Para Ibu Di Palestin Luar Biasa
Oleh: Hidayah Muhammad
Pemerhati Keluarga dan Generasi Ustazah Dedeh Wahidah menyatakan, para ibu Palestin merupakan ibu-ibu yang luar biasa.
“Mereka istimewa di tengah-tengah penderitaan, mereka tetap menyuarakan semangat perjuangan untuk melawan penjajah. Semangat untuk membebaskan tanah Palestin dan mereka pun menjadi ibu-ibu pendidik,” ujarnya dalam saluran Youtube Muslimah Media Hub, bertajuk Rahsia Keteguhan Iman Ibu Palestin, 5/5/2025 (Isnin).
Beliau menambah, dari rahim mereka muncul pejuang-pejuang yang akan melanjutkan perjuangan kaum ibu ini.
“Apa rahsia mereka sehingga kita para ibu di belahan dunia lain boleh mengambil semangat ibu-ibu Palestin,” tambahnya.
Menurut beliau, walaupun kita tidak hidup dalam keadaan perang, penting untuk kita mengambil semangat ibu-ibu Palestin.
“Suatu yang penting, kerana kita sebagai ibu, sebagai ummun wa rabbatul bait, sebagai pendidik kita ada amanah untuk mendidik anak-anak kita. Dan salah satu tolok ukur kesolehan bagi anak-anak adalah berani memperjuangkan kebenaran, berani melawan kekufuran dan berani menghilangkan kemaksiatan,” tuturnya.
Seterusnya beliau menyatakan ada beberapa rahsia yang menjadi kekuatan para ibu Palestin.
Pertama, keyakinan mereka kepada Allah SWT.
“Ibu-ibu Palestin ini kuat dalam tauhid dan keimanan kepada Allah. Walaupun mereka diuji dengan penderitaan, kesulitan bahkan serangan musuh sekali pun tidak membuat mereka putus asa dan tidak menyurutkan semangat mereka. Ibu-ibu ini yakin bahawa ini merupakan ketentuan dari Allah dan mereka yakin Allah tidak akan pernah meninggalkan hambanya yang istiqamah dalam memperjuangkan kebenaran. Keyakinan inilah modal utama bagi mereka,” ujarnya.
Beliau menambah, keyakinan seperti ini perlu ada pada sesiapa pun.
“Kita juga harus memiliki keyakinan yang kuat bahawa hidup ini adalah untuk menjalankan amanah Allah. Jadi apa pun yang dihadapi tidak akan menyurutkan semangat kita untuk hidup,” tambahnya.
Kedua, ada dorongan untuk mempertahankan Palestin.
“Ibu-ibu Palestin menyedari bahawa ada amanah yang wajib dijalankan iaitu menjaga bumi Palestin terutamanya Masjidil Aqsa. Masjidil Aqsa adalah warisan kaum Muslimin, milik umat Islam, sesiapa pun yang merampas, yang merosak kesuciannya, maka menjadi kewajipan rakyat Palestin, kewajipan kaum Muslimin secara umum untuk mempertahankan dan mengembalikan semula kesucian Masjidil Aqsa yang kemudian akan menyebarkan keberkahan dari bumi Palestin,” tambahnya.
Ketiga, mempunyai pemahaman yang benar tentang realiti di Palestin.
“Mereka faham yang Zionis tidak punya tanah, mereka tidak punya kepemilikan di bumi Palestin, mereka adalah perompak, mereka adalah perampas sehingga kedatangan mereka ada sebagai penjajah sehingga semangat ini, pemahaman ini, kesedaran ini menjadi pembakar, menjadi pendorong ibu-ibu Palestin untuk mempertahankan hak milik mereka,” tegasnya.
Beliau membuat kesimpulan bahawa setiap Muslimah boleh mengambil pelajaran daripada perjuangan ibu-ibu Palestin.
“Semoga kita mencontohi semangat yang terus menyala dari mereka, punya akidah yang kuat, punya keyakinan yang luar biasa terhadap pertolongan Allah SWT dan istiqamah menjalankan amanah dan kewajipan. Dan agar kita boleh menularkan semangat itu kepada anak-anak kita. Sehingga dari rahim kita akan lahir pejuang-pejuang yang luar biasa, yang berani untuk menegakkan kebenaran, yang berani memperjuangkan tegaknya syariah secara kaffah dengan tegaknya Khilafah Islamiyah,” simpulnya. []
Sumber: https://youtu.be/S-8ZCN3xX3s?si=jwSf_u_hOP6wLO5x