban? Imam Malik R.H. pernah berkata:
«وَلَا يُصْلِحُ آخِرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ إلَّا مَا أصْلَحَ أوَّلَهَا»
“Generasi umat yang akhir ini tidak boleh diperbaiki kecuali dengan apa yang telah memperbaiki generasi umat yang awal.”[1]
Di antara perkara yang menjadikan ‘mandul’nya pengajian akidah adalah kerana lebih tertumpu pada satu sisi saja dalam pengajian, sambil mengabaikan sisi yang lain. Artikel ini akan membincangkan kedua-dua sisi itu.
Akidah Ruhiyah dan Akidah Siyasiyah
Akidah dalam makna umum ialah keyakinan yang bersifat pasti menurut penganutnya mengenai setiap pemikiran yang dijadikan sebagai dasar bagi pemikiran lain, baik keyakinan tersebut benar atau salah, sesuai atau tidak sesuai dengan realiti. Dari segi kandungan, akidah mengandungi pemikiran (fikrah) menyeluruh tentang alam semesta, manusia dan kehidupan; apa yang ada sebelum kehidupan dunia dan sesudahnya; serta hubungan ketiga-tiganya dengan kehidupan sebelum dunia dan kehidupan sesudahnya.[2]
Dengan kata lain, akidah membincangkan tiga dimensi waktu: sebelum adanya dunia, dunia, dan pasca hancurnya dunia, serta hubungan antara ketiga-tiganya.
Daripada akidah ini, terpancar pemikiran dan hukum. Pemikiran dan hukum yang terpancar dari akidah ini yang berkaitan dengan masalah akhirat (seperti tentang kiamat, pahala, seksa, syurga, neraka) atau berkaitan dengan pengaturan urusan akhirat (seperti ibadah, nasihat untuk takut kepada azab dan mengharap pahala daripada Allah) diklasifikasikan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dengan sebutan akidah ruhiyah. Kemudian beliau melanjutkan bahawa pemikiran dan hukum (yang terpancar dari akidah) yang berkaitan dengan peraturan kehidupan di dunia (seperti qadar, taklif, konsep baik-buruk, terpuji-tercela, jual beli, ijarah (kontrak perkhidmatan/barang), syirkah, pewarisan) atau berkaitan dengan pengaturan urusan dunia (seperti masalah melantik amir atas jemaah, taat kepada amir dan memuhasabahnya, juga masalah hukuman, jihad) adalah akidah siyasiyah.[3]
Daripada klasifikasi tersebut, boleh dikatakan bahawa agama-agama samawi selain Islam, akidahnya adalah akidah ruhiyah. Contohnya Hindu, Buddha, Shinto dan Kong Hu Cu (Konfusianisme) dll.
Kapitalisme adalah akidah siyasiyah kerana pemikiran dan hukum-hukum yang lahir daripada akidah ini berkaitan dengan perkara dunia sahaja, seperti kebebasan (liberalisme), asas manfaat, demokrasi, trias politika (pemisahan kekuasaan yang terbahagi kepada tiga bahagian) dan sebagainya. Sosialisme, termasuk komunisme, juga merupakan akidah siyasiyah kerana pemikiran dan produk hukum-hukum yang lahir daripada akidah tersebut hanya berkaitan dengan perkara duniawi. Contohnya, termasuklah larangan dan had pemilikan, pembatasan pendemokrasian kepada kelas pekerja dan keditaktoran proletariat.
Mengenai akidah Islam, ia adalah akidah ruhiyah sekaligus siyasiyah. Akidah Islam melahirkan pemikiran dan hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan akhirat, juga pemikiran dan hukum-hukum yang berkaitan dengan masalah kehidupan manusia di dunia.
Kesan Terhadap Pandangan Hidup
Akidah ruhiyah tidak boleh membentuk pandangan hidup kerana ia hanya berkaitan dengan masalah sebelum dan sesudah kehidupan dunia. Pemikiran dan hukum-hukum yang lengkap tentang bagaimana mengatur dan menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan tidak terpancar daripada akidah ini. Kerana itulah, akidah jenis ini sesuai saja mengambil akidah siyasiyah yang lain tanpa membahayakan kewujudan akidah ruhiyah yang dianutinya. Contohnya, masyarakat Eropah yang Kristian, Jepun yang Sinto atau Buddha, malah yang tidak beragama seperti China dengan mudah menerapkan kapitalisme.
Adapun akidah siyasiyah membentuk pandangan hidup yang khas sesuai dengan idea dasarnya tentang keberadaan manusia di dunia: untuk apa manusia hidup di dunia. Secara individu, seseorang tidak terlalu sukar untuk mengubah akidah siyasiyahnya, daripada satu jenis ideologi kepada jenis yang lain. Namun, secara kolektif, sangat sukar untuk mengubah akidah siyasiyah sesebuah masyarakat, terutama yang sudah lama bertapak, dengan akidah siyasiyah yang lain, kecuali dengan kuku besi, peperangan atau revolusi.
Kerana itu, negara-negara Barat amat sukar untuk menjajah Algeria, yang berpegang kepada akidah Islam. Mereka hanya berjaya selepas melalui peperangan dan paksaan. Berbeza dengan Congo, negara yang tidak atau belum mempunyai akidah siyasiyah tertentu, Barat menjajahnya dengan mudah. Tegaknya akidah siyasiyah komunisme yang menggantikan pemerintahan Tsar di Rusia juga berlaku melalui Revolusi Bolshevik. Begitu juga, selepas 70 tahun berada di bawah komunisme, masyarakat yang terlibat akhirnya sedar akan kerosakan akidah siyasiyah yang mereka anuti. Lalu mereka mengambil akidah siyasiyah lain yang dianggap lebih baik sebagai pengganti.
