Trend Childfree Beri Kesan Kolektif Kepada Masyarakat
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam sesi Open Circle Sahabat Muslimah yang bertajuk “Childfree: Jangan Takut Bicara Masa Depan”, Aktivis Muslimah Saudari Hani Fadiah menjelaskan bahawa trend untuk tidak mempunyai anak (childfree) bukanlah keputusan peribadi yang tidak memberi kesan kepada orang lain, sebaliknya ia mempunyai kesan kolektif kepada masyarakat berupa penurunan populasi dan kekurangan tenaga kerja.
“Bila orang yang pilih childfree ni, dia kata `Okay saya nak childfree, tapi nanti masa tua, kita dah pencen, saya masuk je lah rumah orang tua. Tak ada masalah pun. Rumah orang tua ni bukannya benda yang negatif pun kan.’ Tapi dia tak sedar ke yang menguruskan rumah orang tua ni juga mestilah orang muda kan? Kalau makin ramai orang tua masuk, maka rumah-rumah orang tua ni makin banyaklah tenaga kerja yang diperlukan untuk uruskan mereka,” tegasnya dalam kuliah bersiri tersebut pada 2/4/2025 (Sabtu).
Sambungnya lagi, “Tapi sebenarnya orang-orang muda ni juga sangat diperlukan di sektor-sektor lain contoh macam pendidikan, kesihatan. Disebabkan pilihan untuk childfree tu tadi, maka akan jadi makin kuranglah orang nak jadi doktor, cikgu dan lain-lain dalam sektor penting. Even sektor pertahanan negara pun akan terjejaslah sebab tak ramai orang boleh jadi tentera, sebab (populasi) sangat sedikit. So that’s why bila kita kata tidak efek orang lain sebenarnya tak betul benda tu. Sangat sangat tak betul okey,”.
Menurut aktivis muda ini, fenomena childfree semakin menular dan telah menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan di Malaysia. Statistik menunjukkan purata anak per wanita menurun daripada 6-7 orang (pada tahun 1997) kepada hanya 1-2 orang pada tahun 2022.
“Kadar kesuburan di Malaysia semakin hari semakin menurun yang mana mempercepatkan lagi proses penuaan penduduk negara. Dijangka pada tahun 2030, sebanyak 15% daripada penduduk Malaysia akan berusia 60 tahun ke atas. Kalau kita lihat dari tahun 1997, secara purata seorang wanita melahirkan 6 hingga 7 orang anak. Tetapi jumlah itu semakin berkurang dari tahun ke tahun. Sehingga tahun 2022, purata kelahiran hanyalah sekitar 1 atau 2 orang anak sahaja bagi setiap wanita. Beza tu sangat ketara dan ini akan menyebabkan ketidakseimbangan populasi,” katanya.
Malah lebih parah, menurut Hani, fenomena ini turut mencetuskan gejala ‘lonely death’ atau mati sendirian yang juga dijangka meningkat jika tidak dibendung.
“Selepas tu akan wujud juga fenomena ‘lonely death’. Dulu kita hanya dengar berlaku di Jepun. Orang tua yang hidup sendirian meninggal dunia tanpa disedari sesiapa, dan hanya diketahui selepas mayatnya berbau. Bahkan dekat Malaysia pun sekarang dah mula ada. Misalnya di Perlis sahaja, yang mana sangat sikitlah populasinya kurang dari 300,000 pun dah ada 80 kes sejak 2022,” tuturnya.
Beliau turut mengungkapkan pandangan umum tentang zuriat dalam masyarakat Barat yang dikuasai ideologi kapitalis dan feminisme, iaitu zuriat dianggap sebagai pilihan gaya hidup, bukan tanggungjawab agama atau sosial.
