Umat Islam Perlu Bercita-cita Membina Semula Ideologi Islam
Oleh: Rahmah
Aktivis Dakwah, Puan Husna menyatakan bahawa setiap daripada kita mesti bercita-cita untuk membina semula ideologi Islam.
“Kita ni tidak ada kekuasaan Islam lagi dan kita ni belum lagi diterapkan hukum syarak ke atas kita. Betul tak? Kita faham itu. Tapi kita ni, setiap dari kita sebagai seorang muslim pasti, mesti adakan satu cita-cita yang kita ni nak membina balik Ideologi Islam. Supaya apa? Supaya dapat terapkan thariqah ni, supaya kita selamat sampai ke alam akhirat,” ujarnya pada Majlis Tautan Kasih bertajuk Kembali ke Fitrah Kemenangan Hakiki pada Sabtu (3/5/2025).
Menurut beliau lagi, umat Islam perlu memahami bahawa Islam bukan sekadar sebuah agama tetapi juga ideologi yang terdiri daripada fikrah dan thariqah. Menurutnya, kedua aspek ini mestilah berjalan seiringan.
“Pertama kita kena faham Islam bukan hanya sebuah agama tapi ideologi. Jadi fikrah dalam Islam tu adalah akidah. Akidah menyangkut tentang syurga, neraka, halal, haram, sesuatu yang sebelum kehidupan dengan sesudah kehidupan kita ni nanti,” katanya.
“Thariqah pulak, thariqah ni adalah method ataupun kaedah ataupun pelaksanaan pun boleh jugak la. Pelaksanaan dia adalah syariat. Ni dalam Islam. Macam mana Islam tu nak dijalankan dengan syariat tu tadi? Jadi akidah dengan syariat harus seiring. Fikrah dan thariqah seiring barulah Islam tu sempurna,” jelasnya lagi.
Sebagai perbandingan, beliau turut menjelaskan mengenai ideologi kapitalisme yang asasnya sekular iaitu terpisahnya agama daripada kehidupan seharian.
“Islam ideologi. Kapitalisme pun ideologi. Fikrah bagi kapitalisme ini adalah sekular. Apa itu sekular? Sekular tu maksudnya dia memisahkan agama dan kehidupan. Kamu nak agama, ya jalankan terus apa kamu punya agama anuti, tak ada masalah. Tapi dalam kehidupan tak boleh pakai agama, kena pakai kapitalis punya thariqah. Apa dia? Dia punya thariqah ni adalah liberalisme. Liberalisme ni apa? Liberalisme ni adalah kebebasan. Ni yang empat tadi tulah, empat kebebasan tu,” ungkapnya.
Tambah beliau lagi, liberalisme sebagai thariqah daripada kapitalisme menyanjung tinggi empat jenis kebebasan.
“Liberalisme ni ada empat kebebasan itulah. Kebebasan apa? Kebebasan bertingkahlaku, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan kepemilikan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, ketika tiada penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh), umat Islam hanya dapat menerapkan aspek fikrah iaitu mencakupi aspek tertentu sahaja.
“Jadi, saya nak tanya kita ni Islam kan? Sekarang kita ni ada fikrah. Senang tak kita nak jalankan fikrah kita sebagai seorang Islam? Senang tak kita nak solat, kita nak tutup aurat, kita nak puasa.? Senang takde orang yang kacau, boleh buat, betul? Cuma thariqah sekarang ni kita tak boleh nak jalankan, sebab tak ada penerapan ke atas kita. Tak ada penguasa yang nak terapkan Islam secara kaffah, secara menyeluruh, betul?,” soalnya.
Beliau menambah, kehidupan umat Islam yang mengamalkan kebebasan seperti yang ada dalam ideologi kapitalisme menjadikan banyak perkara yang bertentangan dengan Islam telah dinormalisasikan.
“Dalam ideologi kapitalisme, dia akan normalisasikan sesuatu yang berlawanan dengan hukum syarak. Percaya tak? Sebab apa? Sebab empat kebebasan ni tadilah. Kalau orang tu dia lelaki, dia nak jadi perempuan, boleh tak dalam kapitalisme? Boleh saja. Jadi dia menormalisasikan. Jadi kita tengok dalam masyarakat kita dah mula menerima kewujudan, keberadaan geng-geng pelangi ni. Betul tak? Dah ada influencer yang golongan pelangi ni mendapat tempat, jadi lawak-lawak. Dia orang menjalankan bisnes dengan cara yang macam tu. Nak attract orang dengan cara yang macam tu, LGBT ni tadi. Itulah yang menjadi sesuatu yang menormalisasikan sesuatu yang berlawanan dengan hukum syarak,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya bagi umat Islam berharap dan berjuang agar kekuasaan Islam kaffah kembali terbina agar umat Islam selamat di dunia dan akhirat.
“Kerana itu penting bagi umat Islam di dunia ini mendambakan dan memperjuangkan terbinanya sebuah kekuasaan Islam kaffah untuk selamat dunia dan akhirat,” tutupnya.