Pandangan hidup kapitalisme adalah asas manfaat (naf’iyyah). Seorang kapitalis mungkin percaya bahawa dia dicipta oleh Tuhan, tetapi dia menjalani kehidupannya dengan tujuan untuk mendapatkan keseronokan fizikal terbesar daripada wang yang dia kumpulkan dengan segala cara. Bukan untuk mengabdi kepada Tuhan yang dia yakini. Maka dari itu, apa yang baik bagi mereka ialah yang memberi keuntungan atau manfaat material. Ia dikatakan buruk jika sebaliknya berlaku.
Bagi mewujudkan prinsip itu, kapitalisme memberikan kebebasan dalam semua bidang: Pertama, kebebasan beragama dalam erti kata bebas mahu menjalankan perintah agama atau tidak, mahu menukar agama atau bahkan tidak beragama. Kedua, kebebasan pemilikan, iaitu setiap orang bebas berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mendapatkan wang dan bebas menggunakannya untuk apa jua tujuan asalkan tidak merugikan orang lain. Ketiga, kebebasan bertingkah laku, berpakaian sesuka hati, serta melakukan hubungan seks secara bebas, selagi tidak merugikan orang lain. Keempat, kebebasan berpendapat. Menurut mereka, kebebasan-kebebasan ini perlu bagi mencapai asas manfaat tersebut.
Adapun pandangan hidup sosialisme adalah dialektik, iaitu perubahan dari satu keadaan ke keadaan lain yang lebih baik dalam bentuk yang pasti (these-anti these-sinthese). Bagi merealisasikannya, antitesis diperlukan, iaitu kaunter frontal (thesa tandingan). Akidah sosialisme menggambarkan kehidupan sebagai terus bergerak—tidak pernah berhenti, atau relatif dan bukan mutlak—menuju suatu keadaan lain yang pasti lebih baik. Bagi melahirkan perubahan ke arah keadaan yang lebih baik, perlu ada keberanian untuk mengambil tindakan balas. Jika belum ada maka ia mesti diadakan.
Adapun pandangan hidup yang diajarkan akidah Islam adalah bahawa manusia hidup diciptakan oleh Allah untuk beribadah kepada-Nya. Perwujudannya dengan membina keterikatan terhadap hukum syarak dalam setiap aktiviti kehidupan Muslim.
Berdasarkan akidah Islam, seorang Muslim diajar untuk melihat kehidupan dengan tolok ukur halal dan haram. Perintah ini bersifat pasti berdasarkan firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 59).
Allah SWT juga berfirman:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤۡمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيۡنَهُمۡ ثُمَّ لَا يَجِدُواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ حَرَجٗا مِّمَّا قَضَيۡتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسۡلِيمٗا ٦٥
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 65).
Masalah dan Solusi
Semestinya seorang Muslim akan menjadikan akidah Islam sebagai akidah ruhiyah sekaligus siyasiyah. Dia yakin bahawa al-Quran kalamullah, dan pada yang sama dia yakin dan bersedia melaksanakan kandungannya dalam urusan kehidupan mereka. Dia juga yakin bahawa Nabi SAW adalah utusan Allah, sekaligus yakin bahawa beliau adalah teladan terbaik dalam mengatur persoalan masyarakat dan benar-benar berusaha mencontohi beliau.
Namun, disebabkan kelemahan pemahaman umat, dan kesan perang budaya yang dilancarkan oleh Barat, yang salah satu senjatanya ialah menimbulkan keraguan terhadap beberapa perkara akidah Islam, sebahagian umat akhirnya hilang kepercayaannya terhadap kemampuan hukum Islam untuk diterapkan pada masa kini, dengan alasan perubahan zaman dan tempat. Mereka malah mengkritik beberapa ajaran Islam, seperti undang-undang jenayah Islam yang dikatakan kejam; poligami sebagai menghalalkan pelacuran; jihad sebagai memaksakan agama dengan kekerasan. Akibatnya, ramai orang Islam tidak menjadikan Islam sebagai akidah siyasiyah mereka walaupun masih memilikinya sebagai akidah ruhiyah. Tidak hairan jika akhirnya membaca al-Quran menjadi satu pertandingan, sedangkan memperjuangkan pelaksanaan hukum-hukum dalam al-Quran sebenarnya dijenayahkan.
Bagi mengatasi masalah ini, ia mesti bermula dari akidah, iaitu dengan menjelaskan bahawa Islam adalah akidah siyasiyah dan akidah ruhiyah. Pemahaman akidah mesti dikaitkan dengan pemikiran tentang mengatur kehidupan manusia di dunia, iaitu dengan menghubungkan pelbagai pemikiran dan hukum dengan akidah Islam, serta menjelaskan kemunculannya daripada al-Quran dan al-Sunnah. Kita hendaklah mengaitkan keimanan kepada Allah dengan keimanan kepada al-Quran, dan makna iman kepada al-Quran adalah dengan melaksanakan ajaran-ajarannya. Juga dengan menjadikan hukum halal dan haram, bukan asas manfaat, sebagai tolok ukur perbuatan, dan ini juga merupakan konsekuensi iman.
WalLâhu a’lam.
Nota kaki:
[1] Al-Qâdhî ’Iyâdh, As-Syifâ Bi Ta’rîf Huqûq al-Mushthafâ (Dar al-Fikr, 1988), Juz 2, h. 88.
[2] Taqiyuddin An-Nabhani, As-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, cet. VI., vol. I (Beirut: Dâr al-Ummah, 2003), h. 194.
[3] Taqiyuddin An-Nabhani, Ajwibah As’ilah al-Fikriyyah, t.th, 22 Oktober 1968.
Sumber:
Alwaie