Budaya Konsumerisme Penyebab Golongan Muda Terjebak BNPL
Oleh: Aliya Ab Aziz
Aktivis Muslimah Puan Maizatul Akmar dalam diskusi bertajuk ”Buy Now Pay Later: Apa Pandangan Islam terhadap Trend Ini?“ menyatakan bahawa budaya konsumerisme adalah antara faktor penyebab golongan muda terjebak fenomena Buy Now Pay Later (BNPL).
“BNPL ni kalau kita tengok, aplikasi ni memang mensasarkan golongan muda, ini akan menyebabkan golongan muda menjadi pembeli impulsif, kerana mereka mempunyai tahap konsumerisme yang tinggi,” jelasnya dalam Siri Forum Online Cakna Umat pada 23/3/2025 (Ahad).
Beliau berkata, fenomena ini tidak lagi berlaku secara kebetulan, sebaliknya berpunca daripada budaya konsumerisme yang semakin menebal, diburukkan lagi oleh sistem kapitalisme yang mendasari ekonomi negara.
“Konsumerisme tu adalah lifestyle ataupun gaya hidup yang muncul dari sistem yang berputar dalam masyarakat kita tu, (sistem) berdasarkan ideologi apa yang diterapkan. So, macam saya sebut tadi, kita ni diterapkan ke atas kita tu ekonomi kapitalis kan. Jadi ekonomi kapitalis tu tadi, apa yang ia nak (tolok ukur) adalah untung dan manfaat. Jadi untung manfaat tu jugalah yang berlegar ataupun yang membentuk masyarakat tu menjadi masyarakat yang shopaholic. Jadi itu budaya yang lahir daripada sistem tu tadi,” katanya lagi.
Menurutnya, fenomena BNPL kian mencengkam masyarakat sehingga mengakibatkan mereka ditimpa kebankrapan. Apa yang pada mulanya dilihat sebagai penyelesaian kewangan jangka pendek kini berubah menjadi jerat hutang jangka panjang yang membarah secara senyap. Beliau membentangkan data daripada laporan-laporan semasa, antaranya, seramai 5,272 belia diisytihar bankrap sejak 2020. 5,189 daripada mereka berumur antara 25 hingga 34 tahun, manakala 83 orang lagi masih di bawah usia 25 tahun.
“Jumlah tu semakin meningkat. Umur yang terlibat maksudnya daripada jumlah 5,272 ni adalah dari kalangan orang yang berusia 34 tahun ke bawah. Bawah umur 25 tahun dah ramai yang bankrap,” ujarnya.
Tambahnya, BNPL telah berkembang pesat dalam masa yang singkat, malah jumlah transaksi BNPL meningkat drastik kepada RM7.1 bilion dalam separuh kedua tahun 2024, berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun yang sama.
“Jumlah transaksi tu meningkat kepada 7.1 bilion. Peningkatan dia lebih kurang 2.2 bilion dalam tempoh setengah tahun je. Banyaklah juga,” katanya sambil merujuk kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Amir Hamzah yang memaklumkan bahawa lebih 5.1 juta pengguna aktif menggunakan BNPL, majoritinya berusia antara 21 hingga 45 tahun dengan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Beliau turut berpendapat bahawa masalah pengguna terjebak BNPL bukan disebabkan faktor kemampuan kewangan semata, namun disebabkan dorongan dalaman untuk berbelanja kerana terpengaruh budaya flexing atau keinginan untuk menunjuk kemewahan yang semakin menular di media sosial.
“Budaya flexing ni bahasa lain dia show off lah. Kita nak show off apa yang kita ada. Mempamerkan kekayaan, rumah, kereta, pakaian. OOTD tu pun sebenarnya nak tunjuk brand apa kita pakai,” ujarnya.
Di sebalik semua itu, apa yang lebih membimbangkan bagi pengguna Muslim adalah persoalan hukum syarak terkait transaksi BNPL itu sendiri. Beliau menjelaskan bahawa ada dua perkara yang menjadikan transaksi BNPL tidak syarie. Pertama, unsur riba dalam transaksi.
“Pertama, kita dah lihat tadi, kalau kita tak dapat bayar dalam tempoh masa yang ditetapkan, maka kita akan dikenakan denda atau faedah (interest). Dan denda atau faedah itulah yang dikategorikan sebagai riba. Sebab seperti yang kita bincangkan tadi, maksud riba ialah bertambahnya nilai atas jumlah hutang atau jumlah belian. Sebab kita beli secara kreditkan. Maka, itulah riba. Dan bila dah ada unsur riba, akad jual beli itu menjadi batil ia tidak sah di sisi syarak,” katanya.
Kedua, gharar atau ketidakpastian. Menurutnya, “Selalu ada yang tanya, `Kalau saya disiplin, saya memang bayar ikut jadual, saya tak pernah lewat, adakah saya masih terlibat dengan riba?’ Isunya bukan sekadar niat atau disiplin, tapi pada ketidakpastian itu sendiri. Kita tak boleh jamin 100% yang kita akan dapat bayar tepat pada masanya. Macam mana kalau tiba-tiba kita lupa? Atau jatuh sakit? Atau terlibat kemalangan sampai koma selama tiga bulan? Orang sekeliling pun mungkin tak tahu kita ada beli barang secara online, guna sistem BNPL. Kalau itu berlaku, dan bayaran tertangguh, automatik dikenakan caj. Maka unsur gharar (ketidakpastian) itu wujud,” jelasnya.
Tambahnya lagi, “Dan walaupun kita kata, `Saya tak langgar pun masa pembayaran,’ tetap balik pada point pertama tadi iaitu bila dalam sistem itu sendiri sudah ada syarat yang membolehkan caj tambahan dikenakan, akad itu sendiri sudah batil sejak awal, sebab sistemnya mengandungi potensi riba”.
Sebagai kesimpulan, beliau mengatakan bahawa BNPL bukan sekadar isu kewangan atau pilihan gaya hidup. Ia mencerminkan bagaimana sistem kapitalisme berjaya menyerap masuk ke dalam kehidupan masyarakat.
“Jadi itu (BNPL) budaya yang lahir daripada sistem tu (kapitalisme) tadi sehingga menjerumuskan manusia dalam budaya flexing , isyraf dan berhutang,” tegasnya.