“Dalam hal keluarga, dalam pembentukan zuriat, mereka tak ada guide macam Islam yang ada al Quran dan As sunnah. Mereka buat macam-macam hanya semata tak nak anak. Sebahagian mereka hanya anggap anak ni hanyalah satu lifestyle bukan sebagai satu tanggungjawab agama ataupun sosial. Jadi dekat sinilah muncul bahawa wanita tu dia lebih berjaya kalau dia tak terikat dengan tanggungjawab terhadap rumah tangga dengan anak tu tadi. Budaya Barat juga mempromosikan konsep kebebasan. Bila ada anak ni, orang rasa menyekat kebebasan nak travel, shopping, buat aktiviti harian,” jelasnya panjang lebar.
Sebaliknya, beliau mengatakan dalam Islam, zuriat dilihat sebagai nikmat dan amanah daripada Allah SWT.
“Lain pula dengan Islam. Islam ni sangat memuliakan peranan ibu tu sebagai pengurus rumah tangga dan peranan isteri. Dan wanita tu tidak boleh menolaklah (peranan) sebab dalam Islam kita sebagai wanita tu dianggap berjaya kalau kita dapat menyempurnakan amanah-amanah ini. Islam juga lihat anak tu sebagai satu nikmat, amanah dan ujian daripada Allah. Anak ni sebenarnya rezeki, bukan beban. Bila kita ada anak, kita didik dia dengan Islam. Bila kita mati, anak ni akan mendoakan kita… jadi ladang akhirat,” ujarnya.
Faktor Trend Childfree
Hani mengungkapkan setidaknya ada empat faktor mempengaruhi budaya childfree. Pertama, faktor ekonomi. Ramai memilih untuk tidak memiliki anak atas alasan kos sara hidup yang tinggi. Namun dalam Islam, rezeki adalah jaminan daripada Allah, bukan bergantung pada ekonomi semasa.
Beliau mengingatkan, “Masalahnya bukan pada pilihan kita untuk ada anak, tapi sistem yang tidak menjamin kesejahteraan. Dalam surah al-Israk ayat 31, Allah mengatakan, `Janganlah kalian membunuh anak-anak kerana takut miskin. Kami akan beri rezeki mereka dan kalian’.”
Kedua, trauma zaman kanak-kanak. Ada yang memilih childfree kerana trauma dibesarkan dalam keluarga yang bermasalah. Islam menekankan keperluan merawat trauma dan memperbaiki kitaran keluarga.
“Isu childfree ni dia bukanlah sekadar trend tetapi, kalau kita tengok banyak ketakutan, trauma kekeliruan dan sebagainya dalam kalangan generasi muda… Kalau kita ada trauma, kita kena selesaikan… belajar macam mana nak bina keluarga yang mengamalkan syariat Islam,” nasihatnya.
Ketiga, pengaruh budaya Barat dan gaya hidup bebas. Gaya hidup Barat menjadikan anak sebagai satu pilihan, bukan keperluan.
“Di Barat, anak hanyalah gaya hidup. Tapi dalam Islam, anak adalah tanggungjawab agama dan sosial,” tuturnya.
Keempat, sistem kapitalisme yang menekan peranan ibu. Dalam sistem sekarang, wanita ditekan untuk keluar bekerja dan tidak dianggap produktif jika menjadi suri rumah.
Katanya, “Sistem ni menekankan wanita keluar bekerja. Kalau duduk rumah dianggap tidak produktif. Padahal Islam sangat memuliakan peranan ibu sebagai pengurus rumah tangga dan sekolah pertama anak.”
Akhir sekali, beliau juga memperingatkan para hadirin bahawa fenomena ini bukan hanya memberi kesan kepada individu, tetapi kepada kesinambungan generasi Islam. Apabila umat Islam tidak melahirkan zuriat yang dididik dengan Islam, ia mengancam kelangsungan dakwah dan kekuatan ummah.
“Tujuan kita nak ada anak (zuriat) ni salah satunya adalah untuk melestarikan keturunan. Maksudnya kita ada next generation yang kita boleh didik dengan Islam kan? Kalau kita stopkan dari sini, dah tak nak ada anak, kita tak dapatlah nak menyebarkan lebih banyak lagi ajaran Islam tadi kan sebab kita tahu anak ni lah yang akan menyambung dakwah Islam nanti,“ ujarnya.